Penyembuhan melalui kolaborasi dalam re:sonance

James Seet mengambil masa enam bulan untuk menghasilkan 20 jenis alat muzik daripada tembikar.

oleh DANIAL FUAD

Seni tembikar mempunyai sejarah yang sangat panjang di mana sejarah berkaitannya di Asia Tenggara boleh dijejaki sehingga 4,000 tahun lalu. Pengunaan tembikar semakin meluas terutamanya di China apabila manusia berubah daripada masyarakat nomad ke masyarakat bertani. Dapat dilihat juga seni tembikar tradisional yang telah dipraktikkan beribu tahun di Asia Tenggara seperti Sawankhalok di Thailand, Chu Dau di Vietnam dan Labu Sayong di Malaysia.

Penggunaan tembikar lebih terkait dengan bahan penyimpanan seperti bekas mengisi air pada awal pengenalannya tetapi ia juga berkembang menjadi seni apabila agama dan budaya semakin luas tersebar. Malahan terdapat juga alatan muzik yang dihasilkan dari tembikar seperti xun dan juga ocarina yang telah dihasilkan semenjak ribuan tahun lagi.

Alatan muzik menggunakan tembikar bukanlah sesuatu yang baru namun ia merupakan salah satu cabaran bagi seniman tembikar, James Seet. Beliau telah menghasilkan 20 jenis alatan muzik daripada tembikar untuk siri terbarunya yang diberi judul re:sonance. “Idea bagi siri ini muncul apabila saya melihat tragedi yang berlaku di persekitaran akibat daripada pandemik seperti kes bunuh diri yang meningkat,” ujar James.

Re:sonance diambil daripada perkataan yang membawa maksud getaran dan James telah mengulas, “Semasa kecil, akan hadir seorang lelaki untuk menala piano kakak saya. Dia akan membawa satu garfu penala yang diketuk dan diletak disebelah tali piano yang akan bergetar sekali untuk ditala.” Karya-karya ini menjemput orang ramai untuk hadir bersama dan berkongsi getaran masing-masing supaya hidup kita ditala semula pasca pandemik.

“Sebagai pelajar jurusan sains yang suka dengan eksperimen, tembikar mempunyai unsur kimia yang menarik minat saya. Terdapat banyak pembolehubah seperti suhu pembakaran dan jenis bahan yang digunakan yang harus dikawal dalam penghasilan karya tembikar,” kongsi seniman yang berusia 52 tahun ini.

James memulakan perjalanan seni tembikarnya sekitar tahun 2000 setelah beberapa tahun bekerja di dalam bidang pengiklanan. “Pada permulaan saya berkecimpung dalam bidang ini, tidak banyak institusi yang mengajar seni tembikar jadi saya telah memilih untuk belajar secara tidak formal bersama para seniman,” ulas beliau di mana seniman tembikar Cheah Yeow Seng merupakan guru pertamanya dalam bidang seni seramik. “Apa yang lucunya adalah saya hanya berjumpa dengannya bukanlah di Malaysia tetapi di Australia buat pertama kali sebelum memulakan pembelajaran bersamanya,” tambahnya lagi.

Bercerita tentang falsafah karyanya, beliau mengambil kira pengalamannya dalam bidang pengiklanan di mana beliau telah menyatakan, “Falsafah karya saya adalah setiap karya harus bermula dengan konsep sebelum bentuk terbina. Jika tiada konsep, saya tidak akan mula menghasilkan karya.” Jika dilihat kembali, re:sonance juga mempunyai konsep yang kuat iaitu menyatukan orang ramai untuk merawat luka dan duka pandemik melalui kerjasama.

“Karya saya merangkumi lima unsur yang dipercayai asas untuk mencapai keharmonian menurut masyarakat Cina. Unsur tanah datang daripada tanah liat yang digunakan manakala unsur air digunakan untuk membentuk tanah liat tersebut. Unsur api membantu tanah liat itu mengekalkan bentuknya. Unsur kayu datang daripada pengunaan sekam padi dan oat serta wayar timah dan garam dikira sebagai unsur besi di mana kedua-dua unsur ini digunakan untuk menghias tembikar,” ulas James.

James sangat terpesona dengan alam sekitar sejak dari beliau kecil lagi jadi tidak asinglah jika karya-karya diilhamkan daripada alam sekitar, beliau telah menyatakan, “Saya mendapat ilham untuk siri ini daripada alam semulajadi seperti bunga, cendawan, marmar dan pokok anggur antaranya di mana saya akan menggabungkan bentuk-bentuk tersebut untuk menghasilkan alat muzik.” Tambah James lagi, “Proses percubaan ini telah mengambil masa lebih kurang enam bulan di mana terdapat juga kegagalan seperti tembikar pecah ketika pembakaran. Dari situlah proses eksperimentatsi berlaku dan saya membuat perubahan bersesuaian.”

Simpati akan keadaan yang ditimpa perkerja budaya yang tidak dapat melakukan sebarang aktiviti sepanjang dua tahun pandemik, James juga telah menjemputl kumpulan muzik HaBa untuk berkerjasama dengannya. “Saya pernah melihat persembahan HaBA sebelum ini dan saya rasa mereka sangat sesuai untuk menjadi rakan kerjasama. Jadi setelah karya saya siap, saya memanggil mereka untuk mencubanya dan reaksi mereka sangat mengagumkan dan telah bersetuju untuk berkerjasama. Mereka juga telah memanggil beberapa lagi teman untuk memberi reaksi spontan terhadap karya saya,” ulas James.

Karya-karya daripada re:sonance ini telah dipersembahkan pada awal tahun 2022 di APW Bangsar dan untuk kali terakhir, HaBa akan membuat persembahan mereka menggunakan alat muzik hasil tangan James pada hari Sabtu, 10 Dis ini di Tsutaya Books di Pavillion Bukit Jalil. “Kita sudah memasuki fasa peralihan ke endemik dan keadaan pun sudah sedikit sebanyak menjadi normal. Jadi ini merupakan kali terakhir saya mempersembahkan karya ini kerana tidak mahu keterlaluan mempromosi siri ini. Saya juga mahu menumpukan tenaga kepada perkara-perkara lain yang saya mahu buat,” ulas James.

Selain daripada persembahan, beliau juga akan melancarkan buku terbarunya yang berjudul Ceramic Alchemy pada Sabtu ini. James menyatakan, “Jika kita tidak memberitahu orang ramai tentang apa yang kita buat, agak sukar untuk kita maju ke hadapan. Mengambil contoh Van Gogh, beliau hanya terkenal selepas kematiannya kerana usaha adiknya Theo bersama isterinya mempromosi karya Van Gogh di galeri yang membuatkannya terkenal macam hari ini.”

Sebarang kemaskini berkaitan James boleh didapati di laman sesawangnya serta laman Facebook dan Instagramnya.

Ikutan pautan di bawah untuk cerita menarik lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites