Sama-sama duduk di rumah dan berdikir sepanjang PKP 3.0

Dikir kekal relevan dan masih 'hidup' sehingga ke hari ini.

Oleh FAZRINA JASMIN

Berkain pelikat dan berbaju t putih, beberapa susuk tubuh yang terpapar menerusi bingkai-bingkai kecil di skrin komputer terlihat sedang tunduk statik merenung ke bawah sambil duduk diam di atas lantai, melainkan seorang sahaja yang jelas kelihatan berada pada posisi duduk di atas kerusi. Seminit lebih kemudian, struktur individu yang pada awalnya statik itu mula mempamerkan corak gerak tari pantas yang tersusun dan berulang-berulang, seiring dengan tempo muzik latar (seakan-akan bunyi perkusi atau genderang) yang terdengar berubah menjadi semakin rancak.

Sesekali, individu yang terdahulu berada di atas kerusi sekadar diam berdiri dan adakalanya terlihat seolah-olah memerhatikan aksi dan pergerakan “anak-anak buahnya” yang berada di bawah, sebelum dia “dijatuhkan” dari kerusinya tanpa sebarang amaran pada saat-saat akhir. Susunan gerak tari yang kemas dengan transisi “penceritaan” yang tepat, tangkas dan berstamina tetapi cukup santai dan bersahaja – sekadar berkain pelikat dan berbaju t – secara keseluruhannya menyajikan pengalaman menonton yang mampu menarik perhatian menerusi konsep yang dibawa dan agak mengujakan, selain memberikan vibe yang boleh membangkitkan mood serta menaikkan lagi semangat – semacam suatu bentuk adrenaline rush atau peningkatan tenaga yang hampir sahaja serupa seperti mana dirasakan sejurus habis beriadah mahupun setelah selesai menjalani sesuatu kegiatan fizikal yang lasak.

Projek Dikir Through the Lenses (Dikir) merupakan “buah tangan” yang dipersembahkan di luar pentas oleh para penari dan pelatih ASK Dance Company (ADC) bersempena dengan Hari Tarian Antarabangsa. Diinspirasikan oleh dikir barat yang lazimnya menggunakan frasa pergerakan berulang-ulang sewaktu penceritaan, Dikir merupakan sentuhan kreatif penari merangkap koreografer Raziman Sarbini di bawah arahan dan suntingan Mohd Zulkarnain Zuber. Mengambil kira situasi Covid-19 yang tidak menentu, ahli ADC telah mendapat cetusan idea agar menghasilkan Dikir secara dalam talian dengan sesi latihan mula mengambil tempat di rumah masing-masing sewaktu PKP 2.0. Susunan dan rakaman video akhirnya berjaya dihasilkan di dalam studio setelah tamat tempoh PKP 2.0 baru-baru ini.

Menurut Raziman yang berasal dari Limbang, Sarawak dan merupakan lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) selain New York University sebelum bertugas sebagai pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, pengalaman belajar di dalam kelas yang amat berdaya saing membuahkan kepada pembikinan koreografi Dikir yang buat julung kalinya dihasilkan pada 2014 dan dipersembahkan menerusi “Gelombang Baru”, iaitu produksi tahunan Fakulti Tari ASWARA bagi mencungkil bakat dan memberi pendedahan kepada kumpulan koreografer muda yang berpotensi di Malaysia.

“Penceritaan di sebalik tabir koreografi tersebut adalah berkait rapat dengan pengalaman saya belajar di dalam satu kelas. Suasana di dalam kelas memang sangat competitive. Setiap kumpulan mempunyai ketua dan anda ada dua pilihan – sama ada ingin mengikut atau menentang, atau ingin mematuhi peraturan kerana semua orang pun mematuhi peraturan atau memilih sebaliknya mengikut kemahuan sendiri (free will). Tak semua orang akan setuju dengan apa yang kita cakap atau setuju dengan peraturan yang diberikan oleh kerajaan atau sesiapa sahaja. Setiap orang ada pendirian dan hala tuju masing-masing. Itu jugalah falsafah yang mendukung piece tarian ini.”

Menjadikan karya terkenal koreografer antarabangsa Ohad Naharin sebagai sumber inspirasi, elemen kerusi yang terdahulu ditonjolkan menerusi persembahan tidak lain dan tidak bukan melambangkan kuasa mutlak – sesiapa yang berada di kerusi tersebut memegang tampuk kuasa bagi mengendalikan seluruh warga yang berada di atas lantai di bawah. Simboliknya, mereka ini boleh jadi terdiri daripada pengikut, rakan-rakan atau juga anggota masyarakat.

Pada tahun berikutnya, Dikir sekali lagi dibawa dan dipersembahkan menerusi “Tepak Tari 2015” di Kuala Lumpur International Arts Festival. Jelas Raziman, “Pada waktu itu saya ubah karya tersebut daripada pakaian biasa kepada kain pelikat agar lebih menjurus kepada identiti Malaysia. Perkataan ‘dikir’ itu sendiri sangat tradisional, seperti persembahan dikir barat di Kelantan. Idea dikir barat menyebabkan saya ubah dari kerusi seterusnya duduk di lantai supaya lebih cenderung kepada identiti tradisional Malaysia yang lebih authentic.”

Mengambil Akram Khan yang dikenali di serata dunia menerusi identiti tarian kathak sebagai contoh, Raziman menyarankan agar penari-penari tempatan lebih mendalami dan menonjolkan identiti Malaysia dalam pengkaryaan mereka supaya lebih menyerlah – sekaligus mencipta peluang agar dikenali di pelusuk dunia.

Seiring dengan itu, pencapaian terbesar yang amat mengujakannya menerusi Dikir ialah ia kekal relevan dan masih “hidup” sehingga ke hari ini. Raziman juga yakin Dikir tidak akan lenyap atau hilang ditelan waktu selama mana orang masih menghargai dan konsisten tarikannya tidak kira di mana sahaja, termasuklah di rumah. Sungguhpun cara kiraan rentak tarian ini amat pantas dan agak rumit serta memeningkan, namun dia amat gembira dan berbesar hati memandangkan Dikir tetap dihargai dan diberikan peluang sedemikian rupa.

Kata Raziman: “People are doing Dikir at home – sama seperti inisiatif yang diambil oleh ADC. Pada saya ini amat besar ertinya dan tarian ini tidak akan ‘pupus’ sekiranya orang masih berbuat demikian. Saya sudah tentunya amat berbangga dan menyokongnya 100 peratus.”

1 comment

  1. Terima kasih atas liputan salah sebuah karya yang mendapat sambutan di mana sahaja dipersembahkan. Dikir Through the Lenses merupakan sebuah reinvensi karya ini melalui lensa yang memberi nafas baharu. Tahniah diucapkan kepada semua yang menjayakannya terutamanya Mohd Zulkarnain selaku videographer/pengarah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites