Seni NFT, paradigma baharu mengangkat nilai karya seni tempatan

Antara isu yang dihadapi oleh industri seni kreatif tanah air ialah kurangnya kesedaran terhadap keupayaannya dalam menjana ekonomi. Namun, kebangkitan NFT dikatakan akan mengubah keadaan ini dan bakal menyediakan paradigma baharu kepada pengkarya seni. Ikuti kupasan bersama kami

Oleh NIDA ZAHAR untuk Lensa Seni | Gambar Nida Zahar dan Freepik

Antara isu yang dihadapi oleh industri seni kreatif tanah air ialah kurangnya kesedaran terhadap keupayaannya dalam menjana ekonomi.  Masyarakat Malaysia masih memandang rendah kepada mereka yang terlibat dalam bidang ini. Malah penghargaan terhadap karya seni kreatif juga tidak begitu memberangsangkan berbanding negara luar.

Walaupun kebangkitan media sosial telah menyemarakkan semula keperluan kepada ciptaan seni kreatif dalam bentuk digital seperti grafik, video dan audio, sumbangan pengkarya serta pereka dan artis masih dianggap kurang penting berbanding bidang profesional lain.

Namun, kebangkitan NFT dikatakan akan mengubah keadaan ini dan bakal menyediakan paradigma baharu kepada pengkarya seni. NFT atau nama penuhnya Non-Fungible Token ialah data yang dimasukkan ke dalam sesebuah karya digital seperti grafik, animasi atau audio, lalu menghasilkan tandatangan unik menjadikan ia eksklusif pada sesebuah karya.

Dengan kata mudah, NFT menyediakan cara untuk seseorang individu memiliki atau memegang hak kepada sesebuah karya digital secara eksklusif. Konsepnya sama seakan karya lukisan, muzik atau barang koleksi yang lain seperti produk memorabilia dan kad. Bezanya, karya NFT tersimpan dalam bentuk digital.

Transaksi jual beli NFT juga berbeza daripada karya konvensional. NFT bertukar tangan daripada seorang individu kepada individu lain menggunakan teknologi rantaian seperti mata wang kripto. Melalui teknologi tersebut, jejak digital dicipta daripada penjual kepada pembeli untuk mengesahkan transaksi yang hanya boleh dilakukan dalam sesebuah platform digital dengan sokongan mata wang kripto.

NFT, teknologi baharu penggalak seni

Karya NFT yang pertama, Quantum, telah dicipta oleh Kevin McCoy dan Anil Dash dari Amerika dalam bentuk video yang mengandungi klip rekaan Jennifer McCoy, isteri Kevin, pada tahun 2014.  Kevin telah mendaftarkan video tersebut dalam blok rantaian Namecoin dan menjualnya pada harga USD4 semasa pembentangan di sebuah persidangan di New Museum, New York. Teknologi tersebut telah digelar ‘monetised graphics’.

Perkembangan NFT berlaku agak perlahan pada mulanya, namun bangkit pada Mac 2021 apabila 457 karya berbentuk jubin heksagon Etheria, sebuah projek NFT yang dilancarkan pada 2015, berjaya dijual kesemuanya dalam masa 24 jam dengan nilai USD 1.4 juta.

Sejak itu, para pengkarya seni dari seluruh dunia mula berkecimpung dalam penghasilan NFT. Revolusi ini secara tidak langsung telah menyemarakkan industri seni kreatif tempatan dan mula menyediakan ruang baharu untuk artis berkarya dengan potensi nilai komersial yang lebih tinggi.

NFT di Malaysia

Di negara ini, kebangkitan pengkarya yang mendapat manfaat daripada paradigma baharu ini begitu memberangsangkan. Seperti yang dilaporkan Thestar.com.my (16 February 2022), antara pengkarya tempatan yang berjaya meraih nilai tinggi untuk karya mereka termasuklah artis kontemporari, Red Hong Yi dan penyanyi/penulis, Namewee.

Red Hong Yi telah berjaya menjual karya NFT bertajuk Doge to the Moon pada nilai RM325,000 di sebuah platform bidaan dalam talian, manakala Namewee pula meraih RM3.5 juta daripada beberapa foto dan lagu ciptaan beliau.

Seorang lagi pengkarya tempatan yang menempa kejayaan di persada NFT ialah Visithra Manikam. Seperti yang dilaporkan oleh Khaw Chia Hui di laman Thevibes.com (28 November 2021), Visithra telah berjaya menjual tiga buah karyanya kepada penyanyi rap terkenal antarabangsa, Snoop Dogg dalam platform NFT OpenSea. Dia yang merasakan selama ini perjuangannya di arena seni kreatif tempatan begitu sukar mendapat sambutan, kini berbangga dengan kejayaan yang dicapai di peringkat antarabangsa.

Pengasas pasaran sehenti NFT tempatan yang bergelar Pentas, Marish Molah, menggambarkan bahawa pertumbuhan industri NFT di Malaysia adalah amat luar biasa. Menurut Marish, Pentas telah meraih RM5 juta hanya dalam lima bulan pertama ia beroperasi. Ini bukan sahaja memberikan sinar baharu kepada para pengkarya dan pemain industri, tetapi juga bakal membawakan impak kepada masyarakat, malah turut mencipta sudut pandang baharu terhadap bidang seni kreatif.

Accelerated Futurescapes: The Arteon Collection

Selain daripada itu, nilai komersial industri seni kreatif tempatan juga bakal berubah dengan kemajuan NFT. Malah pengalaman menghayati seni juga akan mempertontonkan format karya yang lebih segar dan terkini. Sebagai contoh, hasil karya NFT boleh dikongsi, dipersembah dan dipamerkan dalam bentuk hibrid iaitu secara maya dan fizikal, sekali gus memberikan pengalaman menghayati seni dengan cara yang lebih unik kepada masyarakat.

Mengambil peluang tersebut, baru-baru ini, Volkswagen, syarikat pembuatan kereta German, telah mempersembahkan pertunjukan ‘Accelerated Futurescapes’, sebuah pameran ulung mengetengahkan seni Non-Fungible Token (NFT) di lokasi fizikalnya, Digital Art Gallery, Kedai KL.

Pintu masuk ke Digital Art Gallery, Kedai KL yang mempamerkan karya digital, Accelerated Futurecapes.

Pameran tersebut yang berlangsung dari 25 Januari hingga 21 Februari 2022, telah dikurasikan oleh Filamen, sebuah platform pengkarya audio-visual, dengan kerjasama firma seni bina, No-to-scale*. Diinspirasi oleh kenderaan Volkswagen jenis Arteon R-Line, Accelerated Futurescapes membuka peluang penerokaan digital hubungan sesebuah kereta dengan gambaran ruang masa depan yang berbolak-balik di antara abstrak dan fiksyen.

Pameran ini telah menonjolkan karya dua orang artis, Syed Muhammad dan Jason Choo, yang memaparkan jelmaan dunia baharu kenderaan Arteon R-Line, dengan visi masa hadapan yang diinspirasikan oleh kenderaan berkenaan. Dengan menerapkan tema dan mengadaptasi profil Arteon daripada reka bentuk sehinggalah ke bunyi enjin, kedua-dua artis telah membawakan ciri-ciri tersebut ke tahap yang lebih jauh dalam karya mereka.

Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM8 untuk sekali masuk dan dibenarkan untuk menghayati karya selama mana yang dimahukan.

Dengan tiket berharga RM8, pengunjung dibenarkan masuk ke ruang pameran yang merupakan sebuah bilik untuk menghayati seni yang dipamerkan. Subjek pameran, iaitu karya digital audio-visual dimainkan melalui pancaran projektor daripada salah satu sudut yang diarahkan pada dinding-dinding ruang pameran.

Suasana di dalam ruang pameran.

Karya ini dimainkan daripada satu babak ke babak yang lain dalam bentuk pengulangan. Setiap paparan disertai visual dan juga audio, masing-masing menonjolkan ciri futuristik.

Karya oleh Syed Muhammad berkisar kepada tenaga dan pergerakan yang ditunjukkan melalui visual partikel seakan pasang-surut lalu berjurai. Paparan pada skrin di dinding melihatkan pergerakan corak abstrak dalam dominasi rona hitam dan biru yang bergerak seperti unsur alam lalu membentuk imej akhir yang ingin diketengahkan iaitu kereta Arteon R-Line.

Karya Syed Muhammad yang menonjokan elemen abstrak.

Karya Jason Choo pula bermain dengan imejan fiksyen. Paparan karyanya jelas menunjukkan ciri-ciri keupayaan dimensi ruang dari aspek prestasi kenderaan sekali gus membayangkan sebuah dunia yang boleh dihuni. Membawakan tema ‘kehidupan’ dan ‘penerbangan’, karya Jason mengungkapkan emosinya ketika merasai pengalaman meneroka Arteon.

Karya Jason Choo yang kelihatan lebih jelas dengan bentuk-bentuk garisan yang nyata.

Kedua-dua karya diiringi audio yang menimbulkan rasa semangat, mengambil tema bunyi automotif yang begitu maskulin dan futuristik.

Paradigma baharu buat pengkarya

Karya-karya dan artis yang ditonjolkan serta disebut dalam artikel ini hanyalah sebahagian daripada NFT tempatan yang bakal melangkah menyertai paradigma baharu sebuah industri yang menggabungkan seni dan teknologi IT.

Hal yang menarik ialah karya NFT bukan sahaja serba boleh dari sudut format tetapi juga dari sudut penggunaannya. Terkini, beberapa permainan digital sudah mula mengaplikasikan NFT dalam permainan mereka, membolehkan para pemain membeli item-item dihasilkan dalam bentuk NFT. Ini memberikan peluang pasaran hasil karya yang lebih luas dan pelbagai kepada pengkarya kreatif tanah air.

Penulis di hadapan salah sebuah karya yang dipamerkan.

Alam semesta NFT sedang membina. Pengkarya tempatan perlu mengambil peluang daripada perkembangan ini agar tidak terlalu sempit bergantung kepada lautan merah penjualan karya fizikal yang berkembang agak perlahan. Maklumat lanjut mengenai karya The Arteon Collection boleh didapati di pautan berikut.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di LENSA SENI dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Nida Zahar ialah peserta CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites