Sediakan trofi dan berikan kepada Imaginur!

Oleh AZUWAN AHMAD

Setakat waktu tulisan ini ditaip di komputer riba pemberian isteri penulis, Imaginur telah mencatat kutipan RM 3 juta seperti mana yang dihebahkan di laman Instagram pengarahnya Nik Amir Mustapha. Ternyata filem yang diterbitkan oleh Lumatic Films ini ditulis sendiri oleh Nik dan pelakon serta penulis, Redza Minhat. Di tengah pukulan ombak keghairahan mengenai filem ini, penulis mengambil peluang untuk mendayung sampan sambil mencuba untuk membawa sedikit bingkisan ulasan mengenai filem ini. 

Sedikit sipnosis mengenai filem ini, ia menceritakan mengenai Zuhal, lelaki malang yang ditinggalkan kekasih mengalami kejadian yang berulang-ulang setelah bertemu dengan seorang ahli terapi psikologi aneh bagi mendapatkan jawapan mengenai masalah hidupnya. Filem ini dibintangi oleh Beto Kusyairi, Diana Danielle, Afdlin Shauki, Nadiya Nissa dan Anas Ridzuan. 

HASRAT, nyanyian Amir Jahari untuk OST Filem Imaginur

Penulis mahu memulakan ulasan ini dengan sebuah cerita  tentang seorang lelaki yang pernah penulis kenal di dalam hidup yang penuh fana ini. Dia adalah seorang lelaki yang memberi inspirasi dan definisi yang tepat mengenai berjuang dalam hidup. Bung adalah seorang anak yatim  piatu yang hidup di tengah bandar Kuala Lumpur di zaman kecilnya. Seperti di dalam drama-drama Melayu, Bung sering diseksa mak saudaranya dan acapkali dikurung serta dikunci di bawah kolong rumah sebagai sebuah bentuk hukuman. Pada suatu malam, Bung mengumpul tekad untuk lari setelah dilepaskan oleh sepupunya dari bawah kolong dan merayau di sekitar Chow Kit dan Kampung Baru. Benar Tuhan itu maha adil, dia ditemui seorang insan berhati pemurah dan diangkat serta diasuh seperti anak sendiri. Dia kemudian tumbuh bahagia sebagai seorang manusia dan kemuncak kebahagiannya tercipta apabila bertemu Che Ross, gadis kacukan Cina sebagai suri hati. 

Tuhan pemilik sekalian alam mempunyai rancangan yang lain untuk Bung menjelang usia senjanya. Che Ross mendahuluinya pulang menemui pencipta dan semenjak itu kesihatannya semakin merosot dan disahkan mengidap penyakit Alzheimer. Bagi Bung, Che Ross adalah cinta mati dan memenuhi segenap ruang yang ada dalam hidupnya. Kehilangan Che Ross benar-benar memberi tamparan hebat baginya melebihi waktu-waktu dikurung di bawah kolong rumah itu. Banyak kali terjadi, Bung sering lupa Che Ross sudah tiada. Ada waktu-waktu ketika di tengah keramaian, Bung masih bertanyakan tentang keberadaan Che Ross dan setiap kali itu lah anak atau cucunya menyampaikan kenyataan yang pahit itu. Di hari yang lebih baik, dia akan mengeluarkan foto Che Ross yang masih muda di dalam dompetnya. Tulisan di belakang gambar tercatat, Che Ross lahir di tarikh sekian-sekian, meninggal dunia di tarikh sekian-sekian. Mungkin sudah beratus kali kejadian ini berlaku, dan beratus kali jua lah hatinya patah. Kalimat Che Ross sudah tiada, Che Ross sudah tiada sudah lama membunuhnya sebelum dia dijemput Tuhan akhir tahun lalu. Khalas

Tulisan Nik dan Redza yang begitu baik dan kemas mengangkat tema ini di dalam Imaginur. Selepas sesi tayangan pratonton yang pertama (sebelum malam gala tayangan perdana), penulis berbual-bual dengan Nik di koridor pawagam dan dia menyebut mengenai kisah Sisyphus ketika menulis filem ini. Bagi anda yang tidak mengenali nama Sysyphus ini, dia adalah seorang raja wilayah Corinth di dalam kisah mitos Greek. Dia telah dihukum oleh Dewa Hades kerana menipu maut 2 kali. Hukumannya adalah menggolek batu besar dari bawah ke puncak bukit, dan apabila dia hampir ke puncak, dia harus menggolekkan batu itu ke bawah semula hanya untuk menggolekkannya kembali ke puncak. Hukuman ini disumpah untuk dia lakukan berulang kali, selama-lamanya. Nik dan Redza mengambil sumpahan untuk dilihat dari kaca mata seseoarang yang mengidap penyakit Alzheimer. Cerita ini membawa penonton menyelami dan merasai sebuah kondisi dimana kita terperangkap di dalam turutan peristiwa yang berulang-ulang. Mahu saja kita menjerit untuk pecah dari gelembong yang pedih dan tiada habisnya itu. Bagaimana untuk mengingkati sebuah kenyataan yang kita tidak tahu hujung pangkalnya? 

