Tafsiran Naik ke Langit oleh SUPERCODEX, No-To-Scale* dan Gangsapura di KongsiKL

Pengembaraan Satu Malam merupakan hasil kerjasama daripada SUPERCODEX, No-To-Scale* dan juga Gangsapura

Oleh DANIAL FUAD

Peristiwa Isra’ Mikraj merupakan suatu yang sangat penting di dalam Islam. Kisah perjalanan Nabi Muhammad SAW daripada Mekah ke Baitul Maqdis sebelum berangkat ke langit ini berlaku dalam jangka satu malam setelah Baginda melalui kesedihan akibat kehilangan dua orang yang disayangi; isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Orang ramai pada mulanya khuatir dengan cerita Baginda tetapi Allah SWT telah menurunkan Surah Al-Israk untuk membenarkan kata-kata Nabi Muhammad SAW.

Cerita berkenaan tentang pergi ke alam lain untuk mencapai kebaikkan ini tidak terhad dalam agama Islam sahaja. Terdapat pelbagai jenis kisah dalam budaya lain seperti kisah Raja Suran Turun ke Laut. Berkait dengan kisah Isra’ Mikraj, SUPERCODEX dengan kerjasama No-To-Scale* dan Gangsapura mempersembahkan tafsiran mereka melalui Pengembaraan Satu Malam. “Kami telah menghampiri No-To-Scale* untuk membincangkan bagaimana untuk menghasilkan satu persembahan yang menjangkau julat kebiasaan pengalaman manusia kepada orang ramai di dalam ruangan ini,” ujar SUPERCODEX.

Tambah SUPERCODEX lagi, “Dari situ tercetus idea untuk menggunakan gamelan, suatu seni kebudayaan yang rapat dengan Melayu dan Gangsapura telah bersetuju untuk bekerjasama dengan menghasilkan cerita mereka sendiri melalui muzik.”

Daripada 4 hingga 12 Feb 2023, orang ramai dijemput untuk hadir ke KongsiKL bagi menyaksikan persembahan dan karya seni pemasangan oleh tiga kumpulan seniman ini. SUPERCODEX merupakan satu praktis seni rentas disiplin yang dianggotai oleh Syed Muhammad dan Iwaz. Untuk Pengembaraan Satu Malam, mereka telah bertanggungjawab untuk menghasilkan karya seni pemasangan serta audio bersama No-To-Scale* sebuah agensi seni dan ruang dikelola oleh Shamin Sahrum dan Nur Nadhrah.

Para pengunjung bakal dihidangkan dengan jamuan visual dan audio yang cukup sarat. Lampu sorot telah dipasang di atas perancah yang mengelilingi ruang persembahan. Alatan muzik yang bakal dimainkan oleh Gangsapura menjadi tumpuan utama di tengah-tengah pentas. No-To-Scale* telah mengulas, “Kami ingin menghasilkan sebuah arena tertutup untuk dijadikan alat bagi Gangsapura menceritakan versi mereka melalui susunan muzik.”

Gangsapura telah diasaskan oleh Teuku Umar Ilany dan Nur Diyana Nadhirah bagi memperjuangkan muzik tradisional khususnya Gamelan. Kali ini, mereka bakal membuat persembahan untuk dua hujung minggu iaitu 3 hingga 4 Feb lalu dan 11 hingga 12 Feb. Sebanyak tujuh buah lagu telah digubah oleh Teuku Umar Ilany dan Mohamad Faliq. “Lagu ini semua dipetik daripada cerita hikayat dan Gangsapura menjadi perantara untuk menyampaikan cerita ini semua melalui muzik yang digabungkan dengan karya pemasangan SUPERCODEX bersama No-To-Scale*,” ujar wakil mereka.

Pada hari biasa pula sepanjang tarikh persembahan, para pengunjung boleh menikmati persembahan lagu hasil ciptaan SUPERCODEX dan karya seni pemasangan di bawah kelolaan No-To-Scale*. Sama seperti Gangsapura, mereka juga telah menghasilkan tujuh buah gubahan audio yang menjadi pendamping untuk seni pemasangan No-To-Scale*.

Paluan muzik gamelan Gangsapura yang mengasyikkan diganding pula dengan mesin asap dan lampu berdenyar bakal memberikan pengalaman yang sangat memukaukan. Orang ramai boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan persembahan ini di laman sesawang Cloudjoy. Tiket persembahan gamelan pada hujung minggu berharga MYR68 manakala untuk persembahan SUPERCODEX & No-To-Scale* pada hari biasa pula adalah MYR48. Budi bicara penonton adalah dinasihatkan kerana persembahan ini menggunakan lampu denyar, mesin asap dan bunyi yang kuat.

Ikuti pautan di bawah untuk kisah menarik lain yang terdapat di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites