Dikir Barat yang sinonim dengan negeri Kelantan, amatlah popular di Malaysia malahan kedengaran di peringkat antarabangsa. Namun begitu, seni persembahan dikir barat tidak terlepas dari kemajuan teknologi dan pelaksanaan idea-idea baharu. BASKL berpeluang menonton persembahan dikir barat moden dengan sentuhan 3 elemen teknologi.
Oleh AZUWAN AHMAD
Pada 20 Okt lalu bertempat di Stage 1, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama, Petaling Jaya Selangor telah mempersembahkan Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’: Kisah Hang Tuah. Persembahan unik ini merupakan hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (PERSIDAYA), Akademi Arjunasukma (Kumpulan Dikir Barat), KINO Studios (Teknologi) dan PUSAKA.
Dikir Barat ‘Sentuhan Teknologi’ merupakan pembangunan produk kesenian Dikir Barat yang menggabungkan 3 elemen teknologi dalam persembahan iaitu Projection Mapping, Holographic dan Motion Capture tanpa menjejaskan asas kesenian tradisional. Bagi anda yang kurang tahu mengenai projection mapping, ia adalah sebuah teknik yang menggunakan projektor ke atas apa-apa permukaan seperti dinding dan skrin mahupun kain yang telus untuk menghasilkan imej visual yang dinamik. Tak seperti projeksi yang biasa ke atas permukaan rata, ia membolehkan imej seperti bangunan atau apa-apa objek seakan hidup dan ia membuatkan persembahan itu menjadi lebih interaktif.
Persembahan dikir barat moden ini menggabungkan elemen dikir barat yang konvensional dengan elemen teater dimana menggunakan secepis naratif di dalam hikayat Hang Tuah. Hang Tuah di dalam cerita ini difitnah dan tersebar hingga ke telinga Sultan dan membuatkan baginda murka. Sultan Melaka telah memerintahkan Datuk Bendahara untuk menjalankan hukuman mati ke atas Panglima Melaka tersebut namun atas kebijaksanaannya, dia telah menyembunyikan Hang Tuah di suatu tempat. Hang Jebat yang menerima khabar ini telah mengamuk untuk menuntut bela dan menimbulkan huru-hara dalam negeri Melaka. Hang Tuah telah dibawa pulang untuk berhadapan dengan Hang Jebat. Berlawanan dengan hikayat popular yang diceritakan kepada ramai, dalam persembahan dikir ini Hang Tuah dan Hang Jebat telah berdamai, meredekan ketegangan dalam negeri Melaka seterusnya mereka hidup harmoni.
Menurut JKKN, program ini bertujuan untuk mempromosikan kesenian tradisional dengan gabungan teknologi sebagai produk pelancongan budaya dan memberi pulangan ekonomi kepada penggiat industri seni budaya dalam jangka masa pendek dan panjang. Ia dilihat sebagai memberi nafas dan dimensi baru dalam persembahan kesenian tradisional supaya dilihat selari dengan kehendak dan peredaran masa kini serta boleh dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
Apa yang menarik mengenai persembahan ini walaupun ia kelihatan masih lagi ada ruang untuk diperbaiki, namun ia mengajak orang seni atau pengamal seni dan budaya supaya meneroka pelbagai ruang kreatif lain yang ada. Dalam konteks ini persembahan dikir barat memberikan pentafsiran segar dan berani untuk mengubah penceritaan Hikayat Hang Tuah dalam bentuk naratif yang lebih harmoni. Persembahan pada malam itu oleh Kumpulan Arjunasukma sungguh mempersonakan sekali apatah lagi apabila mereka mendendangkan lagu dan karut dikir seperti Karut Yengki, Karut Kelantan, Lagu Jogho dan Wau Bulan. Cuma barangkali kerana ia sangat unik menggandingkan dikir barat dan unsur teater, maka lakonan para pendikir itu sedikit tempang. Ia diyakini dapat diperbaiki di masa hadapan kerana para pendikir tersebut mempunyai suara yang lunak sekali.
Kalau dilihat mengenai sentuhan teknologi di dalam persembahan tersebut, sememangnya ada wow factor sebagai contoh ketika adegan Datuk Bendahara bersama hulubalang istana menjemput Hang Tuah daripada rumahnya untuk menjalankan perintah hukuman daripada sultan. Adegan tersebut sangat dirasai oleh penonton apabila hasil kerja Kinos Studio memprojeksi lakaran rumah Hang Tuah. Ciri-ciri rumah seperti pintu dan tingkap sangat terlihat prihatin. Malah ketika Hang Tuah menyambut Datuk Bendahara kelihatan seperti benar-benar dia berada di atas rumah berbanding Datuk bendahara yang berada di luar rumah.
Sebelum persembahan tersebut bermula, penonton disajikan dengan dokumentari pendek khas mengenai tokoh dan ikon generasi muda dikir barat yang memberikan saranan dan komen mengenai percubaan untuk revolusi dikir barat dengan sentuhan teknologi tersebut. Rata-rata penggiat kesenian itu memberikan maklum balas yang baik dan menyokong. Namun mereka juga menyampaikan pesan untuk pihak-pihak yang ingin berganding dengan dikir barat supaya tidak mengubah tradisi asal dikir barat yang menjadi tunjang selama ini.
Tuan Haji Mesran bin Mohd Yusop, Ketua Pengarah JKKN memberitahu “JKKN sentiasa komited dalam usaha mengetengahkan integrasi teknologi interaktif seni persembahan di Malaysia dan pemerkasaan usahawan seni budaya ke peringkat antarabangsa”.
Bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai program ini, anda boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www. Jkkn.gov.my atau layari laman Facebook JKKN.
Anda juga boleh membaca kisah-kisah lain di sini:
Adiguru CENDANA: Noor Azman Norawi