Metaphysical menggandingkan muzik dan catan

Buku gambar gandingan Syafiq Fawwaz dan BLOCKED meneroka gaya lukisan metafizikal.

Oleh DANIAL FUAD

Sebelum kehadiran seniman-seniman surealisme pada tahun 1920an yang sering menghasilkan karya-karya yang berimaginasi tinggi, terdapat sebuah gerakan seni yang telah menerajuinya terlebih dahulu. Pada tahun 1917, pelukis Giorgio De Chirico telah bertemu dengan Carlo Carrà di sebuah hospital di Ferrara, Itali dek kerana kecederaan yang mereka alami ketika Perang Dunia Pertama. Pertemuan ini telah mencetuskan gerakan seni metafizikal dimana kedua-dua seniman itu meneroka gaya baru sebagai alternatif kepada gerakan Futurism yang berleluasa ketika itu.

Perihal ini telah menarik minat seniman visual tempatan, Syafiq Fawwaz untuk meneroka gaya lukisan metafizik dalam buku gambar terbaru beliau; Metaphysical: A Compendium of Surreal Images and Words. Di samping itu, beliau juga telah bekerjasama dengan pemuzik tempatan, BLOCKED yang menghasilkan sebuah album padanan kepada lukisan beliau.

Syafiq Fawwaz & BLOCKED

BLOCKED (kiri) bersama Syafiq Fawwaz (kanan)

Syafiq Fawwaz, 36 merupakan seorang graduan daripada Univesiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Seni Halus (Kepujiaan). Minat beliau terhadap muzik amat tinggi dan dapat dilihat dalam hasil karyanya yang sebelum ini. Sebagai contoh, lukisannya di pameran tunggalnya di HOM Art Trans pada tahun 2012 sarat dengan imej sureal digandingkan bersama dengan bait-bait lirik lagu.

BLOCKED pula merupakan cetusan daripada pemuzik Emessef yang sebelum ini pernah terlibat bersama kumpulan seperti Airframe, Sparanormal dan Destheria. Sebuah projek ‘one-man band’, BLOCKED menghasilkan muzik eksperimental dan kolaj bunyian yang mempunyai pengaruh daripada pemuzik antarbangsa seperti Trent Reznor, Hans Zimmer dan Brian Eno malahan pemuzik tempatan seperti Fathul, Bayangan dan juga Monoloque.

Pengkaryaan Metaphysical: A Compendium of Surreal Images and Words?

“Idea ini diilhamkan pada ketika Perintah Kawalan Pegerakkan (PKP) yang pertama dahulu oleh kerana banyak kelapangan membuatkan saya lebih masa untuk muhasabah diri,” ujar Syafiq tentang permulaan projek ini. Pada mulanya, beliau mengumpul lakaran-lakaran lama yang membuatnya mengimbau kembali antara idea-idea yang tidak dapat dicurahkan ke dalam kanvas. Lalu karya-karya yang asalnya lakaran akhirnya disiapkan dalam bentuk kanvas dan Syafiq berasa beliau ingin menghasilkan buku gambar daripada karya-karyanya itu.

Setelah menghasilkan karya, dia mula berkongsi idea buku gambar tersebut bersama beberapa rakan termasuklah BLOCKED. Dari situ. Dari perbincangan santai tersebut, maka tercetus satu idea yang baharu.

“Saya dan BLOCKED mempunyai kecenderungan dan ideologi yang sama jadi saya mempelawanya untuk menjalankan sebuah kerjasama,” tambah Syafiq.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Syafiq telah berjaya dalam permohonan Geran Sastera & Penerbitan Buku (GPIK Sastera) yang ditawarkan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. bagi menghasilkan buku gambarnya. Melalui geran ini, dia dapat merealisasikan projek ini dengan lebih lancar hasil saluran kewangan yang dapat meringankan bebanannya.

Buku ini dihasilkan dalam jangka masa yang agak panjang iaitu daripada tahun 2020 dan buku tersebut siap pada tahun 2022. “Disebabkan PKP yang diumumkan kerajaan, antara cabaran menghasilkan buku ini lebih tertumpu kepada kekangan pergerakkan dan komunikasi sepanjang proses penghasilan,” ujar BLOCKED.

Aura Metafizik Bersama Bunyian Eksperimental

Perkataan metafizik diambil daripada perkataan Yunani yang membawa maksud “luar daripada kenyataan” dan ciri-ciri lukisan berlawanan daripada gerakan Futurist ketika itu yang sarat dengan pergerakkan. Pelukis metafizik lebih meraikan kesunyian di mana lukisan lebih kelihatan pegun dengan subjek seperti permandangan diisi dengan bangunan, flora dan juga fauna yang berimaginasi tinggi.

Semua ini dapat dilihat dalam karya-karya yang dihasilkan oleh Syafiq bagi buku gambar ini di mana lukisannya memancarkan kesunyian. Perkara ini juga menarik kerana karya ini dihasilkan ketika PKP dan kebanyakkan daripada kita merasa kesunyian akibat daripadanya. Bagi penulis, karya-karya ini menggambarkan keadaan negara kita dikala bencana COVID-19 sepanjang dua tahun lepas. Selitan teks bersama gambar memberi gambaran akan apa yang tersemat di dada penulis dan pelukis ketika berkarya.

“Untuk menghayati lebih mendalam buku gambar ini, anda boleh melihat karya-karya tersebut sambil mendengar lagu,” ujar Syafiq lagi berkenaan penghayatan buku gambar beliau. BLOCKED mencipta lagu-lagu dalam projek ini sebagai sebuah tindak balas perasaan yang beliau alami ketika melihat karya-karya Syafiq. Muzik yang dihasilkan amatlah bersesuaian dengan karya Syafiq.

Secara visual rata-rata dapat melihat karya syafiq, namun apabila ditambah dengan lagu, ia dapat mencerminkan lagi perasaan ketakutan, kesunyian dan kehampaan yang ingin disampaikan oleh artis. “Penghasilan audio CD ini juga boleh dianggap sebegai pendamping atau saka kepada buku gambar ini,” tambah BLOCKED.

Kerjasama antara pelukis dan pemuzik bukanlah sesuatu yang baru di mana kita pernah melihat arca Bayu Utomo Radjikin, Lang Kacang menghiasi muka album kumpulan Search, Rampage pada tahun 1992 sebagai satu contoh. Kolaborasi seperti ini penting untuk para pengkarya merentasi bidang bagi mengelakkan vakum dan boleh menghasilkan karya yang lebih jitu. Terdapat juga beberapa tempat yang menumpukan aktiviti rentas bidang seperti RAI Arts dan juga FINDARS. Usaha Syafiq bersama BLOCKED ini haruslah dipuji dan diraikan kerana ia membuka kepada lebih banyak pintu kerjasama antara para pengkarya lain.

Buku ini diterbitkan oleh Buku Kaukab, sebuah rumah percetakkan yang menghasilkan buku sekitar kesenian seperti Kerana filem kau dibilang darling oleh Abror Rivai dan nota dari kota basah oleh Rimanilzah. anda boleh menghubungi Buku Kaukab melalui WhatsApp di sini ataupun Syafiq bagi yang berminat untuk mendapatkan Metaphysical: A Compendium of Surreal Images and Words . Buku gambar tersebut dijual pada harga RM35 berserta sekali dengan Audio CD dan harganya belum termasuk kos penghantaran.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites