Muse memberi persembahan yang menakjubkan di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Julai lalu
Teks oleh DANIAL FUAD Gambar oleh SHAFIQ SHAHAR
Kali terakhir kumpulan rock Inggeris Muse menjejakkan kaki di Malaysia adalah pada tahun 2007 di Stadium Negara. Ketika itu, penulis masih lagi berada di bangku sekolah menengah dan tidak mampu untuk pergi ke persembahan tersebut. Alangkah terujanya perasaan apabila mengetahui Muse bakal kembali ke Malaysia lagi dan merupakan satu-satunya hentian mereka untuk Asia Tenggara!
Rencana awal sebenarnya adalah supaya konsert tersebut dijalankan di Bukit Kiara Indoor Arena. Disebabkan sambutan hangat oleh para peminat, pihak penganjur telah memutuskan untuk memindahkan konsert itu ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Sebuah keputusan yang bijak oleh para penganjur kerana kapasiti penonton Bukit Kiara Indoor Arena hanya 3,000 orang manakala peminat yang hadir untuk malam tersebut mencecah 53,000 orang!
Pintu stadium juga dibuka seawal jam 3 petang lagi dan sementara menunggu konsert bermula, orang ramai berpeluang untuk menikmati bermacam juadah daripada kendera saji yang disediakan penganjur. Tepat jam 7:30 malam, Kyoto Protokol telah memulakan persembahan pembukaan mereka dengan penuh semangat. Mereka membuat persembahan selama 30 minit sebelum ruang konsert sepi menunggu penampilan utama oleh Muse.
Persembahan tertangguh tidak melunturkan semangat
Disebabkan oleh beberapa perkara teknikal, pihak penganjur telah menunda sehingga hampir satu jam konsert tersebut. Semua itu tidak melunturkan semangat para peminat yang telah menunggu 16 tahun, apalah sangat satu jam lagi. Para penonton dengan terujanya bersorak setiap kali lagu selingan latar belakang tamat dengan harapan kumpulan rock tersebut akan tampil.
Jeritan telah menyambut pembukaan mereka apabila mereka memainkan lagu yang merupakan tajuk album dan juga konsert jelajah mereka; Will of the People. Akan tetapi tidak dapat melawan jeritan yang diterima saat mereka memainkan lagu kedua, yang cukup sohor bagi peminat tegar iaitu Hysteria. Perasan syahdu menusuk di kalbu penulis apabila dapat mendengar ‘gorengan’ lagu tersebut secara langsung.
Apa yang membuatkan konsert ini sangat menarik adalah semangat yang diberikan bukan sahaja oleh penonton malah anggota kumpulan Muse itu sendiri. Matt Bellamy tidak berhenti -henti mundar-mandir melayan para peminat di barisan hadapan. Chris Wolstenholme juga tidak kurang mencuri perhatian apabila beliau telah memberikan harmonika yang dimainkan olehnya kepada peminat. Babak yang mencuit hati juga adalah apabila Matt telah memakai baju I Love Langkawi sebagai sebuah penghormatan.
Senarai set yang sangat mantap oleh Muse
Boleh dikatakan majoriti yang hadir ke konsert ini merupakan peminat tegar kerana stadium kerap bergema dengan nyanyian bersama mereka. Terutamanya lagu-lagu ikonik seperti Madness, Supermassive Blackhole dan Starlight. Tetapi apa yang membuat penulis teruja adalah ketika dua buah lagu iaitu Plug In Baby dan juga Knight of Cydonia dimainkan. Gembira tak terkira apabila mendengar petikan gitar permulaan kedua buah lagu ini kerana ia merupakan antara lagu kegemaran penulis ketika zaman sekolah.
Secara keseluruhannya, lagu pilihan Muse untuk persembahan di KL ini sangatlah sempurna walaupun sebuah lagu terpaksa ditukar bagi menghormati suhu semasa. Salah satu langkah yang sangat budiman buat pihak Muse. Selain daripada persembahan yang sangat megujakan oleh Muse, salah satu tarikan lain adalah penggunaan kesan api atau ‘pyro’ dalam konsert ini yang unsurnya juga terdapat dalam beberapa lagu tersebut.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan, bagi penulis konsert Will of the People oleh Muse di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Julai lalu sangatlah memuaskan hati. Lumrah dalam sesebuah penganjuran acara, semestinya terdapat kekurangan tetapi semua itu telah diatasi dengan keterujaan dapat melihat Muse secara bersemuka! Tahniah kepada penganjur, Hello Universe kerana berjaya merealisiasikan impian 50 ribu peminat Muse untuk melihat kumpulan rock tersebut secara langsung.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: