Peranan seni kartun, Majalah Warta Jenaka 1936-1938

Karikatur Muhammad Salleh Sulaiman dari laman sesawang Warta Jenaka ( 7 September 1936).

Akhbar atau majalah Warta Jenaka adalah akhbar yang pernah menyiarkan karya-karya seni berbentuk karikatur. Akhbar ini banyak memberi informasi dalam mahupun luar negara dan dilengkasi dengan gambar ilustrasi. Antara pelukis dalam majalah Warta Jenaka pada tahun tersebut ialah Muhammad Salleh, SB Ally, Abd Manan dan Abu Bakar. Hakikatnya, karikatur merupakan medium penting yang berperanan mencetuskan kesedaran semangat kebangsaan pada ketika itu.

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Berdasarkan penulisan Muliyadi Mahamood, penerbitan kartun di Tanah Melayu dikesan seawal tahun 1930an, zaman sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dengan penerbitan kartun editorial di akhbar-akhbar, seperti Warta Jenaka.

Warta Jenaka merupakan sebuah akhbar mingguan yang diterbitkan oleh Warta Malaya Press Ltd. Warta Jenaka merupakan cabang kedua kepada akhbar Warta Malaya, di samping Warta Ahad. Ia mula diterbitkan pada 7 September 1936 dan mengandungi lebih 30 halaman.

Akhbar ini diterbitkan selepas Warta Ahad mendapat sambutan hangat daripada masyarakat. Majalah Warta Jenaka kerap menyiarkan karikatur sebagai satu wadah penyampaian mesej di samping menghiburkan pembaca. Lukisan berbentuk kartun sangat popular dan ia merupakan satu pendekatan yang agak mudah bagi menceritakan sesuatu perkara ataupun untuk menyampaikan mesej. Mesej yang disampaikan juga tepat, jelas dan berkesan.

Seni lukisan kartun adalah sebahagian daripada cabang seni yang lain seperti catan, arca, installasi dan animasi. Ini juga termasuk dalam kategori seni rekaan seperti grafik, fesyen, seramik, rekaan indusri, tekstil, dan sebagainya. Penghasilan karya seni seperti ini mengandungi apa sahaja mesej yang ingin disampaikan oleh artis sama ada ia memberi mesej yang baik, atau mesej berbentuk peringatan yang mungkin lebih yang sinical. Semuanya telah ditentukan oleh artis-artis pada peringkat awal proses penghasilan karyanya (idea) tersebut.

Ini dapat kita lihat pada lukisan Muhammad Salleh Sulaiman, dari Kedah yang telah dicetak dalam Warta Jenaka pada 7 September 1936. Lukisannya menggambarkan kehidupan orang bersawah serta mempunyai ladang getah dan menikmati kesenangannya. Terdapat juga jelapang padi yang penuh berisi, getah yang boleh ditoreh dan kambing yang sedang membaca surat khabar.

Selain menyiarkan karikatur, majalah tersebut turut menyiarkan isu-isu sosial, ekonomi dan politik. Di samping itu, majalah ini turut mendidik dalam bentuk sejarah akan hak- hak keistimewaan Melayu yang tidak ‘wujud’ lagi pada ketika itu. Kebanyakkan diskusi lebih kepada membuka mata dan minda rakyat, akan penindasan dan nasib orang Melayu. Konsep ‘Hak istimewa hanya wujud selepas itu.

Satu cara untuk mengalihkan perhatian pembaca ialah dengan menyiarkan penulisan berbentuk ringan, kerana ia dianggap dapat mengurangkan ketegangan sewaktu membaca. Ruangan-ruangan yang menghiburkan ini diserapkan dengan kata-kata nasihat dan mesej-mesej padat bagi peringatan dan renungan masyarakat.

Sejak keluaran pertama majalah Warta Jenaka diterbitkan, majalah ini telah mendapat sambutan daripada pembaca yang begitu menggalakkan dan memuji teknik yang segar dalam menyampaikan mesej yang baik kepada pembaca. Antara penulis yang kerap menghasilkan lukisan ialah S.B Ally (Salleh Bin Ally). Di ruangan ini para pelukis meluahkan perasaan melalui karya seni mereka. Ketika itu penyampaian mesej dalam seni lebih kritikal kerana tujuannya adalah untuk membangunkan masyarakat yang sedang tidur. Antara isu hangat adalah kemasukan buruh asing di lombong bijih timah dan ladang getah. Permasalahan ini amat membimbangkan orang-orang Melayu di waktu itu.

Karikatur oleh S.B Ally dari Warta Jenaka ( 20 Januari 1938).

Dengan kemasukan buruh asing yang tidak terkawal, Orang Melayu bimbang akan nasib mereka. Mereka tidak dapat melakukan apa-apa kerana pemerintahan Tanah Melayu ketika itu di bawah jajahan British. Mereka berkuasa sepenuhnya dan bertanggungjawab dalam setiap keputusan. Sebenarnya, ramai yang telah mula menyedari akan masalah ini, namun mereka tidak berani membantah atau bersikap kasar, apatah lagi untuk memberontak dan melawan secara terbuka.

Ini membuatkan penulis terdahulu memilih untuk bersuara secara halus menerusi karya mereka. Karikatur karya S.B Ally juga cuba untuk memberi gambaran akan keadaan semasa yang membuatkan orang Melayu begitu terkongkong dan kelihatan tidak berguna di negara mereka sendiri.

Karikatur oleh S.B Ally dari Warta Jenaka (6 Januari 1938).

Dalam karikatur yang tersiar pada 6 Januari 1938 pula, pelukis S.B Ally cuba membayangkan suatu keadaan yang lebih dahsyat iaitu ‘punggung bukan dikait dengan duri tetapi dengan mata kail yang besar. Kita terlalu mabuk dengan pendidikan dan falsafah barat, sehingga tidak sedar mata kail yang besar mencangkuk daging peha kita sendiri’.

Pada masa yang sama, orang Melayu terpegun dengan budaya barat dan cara hidup mereka. Ini juga menjadi antara peringatan buat Orang Melayu bahawa orang asing sentiasa bekerjasama bagi mengambil kesempatan terhadap orang tempatan untuk mengawal ekonomi di Tanah Melayu kolonial. Dalam hal ini, Mulyadi juga melihat teknik kartunis. Dia menarik perhatian penulis kepada imej linear, menangkap dan memperuntukkan gerak isyarat watak-watak.

Dalam gambaran di atas juga, S.B.Ally cuba memberi gambaran akan situasi yang bertentangan dengan wanita Melayu dan dasar penjajahan pada ketika itu telah mengimport buruh ke Semenanjung negara. Ini menjadi subjek utama dan kebimbangan masyarakat. Di mana, jumlah kemasukan masyarakat Cina dan India jauh lebih tinggi berbanding jumlah orang Melayu di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Pada tahun 1911, jumlah penduduk bagi ketiga-tiga negeri itu adalah 918,291, di mana 408,957 adalah Cina, 165,844 India dan minoriti penduduk tempatan 333,731 Melayu.

Sebahagian besar petani Melayu telah mendapat sedikit habuan dari kekayaan dan pendapatan hasil dari pengaturan pentadbiran baharu. Manakala, pemerintah dan pangkat atas aristokrasi telah diberi pampasan atas kehilangan harta benda kecuali kuasa. Mereka dianugerahkan dengan pendapatan yang besar dan tetap. Ini menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan orang Melayu terhadap dasar British yang menggalakkan imigresen dan memihak kepada pendatang.

Apa yang jelas pada waktu itu adalah mesej yang hendak disampaikan sama ada dalam bentuk penulisan mahupun karikatur, kedua-duanya adalah sama iaitu kebencian. Mereka yang berkiblatkan pada Orang Barat akan dikutuk dan disamakan dengan haiwan. Ketika menggambarkan situasi kebaratan itu, kerapkali bahasa kesat dan kurang manis digunakan.

Karikatur oleh Abd Manan dari Warta Jenaka ( 7 September 1936).

Dalam karikatur Warta Jenaka pada 7 September 1936, yang dilukis oleh Abd. Manan berasal dari Sekolah Melayu, Taiping berjudul “Teringin Kemodenan”, dia telah menggunakan haiwan sebagai wataknya. Pelukis ini berpendapat arus pemodenan yang dibawa oleh Barat dikatakan banyak mengikut kelakuan haiwan. Selain dari karikatur, terdapat pelbagai pantun dan syair disiarkan dalam akhbar ini untuk mengajak Orang Timur, khususnya orang Melayu supaya berwaspada terhadap pengaruh barat yang mula menular.

Muliyadi telah menulis dalam jurnal ‘The Role of Cartoon in the Formation of Asian Community: Art History Analysis’;

“For example, a cartoon by Abd Manan entitled ‘Barat Tinggal di Barat Timur Tinggal di Timur’ in Warta Jenaka of 7 September 1936 is not only anti-western statement, but it also criticizes those who are fascinated by the West. It shows a couple of monkeys symbolizing Malays who ape Western attitudes. Like many other writings of the era, this cartoon serves as a reminder to the local to be more aware of the bad influence of the West ” – Muliyadi, 2004.

Karikatur oleh Abu Bakar bin Mohd Nor dalam Warta Jenaka ( 14 September 1936).

Antara isu lain yang tular dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu ialah sikap berhutang, di mana ramai yang berhutang dengan ceti. Walaupun sekarang hutang dianggap perkara biasa, namun pada masa itu mereka yang berhutang sering menjadi hamba tebusan kerana tidak mampu untuk membuat bayaran semula kepada ceti.

Pelukis Abu Bakar bin Mohd Nor dari Klawei Road, Pulau Pinang melukis karikatur dalam Warta Jenaka (14 September 1936). Dia, menggambarkan lelaki Melayu yang sedang melutut di hadapan lelaki bertubuh besar iaitu Ceti di hadapan balai polis. Lelaki Melayu itu digambarkan tidak mampu untuk membayar hutang dan diseret ke balai polis. Penderitaan orang yang dihimpit dengan hutang digambarkan sebagai lemah dan tidak berdaya. Lelaki yang bertubuh besar atau Ceti pula dilukis dengan fizikal tubuh yang besar dan kuat.      

Pada keseluruhannya, karikatur di dalam majalah Warta Jenaka dapat menimbulkan kesan terhadap masyarakat. Karikatur bercorak politik berjaya menyemai semangat kebangsaan dan semangat nasionalisme dalam kalangan generasi ketika itu, manakala yang lain memberi nasihat dan teguran buat pembaca.

Sebagai kesimpulan dapatlah dikatakan bahawa karikatur Melayu sebelum merdeka mempunyai peranan yang nyata. Ia dapat menyokong orang Melayu berfikir dan menilai taraf dan kedudukan mereka sebagai rakyat di negara ini. Kesedaran kebangsaan dan perasaan cintakan negara telah meresap ke dalam jiwa dan sanubari orang Melayu bagi menyuntik semangat kemerdekaan dalam diri mereka.

Anda boleh klinik di SINI untuk artikel Lensa Seni yang lain.

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan dari sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites