‘Nalar Tour’ oleh Fourtwnty singgah di KL, Pahang, Pulau Pinang dan Johor!

Tanpa sedar, saat tembang Aku Tenang, Fana Merah Jambu, Kita Pasti Tua dan Zona Nyaman masih menjadi peneman penggemar, Fourtwnty siap memperkenalkan album ketiga.  

Sebuah perjuangan yang keras dan tidak mudah namun berbuah manis dengan satu demi satu pencapaian — daripada karya-karya yang digarap menjadi candu telinga juga jiwa sehingga menelurkan album yang suatu ketika dulu hanya sebuah mimpi.  

Nalar, begitu judul album ketiga yang diisi dengan 10 buah lagu. Maksudnya sederhana; sentiasa, selalu, namun pengisian Nalar membawa mesej cukup besar.  

Mengangkat mesej atau tema mengenai penderitaan seseorang hingga persoalan mental, Nalar tidak hanya mahu diperdengarkan lewat telinga dan mata di medium kaca televisyen  juga telefon pintar tetapi Fourtwnty dengan bangga memperkenalkan album ini secara berdepan.  

Fourtwnty Nalar Tour dengan bangga memperkenalkan siri jelajah yang menyaksikan Ari Lesmana, Asep Nurohman, Andika Dwi Putra Arman, Primanda Ridho dan Ryan Maulana  siap menyapa penggemar di beberapa kota atau negeri terpilih.  

Lebih mengujakan Fourtwnty Nalar Tour menyaksikan kugiran yang dikenal dengan genre pop folk dan lirik puitis ini buat pertama kali memasukkan beberapa negeri di Malaysia  dalam siri rangka promosi. 

Sebelum Malaysia, Fourtwnty Nalar Tour terlebih dahulu menyapa penggemarnya di Capitol Theatre, Singapura pada 7 Oktober 2023.  

Warga Pahang, siap-siap menyambut jaguh kalian pada 13 Oktober bertempat di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.  

Buat penggemar di Johor Bahru yang telah lama menantikan Fourtwnty menebarkan pesona  mereka di bandaraya ini, jangan sampai terlepas Fourtwnty Nalar Tour yang dijadual  berlangsung di Persada Johor International Convention Centre, Johor pada 15 Oktober.  

Ia kemudian dibawa naik ke Utara, khususnya di Pulau Pinang pada 20  Oktober 2023 di Vervea Trade and Exhibition Centre (VTEC), Batu Kawan, Pulau Pinang.  

Tidak lengkap siri jelajah Fourtwnty tanpa singgah di Kuala Lumpur. Maka siap sedia menyambut Fourtwnty di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023.  

“Melakukan siri jelajah di beberapa kota di Malaysia adalah sebuah rencana yang luar biasa mampu dilaksana Fourtwnty. Tidak kita sangka mimpi itu bisa dilaksana lewat album ketiga kami, Nalar setelah beberapa siri persembahan sebelum ini hanya di Kuala Lumpur.  

“Sampai jumpa nanti, Nalar tidak sabar untuk diraikan bersama-sama,” ujar Ari Lesmana.  

Larasuka telah menjadi senjata pertama dari Nalar yang terus membuai emosi dan melekat di jiwa.  

Selain Nalar, album yang digarap bersama penerbit sekian lama yang bekerja dengan Fourtwnty, Andi, juga diisi dengan satu-satunya lagu bahasa Inggeris iaitu High. Ia turut diisi  dengan beberapa karya yang telah dikeluarkan sejak 2020 iaitu Nematomorpha, Kursi Goyang dan Mangu yang memperkuatkan isi Nalar.  

Bercakap tentang mesej mengenai penderitaan seseorang hingga persoalan mental yang diisi dalam Nalar, Ari menyifatkan album ketiga yang dilancarkan ini sebagai ubat.  

Nalar adalah sebuah ubat buat kalian yang mungkin punya sesuatu hal yang tidak bisa  disembuhkan, ubat ini kami racik sedemikian rupa,” katanya.  

Jangan sampai terlupa temujanji anda dengan Fourtwnty pada tarikh-tarikh dan destinasi yang ditetapkan! Maklumat dan tiket ada di sini.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites