Miri Art Festival kembali untuk tahun keduanya dan kali ini bakal meraikan ambang tahun baru dengan kesenian tempatan dan antarabangsa.
Oleh DANIAL FUAD
Sering dikenali sebagai hab industri minyak, Miri kini sedang giat mengukir nama sebagai pusat seni yang dinamik di kepulauan Borneo. Jika terdapat festival What About Kuching di di Kuching, Miri juga tidak ketinggalan dalam mengadakan festival seni mereka tersendiri.
Untuk melabuhkan tirai 2025 dan menyambut ketibaan tahun baru 2026, bandar ini akan dimeriahkan dengan penganjuran Miri Arts Festival (MAF’25) yang kembali untuk edisi kedua yang lebih besar dan meriah.

MAF’25 bakal berlangsung selama lima hari bermula pada 31 Disember 2025 hingga 4 Januari bertempat di Stadium Bandaraya Miri (Tertutup) dan perkarangan tempat letak kereta di persekitarannya.
Edisi pertama MAF merupakan sebuah pengenalan dan acara tahun ini dilihat sebagai satu usaha pengukuhan. Membawa tema Identiti Kita, Sarawak Kita, festival ini merupakan sebuah manifestasi kekayaan budaya etnik dan kreativiti anak jati Sarawak.
Penyatuan Komuniti dan Seni
Festival kreatif ini merupakan penggemblengan tenaga pelbagai pihak di mana penganjur utama merupakan Dewan Usahawan Bumiputra Sarawak (DUBS) cawangan Miri dengan kerjasama AX Events. Di samping itu, festival ini juga mendapat sokongan padu pihak kerajaan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Perbadanan Pelancongan Sarawak dan juga Majlis Bandaraya Miri.

Menurut Mohd. Hafidz Rohani, Pengerusi MAF’25 yang juga Pengerusi DUBS cawangan Miri, acara ini bakal menjadi sorotan utama ambang tahun baru di bandar raya tersebut.
“MAF’25 akan menjadi acara kemuncak bagi perayaan menyambut tahun baru 2026 di Bandaraya Miri, bertumpu kepada kepelbagaian manifestasi seni dari pelbagai kesenian etnik, budaya dan kreativiti, khususnya pengkarya seni dari Sarawak,” jelas beliau.
Bagi Azeez Salleh, pengasas festival ini, visi MAF melangkaui sekadar pameran. Beliau melihatnya sebagai satu ekosistem yang perlu dibina secara kolektif.
“MAF’25 ialah satu platform kerjasama yang baik di antara komuniti, swasta dan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem seni di wilayah utara Sarawak,” ujar Azeez.
Tujuannya jelas: menjadikan Miri sebagai hab seni Borneo yang mampu menyokong pengkarya muda sambil memperkenalkan keunikan seni tempatan ke peringkat antarabangsa.

Lima Segmen, Seribu Warna
Bagi menterjemahkan tema identiti Sarawak, festival ini telah membahagikan pengisiannya kepada lima segmen utama yang merangkumi pelbagai disiplin seni:
- Seni Visual yang Memukau: Pengunjung bakal disajikan dengan pameran yang menggabungkan pelbagai medium, dari lukisan dan fotografi sehinggalah ke seni mural dan instalasi kontemporari. Segmen ini menampilkan gabungan artis tempatan, bakat dari seluruh Borneo, serta jemputan khas dari luar negara.
- Irama dan Gerak Seni Persembahan: Pentas MAF’25 akan dimeriahkan dengan persembahan budaya etnik Sarawak yang tulen, disulam dengan elemen moden seperti muzik gabungan (fusion), tarian kontemporari, teater mini, dan persembahan jalanan (busking) yang santai namun bertenaga.
- Pasar Seni: Menyokong Ekonomi Kreatif Sebagai sokongan kepada usahawan seni, Pasar Seni akan dibuka dengan gerai-gerai yang menjual kraf tangan, fesyen, dan rekaan kreatif hasil tangan artis muda tempatan. Ini memberi peluang kepada pengunjung untuk membawa pulang secebis memori Sarawak sambil menyokong ekonomi pengkarya tempatan.
- Bicara Seni: Pertukaran Ilmu Tidak lengkap festival seni tanpa pertukaran idea. Segmen Bicara Seni akan menampilkan sesi perkongsian bersama kurator, tokoh budaya, dan profesional industri kreatif. Fokus perbincangan adalah mengenai pembangunan seni di Sarawak dan hala tuju industri kreatif Borneo pada masa hadapan.
- Pertandingan Seni yang Sengit: Bagi mencungkil bakat baharu, pelbagai pertandingan dianjurkan termasuk Pertandingan Tarian Fusi Malaysia, Cabaran Memasak Black Box Malaysia, serta pertandingan mural dan fotografi bagi kategori dewasa dan belia. Turut diadakan adalah Showcase Persatuan Etnik Sarawak yang mempamerkan keunikan warisan masing-masing.
Meraikan Ambang 2026
MAF’25 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh—dari apresiasi visual hingga ke wacana intelektual. Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menyaksikan keindahan seni dan suara budaya anak-anak Sarawak.

Untuk maklumat terkini mengenai jadual program, sila layari media sosial rasmi festival di Instagram dan TikTok (@miriartsfestival).
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL dengan mengikuti pautan di bawah: