Pengorbanan dan penghijrahan dalam I Cross the Ocean of Time to Find You

Issarezal menghasilkan 22 karya menceritakan perpindahan beliau dan isteri dari Kota Kinabalu ke Seri Iskandar

Oleh DANIAL FUAD

Cinta boleh dikatakan sesuatu yang sangat tidak asing lagi menjadi tema bagi ramai keryawan. Ini mungkin disebabkan oleh tema ini sangat luas dan boleh ditafsir dalam pelbagai jenis rupa dan cara. Sebagai contoh, Chuah Thean Theng kerap kali memilih ibu dan anak sebagai isi dalam karyanya dek kerana perasaan cinta kepada ibunya. Terdapat juga banyak lagi contoh karya berkenaan cinta yang telah digambarkan oleh seniman-seniman Malaysia dan Issarezal Ismail juga tidak terkecuali.

Jangankan Ke Kemboja | Acrylic on canvas | 27 x 40 cm | 2022

Setelah hampir lima tahun berada di Kota Kinabalu, beliau telah dijemput oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menjadi Pensyarah Kanan di Seri Iskandar, Perak. Jadi beliau harus memindahkan hidupnya ke seberang laut bersama dengan isterinya. “Sepanjang hidup isteri saya dia tidak pernah keluar dari Sabah, jadi perpindahan ini merupakan satu pengorbanan besar bagi dia,” ujar Issarezal. Ini mencetuskan idea bagi beliau untuk menghasilkan satu siri karya berkisarkan lagu daripada penyanyi Indonesia, Ria Resty Fauzy iaitu Cinta Ku Sampai Ke Ethopia.

Jangankan Gunung Fujiyama, Puncak Himalaya ku ikut kamu,

Jangankan Gunung Fujiyama, Puncak Himalaya ku ikut kamu.

Ria Resty Fauzy

Mengambil petikan daripada korus lagu tersebut seperti di atas, sebanyak 22 buah karya telah dihasilkan dan kini sedang dipamerkan di HOM Art Trans, Kuala Lumpur. Beliau telah memilih untuk melukis karya permandangan yang di mana setiap satunya mempunyai figura yang memakai jaket berwarna kuning. “Melukis permandangan ini sangat mencabar kerana ia merupakan satu bidang yang telah diteroka oleh ramai seniman sebelum ini, jadi saya ingin memberi sedikit kelainan dengan meletakkan figura tunggal dalam karya-karya tersebut,” ujar Issarezal.

“Perpindahan ini merupakan pengorbanan yang sangat besar bagi isteri saya kerana dia terpaksa meninggalkan banyak perkara di sini (Sabah), jadi figura kuning dalam karya-karya saya ini melambangkan dia sebagai seorang pengembara yang mengharungi bermacam keadaan,” tambah beliau lagi. Ini adalah kerana dalam proses perpindahan mereka, terdapat bermacam keadaan yang terpaksa dilalui disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan yang diumumkan kerajaaan. Tambahan lagi, isteri beliau bukan orang tempatan jadi terdapat pelbagai persediaan yang harus dibuat sebelum perpindahan boleh berlaku.

Laut Luas Kan Ku Seberangi II | Acrylic on canvas | 40 x 40 cm | 2022

Pada mulanya pemandangan dalam karya Issarezal merupakan gabungan tempat yang disebut dalam korus lagu Ria dan ditafsir secara harfiah (perkataan demi perkataan) melalui karya seperti Puncak Himalaya Ku Ikut Kamu, Jangankan Ke Kemboja dan juga Ke Ethiopia Ku Ikut Kamu.

“Hiperbola romantika merupakan suatu yang dekat dengan orang kita di mana perasaan cinta itu diluahkan dengan sesuatu yang tidak masuk akal,” tambah Issarezal lagi di mana beliau juga telah mengambil ungkapan seperti ‘Lautan Dalam Telah Ku Renangi, Lautan Api Sanggup Ku Renangi’ dan ‘Segala Onak dan Ranjau Tak Ku Peduli‘ sebagai ilham menghasilkan karya selebihnya bagi pameran ini.

I Cross the Ocean of Time to Find You‘ telah diambil daripada petikan dialog Dracula dalam karya oleh Bram Stroker dan Issarezal telah memilihnya sebagai tajuk pameran ini untuk menceritakan tentang kegetiran yang dilalui oleh beliau dan isteri sepanjang proses perpindahan daripada Kota Kinabalu ke Seri Iskandar. Boleh dikatakan bahawa pameran ini merupakan sebuah lambang cinta Issarezal terhadap pengorbanan yang telah dilalui oleh isterinya.

Hingga Hujung Dunia II | Acrylic on canvas | 24 x 40 cm | 2022

Pameran ini masih berlangsung sehingga Rabu, 3 Ogos 2022 di Galeri HOM Art Trans, Ampang. Galeri dibuka daripada hari Selasa hingga Sabtu, 11pg – 6ptg. Tulisan pengantar dan juga maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman sesawang HOM Art Trans.

Gambar teraju ihsan dari HOM Art Trans

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites