Pengalaman menonton persembahan ‘Lambang Sari Series 2023’ di Istana Budaya

Berharga RM30 setiap tiket, ‘A Celebration of Classical Music: Lambang Sari Series (LSS) 2023’ merupakan cara Istana Budaya untuk merakyatkan seni klasik. BASKL berkesempatan untuk duduk dan menonton siri ketiga dari empat LSS 2023 di Panggung Sari tempoh hari.

Oleh NABILA AZLAN

Berdurasi hampir dua jam (dengan waktu rehat selama 20 minit), saya bertuah dapat menyaksikan pementasan orkestra bertemakan muzik klasik barat oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dalam A Celebration of Classical Music: Lambang Sari Series (LSS) 2023 pada hujung minggu lalu. Dalam siri ketiga ini, seramai 25 orang pemuzik OSK dan 10 orang pemuzik jemputan bergabung tenaga dalam mendendangkan lagu-lagu popular ciptaan Josef Suk dan Tchaikovsky (Pyotr Ilyich Tchaikovsky).

Kumpulan lagu yang dimuatkan pada malam itu adalah:

Serenade for strings dalam E flat major, Op. 6 oleh Josef Suk

  1. Andante con moto
  2. Allegro ma non troppo e grazioso
  3. Adagio iv. Allegro giocoso, ma non troppo presto

Serenade for strings dalam C major, Op. 48 oleh Tchaikovsky

  1. Pezzo in forma di sonatina. Andante non troppo-Allegro moderato
  2. Valse. Moderato- Tempo di valse
  3. Elegie. Larghetto elegiaco iv.
  4. Finale (Tema russo). Andante- Allegro con spirito
Konduktor/Prinsipal Kanan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Nasran Nawi

Pada pendapat saya, siri yang memaparkan gubahan terkenal Josef Suk/Tchaikovsky ini tidak kedekut dalam penyampaiannya sepanjang malam, baik dari segi bunyi, tenaga mahupun emosi. Siri ketiga daripada empat dengan sorotan muzik string ini hadir dengan bimbingan konduktor (yang cergas dalam penguasaan bunyi dan tenaga), Nasran Nawi, merangkap Prinsipal Kanan OSK yang cemerlang dalam mengendalikan 18 pemain biola, 6 pemain viola, 6 pemain cello dan 5 orang pemain double bass.

Bertepatan dengan kata-kata Nasran sendiri, bercakap mengenai kepelbagaian dalam penyampaian: “LSS 2023 mampu memberikan kesegaran halwa telinga khusus buat peminat muzik klasikal barat di Malaysia,” ia merupakan sebuah persembahan tanpa pemain solo (soloist), berbeza dengan siri pertama (dengan pemain seruling, Foo Chie Haur), kedua (dengan pemain harp, Bryan Lee Kit Meng) dan keempat yang akan datang (dengan pemain piano, Celestine Yoong). Dengan jumlah kutipan lebih RM39,000, sejumlah 1300 tempat duduk (kapasiti penuh) telah habis dibeli sebelum tarikh konsert siri ketiga ini.

Saya berpendapat bahawa ia sememangnya titik masuk (entry point) yang menarik buat peminat muzik yang belum mengenal gubahan karyawan Barat yang malar segar. Untuk pendengar yang sudah biasa akan suasana sebegini, tentunya ia bonus yang tidak disangka-sangka – dapat duduk untuk mendengar hidangan simfoni bertaraf antarabangsa dengan harga yang berpatutan!

Buat pengetahuan pembaca, Lambang Sari Series 2023 telah mendapat sambutan yang hebat sejak hebahan siri ini pada bulan Jun 2023, dengan persembahan pertama pada 8 Julai 2023. Tiket harga Rahmah buat kelas persembahan sepertinya, iaitu RM30 ini adalah dijual dengan kadar rata (flat rate), terus membuka peluang untuk orang ramai menyaksikan alunan mengasyikkan, karya komposer terkenal seperti lainnya Mozart, Bach dan Mendelssohn.

Memetik sedikit kata-kata daripada Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya dalam ucapan alu-aluannya, “Tahun ini, Istana Budaya meraikan sambutan 30 tahun penubuhan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK),” membolehkan penggemar seni daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk berdandan istimewa untuk satu malam di Panggung Sari.

Apakah pentingnya pengenalan terhadap muzik klasik barat (Western Classical Music) yang dipersembahkan? Gubahan orkestra sepertinya yang membuai perasaan dan membawa penonton ke era Baroque, Klasikal, Romantis dan sebagainya meraikan genre yang anggun, dengan komposisi yang kaya dengan tekstur. Kini, tidak semestinya golongan berada sahaja yang mampu ke persembahan simfoni yang gemilang secara langsung!

Saya harap anda tidak melepaskan peluang yang serupa jika ia mendarat terus di tempat anda! Sayang sekali, pada masa anda selesai membaca perenggan ini, tiket untuk ke siri keempat dan terakhir buat A Celebration of Classical Music: Lambang Sari Series (LSS) 2023 sudahpun habis terjual. Namun begitu, saya (dan tentunya anda juga) ternanti-nanti apakah siri persembahan menarik yang bakal muncul di Istana Budaya pada masa yang akan datang.

Maklumat tentang persembahan seterusnya dan lebih lagi ada di laman sesawang Istana Budaya.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites