Seni anyaman perlu penelitian yang tinggi

Meminati bidang seni anyaman sejak kecil lagi, anak jati kelahiran Sarawak Senia Anak Jugi mengorak langkah mengembangkan bakatnya dalam seni anyaman ini dengan mengetengahkan elemen kontemporari dan tradisonal sebagai daya tarikan terbaharu produknya.

Oleh DANNY ADAM

Sejak pemergian ibu tercinta 50 tahun lalu, Senia Anak Jugi mula berjinak untuk berkecimpung dalam seni anyaman buluh, rotan dan bemban ketika berusia belasan tahun lagi. Menceritakan kepada BASKL bagaimana minatnya dalam seni anyaman ini muncul serta kejayaan yang dikecapinya sehingga kini. Mengimbau kenangan manis itu Senia tidak menyangka beliau mewarisi bakat turun temurun dari keluarganya.

Sebelum arwah ibu ada, saya sering ganggu arwah buat kerja menganyam sehinggalah lama-kelamaan saya rasa seronok dan mula minat untuk menganyam. Pada awalnya saya cuma belajar mencantum bahan anyaman yang tidak digunakan oleh arwah ibu tetapi setelah beliau meninggal ketika saya berusia sembilan tahun, kami adik beradik yang ketika itu menetap di rumah panjang perlu berdikari untuk menampung keperluan harian keluarga.

Hasil anyaman tikar buluh.

“Pada awalnya saya cuba belajar menganyam tikar dan bakul rotan untuk dibawa ke sawah padi kerana selepas pemergian arwah ibu saya bekerja sebagai pesawah padi. Bermula dari situ saya sudah mula perlahan-lahan menganyam secara serius dengan mencari sendiri hasil hutan seperti buluh dan rotan untuk menganyam,” katanya. 

Anak ketiga daripada tujuh beradik ini tidak menyangka minatnya dalam seni anyaman ini diteruskan apabila beliau mula memikirkan masa depan keluarga sehingga menyebabkan terlintas di fikirannya untuk menjadikan seni anyaman ini sebagai sumber pendapatan keluarga. Langkah itu diteruskan walaupun beliau tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan tidak mengetahui selok-belok dunia perniagaan.

“Untuk mengubah nasib keluarga saya perlu tekad dan perlu pandang kehadapan serta berusaha. Keluarga saya bukanlah keluarga yang senang jadi saya fikir apa salahnya saya gunakan bakat yang saya miliki ini dalam bidang seni anyaman digunakan sebaik mungkin. Bagi saya ilmu boleh dicari, jika minat terhadap sesuatu bidang itu.

“Pada suatu hari, ketika saya mendengar radio juruhebah itu memaklumkan mengenai kursus anyaman di Kuching, Sarawak. Tanpa berfikir panjang saya mahu mengikuti kursus itu kerana saya sudah ada latar belakang dalam seni anyaman cuma mahu timba ilmu lagi dan mencari pengalaman. Bermula dari situlah saya memulakan langkah saya dalam bidang seni anyaman,” jelasnya lagi.

 Kehidupan berubah

Senia berkata ketika tahun 70-an kehidupannya sungguh berbeza berbanding sekarang ini apabila malam terpaksa bergelap, mandi di sungai, jalan raya masih berwarna merah dan sebagainya. Selepas mengikuti kursus anyaman di Kuching, Senia ditawarkan untuk menyertai kraftangan dalam bidang jahitan beg di Kuala Lumpur anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Satu tahun setengah saya dengan kraftangan, banyak kemahiran dan pendedahan diberikan kepada saya dengan mengenali dunia perniagaan, mengenali agensi-agensi yang terlibat dalam kraftangan dan sebagainya. Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman yang saya miliki semasa berada di Kuala Lumpur, saya balik semula ke Sarawak untuk membuka perniagaan kraftangan di tempat asal saya.

“Saya usahakan perniagaan anyaman saya ini secara kecil-kecilan dan sangat terkejut pernah suatu ketika dahulu tempahan anyaman saya mencecah sehingga 40,000 daripada perbadanan kraftangan,” katanya.

Anyaman kontemporari

Antara hasil tas tangan yang dibuat oleh Senia.

Tidak mahu ketinggalan dalam dunia pemodenan, Senia turut mengikuti trend semasa dalam penciptaan produk-produk kraftangan ini. Baginya jika tidak melakukan sesuatu perubahan terhadap produknya agak sukar untuk beliau bersaing dalam dunia anyaman ini. Oleh itu Senia telah melakukan beberapa perubahan dalam produk anyamannya dengan mengetengahkan gabungan kontemporari dan tradisional.

“Saya perlu bergerak seiring dengan arus teknologi dan pemodenan jika ingin berjaya dalam bidang ini. Malah saya juga perlu bijak mencari peluang dengan menggunakan pemasaran yang lebih canggih seperti menggunakan media sosial dan sebagainya. Walaupun saya meletakkan elemen kontemporari dalam produk-produk anyaman saya tetapi saya tidak akan sesekali membuang elemen atau bahan asal daripada produk itu kerana itulah keaslian dan ketulenan produk saya. Itu adalah jati dan lambang saya dalam menghasilkan produk anyaman.

“Bagi saya jika kita masih lagi berada di takuk yang lama dalam menghasilkan produk ia agak sukar untuk berkembang maju kerana kita tidak boleh lari dengan peredaran masa yang begitu pantas dengan kecanggihan teknologi. Jadi sebagai usahawan kraftangan, saya menggunakan segala ilmu yang ada serta bakat yang dimiliki ini untuk mempelbagaikan seni anyaman saya terhadap produk yang dihasilkan,” katanya.

Senia bersama rakan-rakan dari Brunei Darussalam di bengkelnya.

Ketika ditanya adakah sukar untuk mendapatkan hasil hutan dalam menghasilkan produk anyaman ini, Senia berkata negeri Sarawak kaya dengan hasil hutan dan tidak ada masalah untuk beliau mendapatinya. Malah secara tidak langsung juga beliau dapat membantu masyarakat kampung untuk membuat anyaman dan mencari bahan-bahan yang diperlukan.

“Saya akan meminta bantuan daripada masyarakat kampung untuk melakukan beberapa produk anyaman sebelum dihantar ke bengkel saya yang terletak di Petra Jaya, Sarawak. Apabila produk itu dihantar ke bengkel saya, saya akan membuat ‘touch-up’ yang terakhir sebelum dijual kepada pelanggan,” katanya.

Hasil penat lelah Senia dalam seni anyaman lebih 40 tahun akhirnya membuahkan hasil apabila beliau telah menjadi tenaga pengajar dengan mengadakan beberapa siri bengkel mengenai anyaman di seluruh negara. Benarlah kata pepatah terbilang melayu ‘Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan’.

Sekiranya anda berminat untuk mengikuti kraftangan anyaman yang diusahakan oleh Senia, anda boleh layari laman sosial media beliau di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites