Michelle Yeoh, dari Ipoh ke puncak Hollywood

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini telah sekali lagi mengharumkan nama negara dan kali ini merupakan yang paling istimewa kerana beliau baru sahaja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscars yang ke-95

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Siapa yang tak kenal seorang anak jati kelahiran Ipoh, Perak yang telah berkali-kali mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, namun masih setia untuk memanggil Malaysia sebagai “home”. Tidak lain dan tidak bukan orang yang dimaksudkan ini adalah ikon perfileman negara dan juga rantau Asia, Michelle Yeoh Choo Keng. Seorang yang telah merangkul anugerah demi anugerah di dalam dunia perfileman, menjadi duta United Nations Goodwill Ambassador, menjadi Miss World Malaysia dan pelbagai lagi anugerah yang menjadikan beliau antara orang yang paling layak memegang gelaran sebagai seorang Tan Sri di negara kita. 

Dilahirkan di Ipoh, Perak pada tahun 1962 kepada pasangan suami isteri Dato’ Yeoh Kian Tiek dan Datin Janet Yeoh. Ayahnya merupakan pengasas kepada syarikat bas yang agak popular di Malaysia iaitu Syarikat Bas Sri Maju dan ibunya pula banyak menghabiskan masa menjaga keluarga di rumah. Michelle Yeoh telah mendapatkan pendidikan awalnya di Ipoh dan pada umur 15 tahun, beliau telah berpindah ke United Kingdom untuk menyambung pelajarannya. Bermula sebagai seorang penari ballet, beliau seterusnya menjejakkan kaki mewaliki Malaysia buat pertama kalinya pada acara Miss World pada tahun 1983 sewaktu berusia 20 tahun. Di situlah bermulanya dunia mengenali ikon negara kita ini sebelum beliau bermula sebagai seorang seniman filem. 

Tidak lama selepas itu, beliau telah menjadi pelakon utama di dalam beberapa filem global yang pasti diingati oleh peminat-peminat filem antaranya filem James Bond: Tomorrow Never Dies yang dilakonkan oleh Pierce Brosnan, Crouching Tiger, Hidden Dragon bersama Zhang Ziyi dan Chow Yun-Fat, Police Story 3: Super Cop yang telah membuat penggambaran di ibu kota Kuala Lumpur bersama seorang lagi bintang filem Asia iaitu Jackie Chan dan semestinya filem yang pasti ramai daripada anda yang tahu iaitu Crazy Rich Asians bersama seorang lagi bintang filem daripada Malaysia iaitu Henry Golding. 

Perjalanan Michelle Yeoh di dalam industri perfileman tanah air cukup luas dan menjadi sumber inspirasi buat penggiat dan peminat industri filem di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Pada Anugerah Oscars yang ke-95 ini, Michelle Yeoh telah membawa pulang anugerah yang tertinggi iaitu Anugerah Pelakon Wanita Terbaik, sebuah anugerah yang pertama kali dinobatkan kepada bintang daripada rantau Asia. Kejayaan demi kejayaan dan kemenangan demi kemenangan Michelle Yeoh bagi watak beliau dalam filem Everything Everywhere All At Once ini merupakan sebuah impian yang bukan lagi mimpi semata-mata namun kini sebuah kenyataan yang digenggam. 

Sewaktu beliau naik ke atas pentas untuk menerima anugerah perfileman paling berprestij di dunia ini, beliau turut mengungkapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat ibunya yang sedang menonton beliau di kaca mata televisyen di Kuala Lumpur dan beliau sempat untuk berkata “Saya akan bawa pulang anugerah ini kepada ibu saya. Dia sedang menonton saya daripada Malaysia bersama keluarga dan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya akan bawa anugerah ini pulang ke rumah.”

Michelle Yeoh juga telah memberi peringatan dan kata-kata semangat buat mereka yang masih berjuang di dalam industri seni ini, “Terima kasih, terima kasih kepada anda semua dan buat adik-adik lelaki dan perempuan yang sedang menonton, ini adalah bukti sebuah pengharapan. Letakkan impian yang besar kerana impian akan suatu hari nanti menjadi kenyataan.” 

Barisan editorial BASKL, ahli keluarga besar CENDANA dan MyCreative Ventures sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat ikon Malaysia di persada dunia, Tan Sri Michelle Yeoh atas kemenangan dan penobatan menjadi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Oscars yang Ke-95. 

Gambar-gambar daripada Facebook Tan Sri Michelle Yeoh

Ikuti kisah BASKL lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites