Sepakat dalam membantu mangsa banjir

Happy Hope Relief merupakan salah satu diantara kumpulan yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Ikuti BASKL dalam kisah selanjutnya.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI dan DANIAL FUAD

Dalam kita hampir menutup tirai 2021, bencana banjir yang mengejutkan telah melanda negara kita pada hujung minggu lalu. Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sehingga 21 Dis 2021, sebanyak 33 daerah di 8 negeri telah terkesan dengan jumlah mangsa yang mencecah 62,999 telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Gambar: GroundZero

Dari sudut positif, seluruh negara telah menjadi saksi, selain bantuan NGO dan juga syarikat korporat seperti PETRONAS yang membantu meringankan beban mangsa banjir, bantuan daripada masyarakat sendiri tidak pernah putus sejak bermulanya detik banjir, antara yang terbesar di negara kita.

Ini tidak terkecuali buat para seniman yang telah menggembleng tenaga memberi bantuan kepada mangsa banjir seperti Komuniti Seniman Batu Belah yang telah membantu kawasan komuniti mereka.

Turut sama turun meringankan beban mangsa banjir ialah kolektif GroundZero. Menurut sumber daripada mereka salah seorang ahli GroundZero, Aely Manaf juga turut terkesan dengan bencana banjir yang telah menimpa negara kita sejak Sabtu lalu.

Usaha mereka memberi bantuan bekalan dan tenaga lebih tertumpu pada Kawasan di Sekitar Bukit Lanchong. Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Syafiq Ali’Am, wakil kolektif GoundZero berkata, ”Pergerakan dan usaha kami adalah untuk masyarakat yg terdiri dari pelbagai komuniti (tidak terhad kepada seniman sahaja).”

Mangsa banjir di PPS SMK Telok Panglima Garang mengambil minuman yang disediakan 2. Gambar: Kopi Senget

Kolektif ini juga telah membuka studio mereka untuk dijadikan sebagai penempatan sementara buat mangsa banjir bagi 4 ke 5 keluarga sebagai inisiatif untuk menampung lebihan kapasiti daripada PPS yang telah penuh di sekitar kawasan itu.

Kebanyakkan mangsa banjir telah dipindahkan ke PPS bagi memberi laluan untuk kerja menyelamat dan pembersihan dijalankan. Bagi mengurangkan keresahan dan tekanan yang dihadapi, seniman Amierul Iskandar yang juga merupakan pemilik Kopi Senget telah membuat sumbangan. Dengan bantuan rakan-rakan, pada 19 Dis lalu sebanyak 100 cawan minuman yang selalunya dihidang di kafe mereka iaitu After Moonson, Aurora, Floods in Disember, Twilight, Rose Latte dan Cafe Latte telah dikongsikan bersama mangsa banjir di SMK Telok Panglima Garang.

Dalam melihat usaha anak seni serta masyarakat kita yang begitu prihatin dan tidak lengang dalam memberi bantuan, BASKL turut mengikuti salah satu misi bantuan banjir pada 23 Dis bersama Happy Hope Relief yang telah ditubuhkan oleh salah seorang pelakon tanah air, Mona Allen bersama rakan-rakannya.

Pengagihan bantuan secara pandu lalu oleh Happy Hope Relief di Kampung Bestari Jaya, Kuala Selangor. Gambar: Wan Nor Alia

“Dalam keadaan banjir membuat saya terpanggil untuk menderma menggunakan duit sendiri. Dari situ tercetusnya idea daripada kawan-kawan supaya saya meminta derma. Tiba-tiba ramai pula yang nak menderma sekali, jadi dari situ kami tubuhkan Hapy Hope Relief,” jelasnya tentang bagaimana kumpulan ini ditubuhkan bagi membantu mereka yang terjejas.

Usaha bersama ini telah mendapat perhatian ramai kerana kurang 24 jam mereka memuat naik tabung derma di media sosial, mereka telah berjaya mengumpul lebih RM7, 000 yang telah dikongsikan daripada pelbagai pihak yang cukup prihatin.

Menurut salah seorang ahli Happy Hope Relief, Shazleena Sharif, bantuan buat sesi ini telah disalurkan kepada penduduk di sekitar Kawasan Kampung Bestari Jaya dan Kampung Parit Mahang di Kuala Selangor.

Mona bersama rakan-rakan mengagihkan bantuan kepada orang ramai – Gambar: Wan Nor Alia

“Saya harapkan bantuan ini akan menjadi satu foundation yang bukan kali ini sahaja membantu mangsa banjir, tetapi akan diteruskan untuk membantu lebih ramai. Sebab macam hari ini kami telah membawa bantal, selimut, makanan, barangan keperluan untuk diagihkan, tetapi akan datang kami ingin cuba memberi lebih lagi,” kata Shazleena.

Apa yang lebih memilukan hati kami, ada keluarga yang tidur dan makan di luar kawasan rumah mereka bersama ahli keluarga seolah-olah sedang berkhemah. Walhal, pemandangan yang tersergam dihadapan mereka hanyalah rumah yang telah dinaiki air. Ketika tinjauan dan bantuan sampai, air masih di paras betis bagi sesetengah kawasan di sekitar kampung ini.

Muhamad Alif Sharazad dan pasangan, masih mampu tersenyum walaupun habis semua peralatan rumah rosak. Gambar: Wan Nor Alia

Namun apa yang lebih mengagumkan adalah semangat mereka yang masih mampu tersenyum dalam menghadapi musibah yang melanda. BASKL berkesempatan menemu bual salah seorang mangsa banjir Muhamad Aliff Sharazad dari Kampung Bestari Jaya.

“19 haribulan, pukul 8 malam air memang naik mendadak, melihat pada cuaca dan keadaan di kawasan lain, kami memang dah bersedia lebih awal untuk selamatkan barang-barang dan anak-anak untuk ditempatkan di PPS, tetapi barang rumah memang tak dapat diselamatkan,” katanya.

“Memang saya rasa amat dihargailah, sebab tak putus-putus orang menyalurkan bantuan, tidak kira dari segi makanan, barangan macam bantal ni semua, saya berasa bersyukur, Alhamdulillah. Bila ada bencana macam ini kita tak perlu kira daripada mana orang tu datang untuk memberi bantuan, kita terima dengan baik dan berterima kasih kerana membantu kami meringankan beban,” tambahnya lagi.

Satu keluarga berkhemas di hadapan kawasan rumah mereka. Gambar: Happy Hope Relief

Apabila bercakap mengenai skala daripada misi bantuan bersama Happy Hope Relief ini, “Harapan kami agar usaha kecil kami ini dapat berkembang dan boleh tolong lebih ramai orang tanpa hijab (penghalang), kalau hari ini kami memberi keperluan seperti bantal dan selimut, dengan sumbangan yang lebih banyak daripada semua masyarakat kita dapat membantu mereka dengan lebih banyak lagi,” tambah Mona dan rakan-rakan.

Sebenarnya banyak lagi organisasi lain yang dilihat aktif dalam membantu dan memerlukan bantuan sukarelawan yang boleh kita lihat di laman sosial. Bagi anda yang memerlukan bantuan atau ingin menyumbangkan tenaga anda dalam memberi mereka sedikit sinar dalam musibah yang melanda, anda boleh terus menghubungi organisasi-organisasi seperti berikut:

Happy Hope Relief

Groundzero Flood Relief Funds

ANAABU Displaced Flood Victim Fund

Happy Bank Bantu Banjir

Bantuan Pasca Banjir The Outfits Malaysia X Senipeople

Derma Kilat We Listen Malaysia

Volunteers Needed: Biji-Biji Initiative

Cleaning Equipments Needed: The Pink Stuff

Bantuan Untuk Mangsa Banjir Anonymous Angels

Groove Grocer X Women:Girls Emergency Flood Relief

Bibliophile Ops Bakar & Ops Banjir

Pengumpulan Perabot – Free Furniture

dan pastinya banyak lagi, anda juga boleh kongsikan bersama kami jika anda mengetahui mana-mana badan yang turut menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas dalam bencana banjir dengan emailkan kepada kami noraliaali@cendana.com.my.

Dalam musibah yang melanda, marilah kita sama-sama hulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan. Sememangnya kami di BASKL kagum dengan masyarakat Malaysia yang tidak henti membantu walaupun sedikit, bantuan anda amat dihargai oleh mereka yang memerlukan.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites