Perdana Menteri Ke-10 melalui lensa Sadiq Asyraf

Sadiq Asyraf merupakan seorang jurugambar yang kian meningkat nama di mana sekarang beliau bersama pasukannya dilantik menjadi sebahagian daripada Pejabat Perdana Menteri ke-10

Oleh DANIAL FUAD

Jurugambar ahli politik kini semakin diberi perhatian di mana jurugambar seperti Pete Souza yang mengikuti Barack Obama dan Adam Scotti bersama Justin Trudeau kian meningkat nama dalam dunia foto kewartawanan. Di Malaysia juga baru-baru ini tular dengan gambar-gambar liputan kempen pilihan raya Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sangat menarik komposisinya. Ini semua merupakan hasil tangan Sadiq Asyraf, seorang jurufoto kewartawanan yang kian meningkat nama dan juga kini merupakan jurugambar bagi Perdana Menteri Malaysia Ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sadiq merupakan bekas pelajar jurusan sains di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyedari bahawa minat dan kecenderungan beliau terhadap bidang fotografi semakin bercambah ketika berada di tahun pertama pengajian.

“Pada tahun 2010, saya menyertai sebuah kelab fotografi universiti yang dinamakan Kelab Fotokreatif di mana selain menjadi sumber untuk saya mempelajari kemahiran asas fotografi, kelab ini juga mengendalikan servis pengambilan gambar graduan semasa majlis konvokesyen di UTM,” ujar Sadiq yang juga telah dilantik sebagai presiden kelab tersebut pada tahun 2013.

“Selain itu, saya juga mula menyediakan servis fotografi secara profesional di luar kampus secara sambilan. Antaranya adalah untuk majlis perkahwinan dan juga di sektor korporat. Setelah beberapa tahun, saya semakin berminat untuk meneruskan cita-cita saya untuk menjadi seorang jurugambar sepenuh masa.”

Atas dasar tiada pendidikan formal dalam fotografi, Sadiq yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang fotografi, sukan, sejarah dan politik, telah mencari jalan untuk menggabungkan segala minat beliau untuk menjadikannya sebuah kerjaya sebagai jurufoto kewartawanan. Sadiq telah mencari cara untuk melangkah ke dalam bidang tersebut. Sadiq mengulas, “Saya mula berjinak-jinak dalam foto kewartawanan pada tahun 2016 di mana saya telah diberi didikan oleh seorang jurugambar sohor kewartawanan, Shamshahrin Shamsudin. Pada hujung tahun tersebut, saya telah mengadakan sebuah pameran fotografi dan tahun seterusnya adalah permulaan karier saya sebagai jurufoto kewartawanan secara formal.”

“Tugasan pertama saya adalah mengenai kes pembunuhan Kim Jong Nam di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk The Asahi Shimbun, sebuah syarikat akhbar dari Jepun, di mana saya membuat liputan foto kes tersebut itu dari awal sehingga penghujung kes yang mana saya juga sudah mula bekerja dengan sebuah agensi berita antarabangsa, Associated Press (AP).” Tambah beliau lagi, beliau juga telah diberikan tugasan oleh Reuters dan juga Agence France-Presse (AFP) sepanjang kariernya sebagai jurugambar kewartawanan.

Beliau juga tidak terkecuali daripada kesan pandemik di mana dia menyatakan, “saya terus melakukan tugasan bersama mereka sehingga hujung tahun 2019 dan pada tahun 2020, pandemik telah melanda negara membuatkan saya kehilangan peluang kerja.” Tambah Sadiq lagi, “Selalunya, jurugambar kewartawanan ini akan berkhidmat di bawah sesebuah agensi berita dan tidak ramai yang melakukannya secara bebas.”

Tetapi siapa sangka, di balik hujan ada pelangi, di mana di hujung pandemik ini, ketika kita sedang menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) yang ke-15, Sadiq telah memulakan perjalanan kerjaya yang baru sebagai jurugambar Anwar Ibrahim sepanjang kempen berlangsung. “Saya pernah meliputi PRU Ke-14 sebagai pengamal media dan untuk PRU Ke- 15 ini, saya cuba untuk mencari satu tokoh politik yang saya boleh tonjolkan dari segi visual. Dalam masa yang sama, Pejabat Anwar Ibrahim juga sedang mencari seorang penasihat visual dan jurugambar profesional, jadi saya terus mengambil peluang dan melontarkan idea dan pendapat kepada mereka,” ujar Sadiq tentang titik permulaan kerjaya beliau bersama Anwar Ibrahim.

Jadi timbullah gambar-gambar yang berkualiti tinggi yang sering kita lihat dimuat naik di media sosial Anwar Ibrahim ketika berkempen yang dihasilkan oleh Sadiq dan rakan sekerja, Afiq Hambali. Beliau juga telah menyatakan, “semasa saya sedang melontarkan idea kepada pasukan Anwar Ibrahim, saya dapat tahu bahawa beliau adalah seorang yang sangat teliti dengan visualnya. Beliau inginkan seseorang yang boleh memahami dari segi visual tentang penyampaian mesej yang lebih berkesan kepada umum dan sering menyemak media sosialnya.”

Setelah dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah meneruskan khidmat Sadiq sebagai penasihat visual. “Salah satu perbezaan yang saya rasa sebelum dan selepas DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adalah jarak antara kami semakin jauh berbanding semasa berkempen. Kalau sebelum ini beliau cuma dikawal oleh beberapa pengawal peribadi, kini pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) yang jumlahnya lebih besar menjadi pengawal keselamatan rasmi untuk  Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Selain itu, di mana sahaja DS Anwar Ibrahim berada, orang ramai yang mengerumuni beliau sangat besar jumlahnya berbanding sebelum ini. Tambahan lagi, sebelum ini kita hanya meliputi kempen beliau tetapi kini kita meliputi waktu kerja beliau yang lebih padat,” ujar Sadiq.

Penulis BASKL, Danial bersama Sadiq Asyraf.

“Antara cabaran yang orang tidak nampak adalah dari segi ketahanan jasmani dan mental kita kerana liputan politik seperti ini merupakan satu perkara yang memerlukan fokus yang tinggi,” ulas Sadiq di mana beliau menambah lagi, “Kita perlu menghasilkan visual baru setiap hari di mana idea semalam tidak boleh diulang lagi. Jadi, otak kita akan sentiasa berputar untuk menghasilkan idea yang segar dalam waktu yang singkat.”

Kata akhir dari Sadiq adalah supaya fotografi dan seni visual dapat diangkat dan dihargai sebagai suatu perkara yang tinggi nilainya: “Sekarang kita hidup dalam dunia serba moden dengan kewujudan media sosial menunjukkan bahawa betapa pentingnya foto, video dan visual dalam kehidupan manusia. Mana-mana industri yang tidak memandang serius tentang kepentingan visual akan ketinggalan jauh di belakang. Namun industri kewartawanan di Malaysia dilihat masih lagi memandang rendah terhadap visual yang hanyalah menganggap kita unit sokongan sahaja. Diharapkan pendidikan visual di negara ini terus berkembang dan kesedaran orang ramai tentang kepentingan visual semakin bercambah.”

Kini Sadiq sedang mempamerkan karya-karya hasil tangkapannya ketika pandemik yang diberi judul NEVER FORGET: 2020-2022 by Sadiq Asyraf di Leica Store Kuala Lumpur @ Avenue K sehingga 5 Feb 2023. Sadiq juga telah dilantik oleh Leica untuk menjadi Duta 2023 mereka.  Gambar-gambar Sadiq boleh dilihat di laman sesawang beliau ataupun melalui Instagram @sadiqasyraf.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites