Pareb labu sayong pertahan warisan

BASKL bertandang jauh ke Kuala Kangsar untuk bertemu seorang insan yang tekun mempertahankan warisan pembuatan labu sayong yang hanya ada satu-satunya di daerah Negeri Perak ini. Ikuti perbualan penulis bersama Pareb, lelaki Melayu terakhir.

Oleh AZUWAN AHMAD

Labu sayong adalah sejenis bekas tembikar berbentuk labu diperbuat daripada sumber tanah liat khas yang kini hanya ada di sebuah kampung di daerah Kuala Kangsar, Perak. Dulunya, labu ini sering menjadi pilihan untuk menyimpan air. Bekas istimewa ini diukir dengan corak-corak seperti bunga tanjung, padi, lawing, cengkih dan beberapa motif alam yang lain. Kemahiran membuat labu sayong ini memerlukan kepakaran dan ketelitian yang tinggi.

Penulis mengunjungi Bandar Diraja Kuala Kangsar, lebih tepat lagi di Kampung Kepala Bendang untuk melihat sendiri pembuatan labu sayong ini, sekali gus menemui antara pengusahanya, Mohd Pareb bin Zamari. Pareb, 44, antara mereka yang masih mempertahankan seni warisan ini. Melalui perusahaannya KZ Kraf, Pareb telah mengembangkan perniagaan pembuatan kraf moden porselin dan landskap selama lebih 20 tahun. Syarikatnya telah diiktiraf sebagai Syarikat Warisan dalam pembuatan labu sayong oleh kerajaan Malaysia.

Menemu bual Pareb adalah suatu hal yang sangat menyenangkan kerana dirinya yang ramah dan tidak segan untuk berkongsi cerita dan pandangannya. Pareb bercerita bahawa perusahaan labu sayong memang merupakan warisan yang diturunkan daripada keluarganya.

“Daripada lahir lagi saya memang dibesarkan dengan suasana pembuatan labu sayong di kampung ini. Jadi tak kekok apabila tamat sahaja persekolahan saya menceburkan diri di dalam bidang ini untuk menyambut legasi keluarga,” cerita Pareb. Tamat sahaja persekolahan, Pareb mendapat peluang keemasan oleh kerajaan negeri Perak untuk melanjutkan kursus ke Jepun dalam pembuatan kraf tembikar sekitar tahun 2004-2005.

Antara pelbagai jenis dan saiz tembikar yang telah siap dihasilkan.

Pareb dalam mengingati pengalamannya di Jepun berkongsi, terdapat perbezaan antara keadaan di kampungnya dan di sana. “Waktu saya di Jepun keadaan lebih maju. Mereka menggunakan Porselin berbanding dengan di sini yang menggunakan tanah liat. Pembuatan menggunakan porselin memang diakui dunia sebagai skill atau hasil yang tinggi,” katanya.

Dia mengakui Malaysia tidak dapat menghasilkan porselin untuk pembuatan kraf tersebut maka apabila dia pulang daripada Jepun, bahan-bahannya dibeli daripada sebuah kilang Jepun di Beranang. Namun ketika ini dia terpaksa menghentikan penghasilan tembikar menggunakan porselin kerana kekurangan tenaga mahir untuk membantunya serta kebanyakkan tenaga tempatan lebih terbiasa dengan pembuatan labu sayong. Situasi ini membuatkan dia sedikit terkilan kerana dia tidak mahu mensia-siakan ilmunya dalam pembuatan tembikar porselin, apatah lagi apabila sensei (guru) nya daripada Jepun telah datang ke Malaysia untuk melawat Pareb beberapa tahun yang lalu dan memberi kata-kata perangsang kepadanya. Untuk pengetahuan pembaca, ketika berada di Jepun, Pareb juga merupakan antara pelajar terbaik di sana.

Berbalik kepada labu sayong, Pareb berkongsi bahawa asal labu sayong ini memang berasal daripada buah labu yang yang dijadikan tempat menyimpan air. Namun lama-kelamaan setelah mendapat ilham buah fikiran, mereka menghasilkan sebuah tembikar sengaja dibentuk seperti labu dari tanah liat yang khas supaya lebih tahan untuk menyimpan air. Jelas Pareb, “tanah dia memang tanah yang istimewa. Hanya kampung ini menghasilkan jenis tanah tersebut. Tanah itu membantu kerana ia jenis tidak merekah”.

Kemahiran yang tinggi dan teliti sangat diperlukan dalam menghasilkan labu sayong yang berkualiti.

Ayah Pareb merupakan bekas pekerja Jabatan Kraftangan. Oleh itu, dari zaman sekolah lagi dia melihat terdapat potensi dalam perniagaan pembuatan labu sayong atau tembikar tradisional ini. “Masa zaman saya sekolah, saya sudah mula membantu pak cik saya menjual tembikar-tembikar ini. Jadi, saya fikir buat apa saya nak pening-pening melihat ke arah lain? Dari sini saya sudah boleh menghasilkan wang,” cerita Pareb. Tekad Pareb tersebut terpancar sebelum dia ke Jepun lagi apabila dia sering ke bengkel Jabatan Kraftangan untuk belajar menjadi perintis pembuatan tembikar kerana mereka mempunyai mesin yang lengkap.

Apa yang diajar di bengkel tersebut, dia cuba lakukan di tepi rumahnya sebelum memiliki bengkel besarnya sendiri seperti sekarang. Usahanya berhasil apabila pulang dari Jepun. Dia berupaya membeli sebidang tanah dan mendirikan bengkel yang lengkap dengan bantuan geran daripada Jabatan Kraftangan lebih kurang RM 100 ribu beserta dengan mesin yang lengkap. Dia mengucapkan syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana bukan sahaja dia dibantu melalui kewangan tetapi juga dari segi bimbingan sebagai usahawan.

Kampung Kepala Bendang mungkin sedikit tersorok daripada jalan utama. Kebanyakkan orang yang berniaga pasti mahu memilih lokasi yang strategik untuk meningkatkan potensi jualan produk mereka atas sebab mudah dilihat. Namun berbeza bagi Pareb yang tidak mengambil kira faktor itu atas dasar pengalamannya melihat daerah Areta yang agak terpencil di Jepun. “Saya tengok budaya bekerja orang Jepun memang kuat. Mereka mempunyai satu jiwa jati diri yang kuat mengikut kepakaran dan produk masing-masing. Mereka bangga dengan produk mereka. Produk jenama mereka sendiri sederhana tetapi nilai harganya tinggi kerana mereka menghargainya,” ceritanya. Kata Pareb, kalau dilihat situasi kita di peringkat tempatan, orang lebih gemar meniru produk yang dirasakannya boleh terjual banyak berbanding percaya dengan kebolehan dan produk asli sendiri. 

Pareb mempunyai visi yang jauh untuk kampung kelahirannya. Segala bantuan termasuk geran yang diperoleh daripada pelbagai pihak digunakan sebaiknya untuk membesarkan perniagaan termasuk perancangannya untuk menjadikan lokasi tersebut sebagai pusat sehenti bagi pelancongan. Cerita Pareb, kampung tersebut pernah diiktiraf oleh dunia sebagai, anatara kampung terbaik bagi memlihara seni dan warisan beberapa tahun dahulu.

“Di kampung ini selain labu sayong, terdapat pembuatan kraf tudung saji dan tekat benang emas. Jadi pelancong yang datang bukan sahaja dapat melihat semua produknya tetapi juga dapat merasai pengalaman membuat produk-produk ini dengan bimbingan tenaga mahir yang ada di kampung ini. Dia mengucapkan rasa syukur juga atas keprihatinan CENDANA melalui geran yang dianugerahkan dalam membantu dia membangunkan galeri untuk produk-produknya yang juga mempunyai semua info yang perlu diketahui oleh pengunjung mengenai kampung dan produk labu sayong.  Dalam pada itu, dia juga berasa sedih atas kekurangan produktiviti kraftangan di kampungnya atas sebab dasar persaingan yang kebanyakkan penduduk kampung tidak dapat kejar lagi. 

Antara cabaran dalam perusahaan Pareb adalah mesin dan tenaga elektrik. Mesin untuk membakar pasu labu sayong itu mencecah nilai sehingga ribuan ringgit. Ia perlu dijaga dengan teliti dan sangat mudah rosak kalau tidak kena dengan cara mengendalikannya. Malah, aliran kuasa elektrik kalau terlalu deras akan merosakkan mesin tersebut. Maka, kalau hal tersebut terjadi kerja-kerja Pareb dan pekerjanya akan tergendala.

Antara cabaran lain yang harus dihadapi Pareb adalah laluan menuju bengkel kraftangan di kampung Kepala Bendang yang tidak begitu selesa. Namun, perkara yang paling membingungnya adalah isu kurangnya tenaga mahir dalam menghasilkan kraf ini. “Kadang-kadang kita dapat budak, kita latih kemudian mereka lari. Saya tak kisah kalau mereka lari kemudian mereka membuat perusahaan sendiri, namun ia tak berlaku. Barangkali kerana mereka bosan. Ini adalah mengenai sikap,” kesal Pareb. 

Pareb menunjukkan sebuah mesin yang digunakan untuk mengadun tanah liat untuk labu sayong.

Selain daripada cara promosi melalui sosial media, ada juga usaha lain yang menarik dilakukan oleh Pareb untuk meningkatkan populariti dan jualan labu sayong. Para pelancong atau pengunjung tempatan yang datang ke Kuala Kangsar selalunya mereka datang melalui ejen yang mempunyai pakej tawaran masing-masing. Pareb bekerjasama dengan dengan ejen-ejen ini untuk memasukkan bengkelnya sebagai destinasi dalam pakej tersebut.

Usaha ini dilihat telah memberi kesan yang positif kerana ia dapat menarik orang ramai untuk mengetahui tentang kewujudan bengkel tersebut. Anak-anak sekolah melalui lawatan sambil belajar juga sering dibawa pihak sekolah ke bengkelnya. Maka ia bertepatan dengan konsep didikan awal dalam minda anak-anak untuk lebih mengenal dan mengharagai karya seni tempatan. 

Di akhir perbualan kami, Pareb sempat berpesan kepada orang-orang di luar sana, “Kalau kita sayang pada warisan kita, rajinkanlah diri mengetahui lebih banyak ilmu mengenai warisan tersebut. Labu sayong sendiri mempunyai falsafah yang boleh dipelajari melalui ukiran dan jenis penghasilannya. Kita harus menghargai karya-karya orang-orang terdahulu,” pesannya. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai labu sayong atau berminat untuk mendapatkannya, boleh layari laman Facebook KZKRAF atau hubungi Encik Pareb di talian 017-5652164.

Ikuti kisah-kisah menarik lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites