Projek pemetaan cahaya ‘TERANG’ suluhkan perhatian kepada seni bina warisan lama

Ini peluang untuk melangkah masuk ke alam di mana pesona dunia lama menari harmoni bersama inovasi apabila salah satu seni bina kolonial tertua di Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama dalam satu projek pemetaan unjuran bertajuk TERANG.

Dari 20 hingga 29 Oktober 2023, permukaan bangunan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) akan dihidupkan dengan 34 karya seni digital yang turut diserikan dengan pesona cahaya dan muzik pada waktu malam. Bertemakan Warisan (Heritage), pertunjukan tersebut menghimpunkan 13 artis dari Thailand, Indonesia dan Malaysia, berserta sumbangan kreatif daripada 21 pelajar universiti tempatan dan antarabangsa.

TERANG merupakan satu inisiatif diterajui oleh Filamen, sebuah organisasi tempatan yang menghimpunkan seni media baharu yang turut menguruskan beberapa pameran seni digital paling dikenali di Malaysia. Mengambil maksud asas perkataan ini, TERANG melambangkan dan membawa maksud kecerahan, iaitu satu usaha untuk melindungi kekayaan sejarah dan identiti negara dengan membawa seni bina warisan kembali menjadi tumpuan di era moden ini, sekaligus membolehkan penonton menjadi sebahagian daripada dialog antara masa lalu dengan masa kini. Menjangkau lebih daripada sekadar seni digital, TERANG merupakan platform di mana komuniti seni bersatu untuk membayangkan semula potensi seni digital yang tidak terhingga dalam memperbaharui ruang dan budaya.

TERANG edisi 2023 mempersembahkan 34 karya seni pemetaan video bercahaya berdurasi satu setengah minit, yang setiap satunya diperindah dengan konsep yang berkisarkan tema Warisan bagi memberi penghormatan kepada tradisi dan asas kepelbagaian budaya terperinci dari negara asal para peserta.

Dicipta oleh artis profesional termasuk Pavee dari Thailand, Ape Plus Studio dari Indonesia dan OneShot Production dari Malaysia serta pelajar universiti dari Universiti Teknologi Nanyang, (NTU Singapura), Universiti Rangsit Kolej Antarabangsa, Thailand, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan The One Academy dari Malaysia, karya-karya multisensori ini dipersembahkan dengan berlatarbelakangkan bangunan MaTiC yang mempunyai struktur klasik yang boleh dilihat sejak tahun 1935. Pertunjukan pemetaan unjuran TERANG bersedia untuk memukau kira-kira 30,000 penonton menerusi sembilan persembahan yang diadakan pada waktu malam.

“Malaysia merupakan pusat khazanah bangunan-bangunan dengan seni bina yang cantik dan penuh sejarah. Ciri-ciri warisan yang tersendiri ini sering dibayangi oleh kepesatan pembangunan bandar yang berterusan. Kami percaya bahawa TERANG memanfaatkan keupayaan transformatif yang membawa daya hidup dan tarikan yang berbeza menerusi seni bina tradisi ini. Seandainya penonton persembahan ini pulang bersama minat dan semangat untuk menghargai warisan bersejarah bersama kami, maka separuh daripada misi kami bakal tercapai,” kata Abdul Syakir yang lebih dikenali sebagai Grasshopper, penganjur TERANG merangkap pengasas Filamen.

Persembahan perasmian TERANG berlangsung di MaTiC, sebuah bangunan bersejarah berusia 88 tahun dengan reka bentuk seni bina kolonial yang terletak di salah satu jalan terawal dan terpanjang di bandar raya Kuala Lumpur. Seiring saksi peredaran masa, seni bina warisan itu pernah menjadi pejabat perang Tentera British semasa Perang Dunia Kedua, ibu pejabat Tentera Imperial Jepun dan menjadi tuan rumah acara penting seperti mesyuarat pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1959 dan istiadat pertabalan bagi beberapa Yang di-Pertuan Agong. Bangunan bersejarah itu juga pernah menjadi Balai Seni Negara Malaysia dari 1958 hingga 1984 dan kini, ia menempatkan Pusat Pelancongan Malaysia.

TERANG dimulakan dengan sesi panggilan terbuka pada Ogos 2023 dengan menjemput artis tempatan dan antarabangsa, serta pelajar universiti yang pakar dalam program seni, kreatif dan media baharu untuk menghantar karya seni mereka bagi pameran pemetaan unjuran selama sembilan hari itu. Karya-karja itu kemudiannya dinilai oleh panel pakar pemetaan unjuran terkemuka dari seluruh rantau Asia Tenggara, dengan tawaran hadiah kepada mereka yang layak.

Panel hakim terdiri daripada Jib dari Thailand (Ketua DecideKit dan pemenang hadiah kedua Pemetaan Unjuran 1 minit 2019 di Istana Odawara di Kanagawa), Adi Panuntun (Ketua Pegawai Eksekutif Sembilan Matahari – studio audiovisual dan multimedia di Bandung, Indonesia) dan Fadjar Kurnia dari Indonesia (Pengarah Kreatif The Fox the Folks dan Pemenang Hadiah Utama Pemetaan Unjuran 1 minit 2021 di Galeri Gambar Memorial Meiji di Tokyo) serta Ts. Dr. Jazmi Jamal (Pengarah Future Creative School, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Program bengkel dan sesi perkongsian akan diadakan untuk mengeratkan hubungan antara pengunjung dengan pameran TERANG, dan juga seni pemetaan unjuran. Gabungan dengan ASWARA, TERANG oleh Filamen adalah salah satu acara pameran digital seni yang diaktifkan bersempena dengan SEA Futurist dalam Pertukaran Seni dan Budaya 2023 (SEA Futurist 2023) untuk memampankan potensi dalam memelihara warisan budaya tidak ketara melalui pendigitalan. SEA Futurist 2023, yang dikuasakan ol Future Creative School ASWARA, adalah program khas yang dicipta untuk menerokai penggabungan seni, tradisi dan inovasi dengan ahli teknologi kreatif dari Asia Tenggara.

TERANG dianjurkan oleh Filamen dan Pixel World, dengan anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, ASWARA, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan direalisasikan oleh rakan projeksi EPSON Malaysia, MyCreative Ventures (MyCV), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), AirAsia, dan RUBIX Communications.

TERANG dibuka kepada semua bermula 8 malam hingga 11 malam dan berlangsung sehingga 29 Oktober 2023. Masuk adalah percuma. Sertai perjalanan di mana sejarah, seni dan inovasi bergabung! Maklumat lanjut ada di Facebook dan Instagram Filamen.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites