Pelik tapi benar. Itulah ungkapan yang sesuai bagi menceritakan kisah aneh di sebalik seni tarian pelanduk Pahang. Tarian ini menggambarkan cara orang kampung dahulu kala memburu pelanduk dengan keunikannya yang terletak pada teknik berburu tanpa menggunakan senjata.
Cerita oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni | Gambar oleh Puan Azuriyana Abdul Azih
Seni tarian wujud bukan sahaja sekadar hiburan dalam sesebuah majlis. Seperti Tarian tradisional Melayu, ia merupakan salah satu cara orang dahulu bercerita dengan menyelitkan kisah yang berlaku pada situasi tertentu dengan gerakan dalam tarian tersebut. Dengan cara ini, mereka lebih mudah menyampaikan cerita kepada waris generasi mereka tentang kisah asal usul di sebalik sesebuah tarian.
Di negeri Pahang terdapat pelbagai jenis tarian tradisional. Antaranya Tarian Indung, Tarian Inai, Tarian Lesung Indik Beras Bertampi, Tarian Tempurung, Tarian Piring, Tarian Zapin Pekan, Tarian Rodat, Tarian Pedang, Tarian Lukah, Tarian Labi-labi dan focus penulisan kali ini Tarian Pelanduk.
Ada kisah menceritakan bahawa tarian pelanduk Pahang dicipta berdasarkan cara orang kampung memburu pelanduk di dalam hutan. Kebiasaannya orang kampung keluar memburu dengan membawa peralatan senjata tajam seperti parang, jerat mahupun senapang. Namun dengan teknik aneh berbekalkan daun terap, orang dahulu mampu untuk memburu pelanduk di hutan.
Kali ini kami berkesempatan untuk bertemu Encik Muhammad Amir Amirul Bin Ismail, yang berasal dari Temerloh Pahang untuk berkongsi kisah Tarian Pelanduk Pahang ini. Dia merupakan antara pelajar yang sempat berguru dengan pengasas tarian ini. Menurutnya, asal tarian ini diciptakan oleh Almarhum Tengku Othman Bin Tengku Ngah. Tarian pelanduk telah pun wujud sejak zaman pemerintahan Jepun yang berasal dari Kampung Bukit Betong Kuala Lipis, Pahang. Mengikut kisah yang diceritakan oleh pengasasnya, tarian ini diadaptasi daripada pergerakan pelanduk ketika beliau mengikuti ayahnya pergi memburu pelanduk di hutan.
Daun terap yang sudah kering diketuk menggunakan kayu atau ranting pokok bagi mengeluarkan bunyi. Dengan teknik yang betul, bunyi yang terhasil mampu menarik pelanduk untuk mendekati bunyi tersebut. Namun agak bahaya bagi yang tidak mengetahui teknik yang betul kerana jika tersilap ketuk, bunyi yang berbeza boleh menarik minat haiwan seperti harimau, ular dan haiwan liar yang lain. Biasanya teknik memikat atau menarik pelanduk ini dikuasai oleh pawang atau dipanggil sebagai peran hutan.
Apabila mendengar bunyi ketukan daun terap, pelanduk akan menari-nari mengikut bunyi ketukan yang dihasilkan. Pelanduk seolah-olah terpukau dan asyik menari dengan bunyi yang didengarnya sehingga jatuh pengsan. Ada yang mengatakan bahawa pelanduk akan menari melompat-lompat menggunakan dua kaki bergilir-gilir seperti keghairahan. Ia akan terus menari sehingga mulutnya berbuih akibat mabuk mendengar ketukan. Pada waktu itulah pemburu menghampiri pelanduk dan mengikat pelanduk untuk dibawa pulang ke kampung. Setelah sampai di kampung, barulah pawang akan memulihkan atau menyedarkan pelanduk sebelum disembelih.
Apabila diolah menjadi tarian, elemen seperti rebana, gong dan daun pelunut atau daun chala digunakan ketika membuat persembahan tarian pelanduk. Empat orang diperlukan bagi melengkapkan tarian ini. Pemain rebana, pemain gong, dua orang pelakon bagi melakonkan watak pelanduk dan pawang.
Pakaian yang dipakai oleh pemain rebana, pemain gong dan pawang ialah baju tradisional Melayu hitam lengkap bersongkok dan bersamping. Manakala bagi pelakon yang memegang watak pelanduk pula perlu memakai baju Melayu tradisional berwarna putih. Tarian asalnya dipersembahkan oleh kaum lelaki.
Dimulakan dengan ketukan rebana dan gong. Rebana akan dimainkan mengikut bunyi ketukan daun terap bagi menggantikan bunyi daun terap. Apabila bunyi rebana dimainkan, watak pelanduk yang mula tertarik pada bunyi rebana akan mula masuk ke pentas persembahan. Pelanduk kelihatan terkinja-kinja dan terlalu terpesona mendengar rentak ketukan sehingga pelanduk mula menghampiri rebana. Pelanduk akan terus menari-nari sehingga pengsan.
Apabila pelanduk pengsan, barulah pawang atau peran hutan masuk untuk memulihkan kembali pelanduk. Watak pawang seolah-olah sedang memulihkan pesakit juga diiringi dengan muzik tarian pelanduk. Setelah pelanduk kembali pulih, maka tamatlah tarian pelanduk. Persembahan tarian pelanduk Pahang ini berjalan selama antara 5 sehingga 10 minit.
Bagi tarian pelanduk moden yang telah diberikan nafas baharu, ramai penari digunakan di dalam sesuatu persembahkan. Muzik yang dimainkan lebih rancak berbanding muzik asal tarian pelanduk. Gabungan alat muzik seperti gong, rebana dan seruling digunakan. Bilangan penari ditentukan oleh tenaga pengajar mengikut keluasan pentas. Makin besar ruang pentas yang disediakan, maka lebih ramai pelakon sebagai pelanduk diperlukan agar persembahan tarian menjadi semakin menarik.
Warna pakaian yang ceria dan menarik digunakan. Pakaian asal juga telah diubah berdasarkan kesesuaian penari dan mengikut tema persembahan yang diminta oleh pihak penganjur, namun masih mengekalkan ciri-ciri kesenian tradisional. Teknik tarian lebih lincah dan bertenaga seolah-olah sekumpulan pelanduk melompat-lompat seperti sedang bermain-main. Tempoh persembahan juga diubah mengikut permintaan pihak penganjur.
Permasalahan yang wujud pada hari ini, masyarakat kurang mengenali tarian ini. Selain kekurangan perintis di kalangan generasi muda dan tenaga pengajar yang mengikut asal usul tarian pelanduk Pahang ini, masyarakat kurang didedahkan dengan Tarian Pelanduk, sama ada yang asli mahupun moden.
Di negeri Pahang, hanya beberapa kumpulan penggiat seni sahaja yang masih aktif mengajar dan mempersembahkan tarian ini. Antaranya ialah kelab Citasenitra Tari yang diasaskan oleh Puan Azuriyana Binti Abdul Azih dan Kumpulan Gendang Sri Endol Perba Jelai yang diketuai oleh anak kepada pengasas Tarian Pelanduk Pahang iaitu Tengku Fadilah Bin Tengku Othman.
Tanggungjawab dan usaha bersama diperlukan untuk mengekalkan warisan kesenian pelbagai kaum di Malaysia. Bukan hanya kepada pewaris seni sahaja, masyarakat Malaysia perlu bersama menghargai seni warisan kita. Pelbagai jenis seni warisan kesenian pelbagai kaum merangkumi alat muzik, lagu-lagu rakyat, tarian asli, kraf tangan, permainan tradisional, seni bina serta lukisan. Remaja perlu didedahkan dengan aktiviti dan program kesenian supaya mereka lebih memahami dan menghayati semua warisan seni ini.
Bina remaja berjiwa seni yang mencintai serta menghayati budaya bangsa. Pupuk rasa bersatu hati dalam memelihara seni warisan bangsa. Mengejar teknologi bukan alasan meminggirkan warisan budaya. Tidak mundur negara kita andai kita terus memelihara sejarah warisan kita.
Apa pun masalah yang dihadapi, kita sebagai masyarakat yang pernah mengenali Tarian Pelanduk Pahang perlu mengambil inisiatif supaya tarian ini dapat dikembangkan dan diteruskan oleh generasi akan datang. Tarian ini perlu diperluaskan dan dipersembahkan ke tempat lain seperti di negeri-negeri luar dan diketengahkan ke luar negara supaya kesenian kebudayaan ini tidak pupus ditelan zaman.
Zurailawati Yong ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021
Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.