Ada satu ‘shot’ di dalam satu babak dalam cerita ini yang sangat menarik minat penulis.  Babak dimana watak Zuhal yang pergi ke ‘klinik’ Dr. Ramli lakonan Afdlin Shauki ada ‘shot’ yang merakam sebuah novel tulisan Albert Camus berjudul A Happy Death. Penulis tidak tahu apakah Nik sengaja memilih buku itu atau dia menunjukkan ‘poyo’ namun buku tersebut tema nya tepat dengan cerita watak utama dalam filem ini. Novel tersebut menceritakan tentang seorang lelaki yang hidupnya terasa kosong dan mendatar. Dia bertemu dengan seorang kaya yang menawarkan jalan keluar untuk hidup bahagia iaitu dengan membeli waktu. Kegembiraan juga memerlukan kesabaran dan untuk mempunyai kesabaran harus menunggu. Persoalan yang timbul adalah bagaimana kita menghabiskan banyak waktu dalam hidup untuk membuat wang tanpa sedar kita tidak dapat menikmati wang tersebut. Mersault, lelaki dalam novel tersebut telah membunuh si kaya untuk menikmati wangnya namun secara ringkas dia tidak menemui kegembiraan yang dicari. Akhirnya dia sedar bahawa dia menemui kenyamanan dan ketenangan tanpa hiruk pikuk dunia serta akhirnya memilih untuk hidup dalam keterasingan dunia untuk mati dalam aman gembira. 

Watak Zuhal dalam filem ini juga begitu secara ironinya. Sepanjang penceritaan filem ini dia cuba mencari jawapan di dalam peristiwa berulang yang menimpa dirinya sehingga mendorong dia untuk berjumpa dengan Dr Ramli dengan harapan dia dapat keluar daripada putaran yang tiada hentinya itu. Namun, dalam tidak sedarnya dia mula merasa nyaman, diam di situ apatah lagi dia mempunyai motivasi untuk bertenang dengan seorang wanita yang muncul dalam putaran tersebut. Di situ, dia jatuh cinta berkali-kali dalam keadaan ragu dan kemudian memberanikan diri untuk melangkah dengan rasa yang wujud dalam diri. Penonton dibawa bersama watak Zuhal dan ini yang membuatkan penonton rasa puas dan menyorak bagi pihak Zuhal. Dia merupakan watak fiksi yang sempurna. Barangkali di sekolah filem atau sekolah seni, wajib menayangkan filem ini sebagai rujukan yang baik bagi bakal pembikin-pembikin filem. Paling tidak, ia mewujudkan rasa inspirasi kepada penuntut sekolah-sekolah seni dan tidak hanya keluar dari institusi marah kerana tidak diberi peluang dalam industri. 

Lakonan dalam filem ini tidak perlu saya ulas panjang. Beto sudah banyak kali menunjukkan kemampuannya di skrin layar lebar. Dari pendekar perang, watak lelaki polos yang jatuh cinta sehinggalah watak yang memerlukan cara lakonan yang rumit di tengah penggambaran musim pandemik, dia membuktikan bahawa prestasi perlu ditunjukkan dalam kerja yang tekun dan sabar. Bagusnya Beto, membuatkan rakan lakonnya, Diana Danielle juga nampak bagus dalam skrin. Secara jujur, penulis tidak pernah gemar Diana di atas skrin yang lebar. Namun untuk pertama kalinya dia nampak ‘cantik’ (di mata penulis) dan seolah-olah watak Nur itu memang ditakdirkan untuk dirinya. Penulis yakin ada diskusi baik berlaku antara Beto dan Diana di belakang tabir bagi menjayakan  babak-babak di dalam filem ini. Penulis juga memuji lakonan Afdlin Shauki yang sememangnya penulis tahu secara peribadi dia memang seorang performer berbakat. Penulis tidak boleh membayangkan Dr Ramli yang lain selain Afdlin. Watak seorang pintar yang selekeh dan tidak teratur, memang kena dengan Afdlin. 

Nik Amir telah mengarah beberapa filem sebelumnya namun tidak berkenan di hati penulis. Kali ini, dia telah benar-benar berjaya menambat hati ramai orang dengan karya ini. Penulis pasti proses penggambaran dan penyuntingan agak rumit berbanding filem-filem biasa kerana kalau tidak disunting dengan baik, filem ini akan ‘runtuh’.  Filem ini sebenarnya membawa tema yang berat dan dalam, namun penulis berterima kasih kepada Nik dan Redza kerana tidak overdo setiap proses pembikinan.  Penulis tidak tahu Nik secara peribadi bagaimana orangnya, tapi dia telah melakukan satu perkara kebaikan dengan menayangkan karyanya ini kepada orang ramai. 

Summer: FB GSC

Seperti mana penulis mengenali seorang ‘Bung’ dalam kehidupan ini, penulis pasti orang-orang di luar sana sama ada membaca tulisan ini atau tidak mengenali ‘Bung’ dalam hidup mereka atau sebenarnya kita juga adalah seorang ‘Bung’ yang mula menyedari diri terperangkap dalam kitaran yang tiada putus-putusnya. Filem ini mengajak kita untuk tetap gembira walaupun terperangkap dalam putaran ini. Untuk menikmati dengan tenang dan sabar atas ketentuan takdir, qada’ dan qadar’ Tuhan yang Maha Esa. 

Pergilah menonton filem sementara masih ada di pawagam. Filem ini tidak menelan perbelanjaan yang begitu besar seperti filem yang lain, namun filem ini akan memuaskan anda secara dalaman. Pesan kepada penganjur program anugerah filem yang ada di Malaysia, batalkan sahaja untuk tahun ini kerana kita sudah ada pemenang!

Setelah dua minggu ditayangkan di pawagam, pihak sinema tempatan berkeputusan untuk melanjutkan tayangan Imaginur di premis mereka . Syabas untuk semua yang terlibat di dalam file mini. Anda boleh pergi ke pautan ini. 

Ikuti kisah-kisah lain yang menarik di Baskl:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites