Deria rasa seni dihidupkan dengan Kembara RIUH — ke mana pula agaknya RIUH tahun hadapan?
Oleh NABILA AZLAN
Acara pertama RIUH, juga dikenali sebagai Riuh In The City bertapak di APW Bangsar pada bulan Ogos 2017 sejurus pelancarannya pada tahun sebelumnya. Gugusan aktiviti menarik yang antaranya mengandungi aktiviti jual beli pop-up, bengkel, pameran seni, riadah santai dan persembahan pentas ini merupakan rancangan untuk merancakkan atmosfera seni lokal, bermula dengan bandar raya Kuala Lumpur sebagai ‘rumah’ RIUH. Edisi-edisi seterusnya pula bertapak di beberapa ‘hotspot’ sekitar Lembah Klang, antaranya Gasket Alley di Petaling Jaya, KL River Of Life dan Sentul Depot.
Tidak dapat disangkal lagi, masyarakat (terutamanya yang berada di Lembah Klang) amat gemarkan suasana meriah yang dapat dinikmati setiap kali platform kreatif ini berlangsung! Atas sebab inilah, RIUH di luar bandar raya Kuala Lumpur yang pertama yang dinamakan Sama Sama RIUH, didedikasikan untuk para pengunjung di Ipoh, Perak pada tahun 2019 dengan kolaborasi Sama Sama Perak.
Sinergi seni ini tidak sekadar berhenti di situ kerana pada tahun ini, RIUH ‘berjalan’ ke serata Malaysia, menempatkan pelbagai rasa, bunyi dan warna di bawah payung Kembara RIUH! Terbitlah festival seni dengan rasa enak lokal; RIUH EK! di Ayer Hitam, Johor (Mac 2022), RIUH BAH! di Kota Kinabalu, Sabah (Jun 2022), RIUH X JAKM Kelantan di Kota Bharu, Kelantan (Julai 2022), RIUH NAU! di Melaka (Ogos 2022) dan RIUH BENOR! di Ipoh, Perak (Oktober 2022) sebelum RIUH melabuhkan tirainya dengan acara gilang-gemilang ROCK ‘N RIUH (Disember 2022)!
Seperti RIUH di edisi-edisi sebelumnya, ROCK ‘N RIUH sebagai edisi penutup kekal dengan semangatnya untuk menemukan jenama dan karya lokal dalam pelbagai bentuk kepada khalayak, tidak kira tua ataupun muda! Namun kali ini, RIUH yang berskala besar ini menawarkan dua buah pentas persembahan dan lebih seratus vendor untuk menawan hati pengunjung.
Bergabung kuasa dengan Unifi sebagai penganjur bersama, ROCK ‘N RIUH yang bertempat di Bukit Kiara Equestrian Resort selama tiga hari iaitu 16 hingga 18 Disember 2022 membawa ke hadapan aktiviti seni, persembahan istimewa dari artis-artis lokal dan tentunya, gerai-gerai yang dikurasi khas. Bukan itu sahaja, ROCK ‘N RIUH juga merupakan satu-satunya acara RIUH yang membawa komponen Art In The City, merangkumi penampilan istimewa pameran dan jualan artisan kraf, bengkel seni di bawah jenama Seni Untuk Semua, serta pameran seni visual-interaktif Cloud oleh Fairuz Sulaiman. Cloud merupakan karya berunsurkan pemetaan cahaya dan penggunaan asap yang dibawakan khas oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA).
Pengunjung yang datang ke ROCK ‘N RIUH berkesempatan untuk berhibur bersama nama-nama legenda rock tanah air seperti Hattan, Ella dan Ramli Sarip! Edisi ini juga dimeriahkan dengan persembahan bertenaga antaranya dari Zeppo Youngsterz, Jemson, Aizat Amdan, The Impatient Sisters, Airliftz dan Salammusik!
Langsung dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam selama tiga hari berturut-turut, ROCK ‘N RIUH yang menggegarkan Bukit Kiara merupakan bukti bahawa masyarakat ‘laparkan’ hidangan seni lokal – ternyata tiga hari tidak mencukupi untuk menikmati setiap hidangan, namun edisi ini merupakan acara yang amat meriah, walaupun asalnya lokasi ini dicabar dengan keadaan guruh dan hujan yang tidak menentu. Para pengunjung tetap setia bersama-sama RIUH sehingga ke hujungnya!
Program impak ROCK ‘N RIUH Bersama Unifi telah berjaya menarik 62 ribu pengunjung ke tapak pesta, sekaligus meraih lebih RM200 ribu dan 664 peluang pekerjaan sepanjang acara. Dilaporkan bahawa sebanyak 869 penggiat seni terlibat dalam perancangan kali ini. Semoga acara-acara RIUH yang akan datang menempa nama sebagai tarikan utama peminat seni dari seluruh negara!
RIUH edisi manakah telah anda hadiri sebelum ini? Bersediakah anda untuk RIUH edisi tahun baru? Nantikan pula yang selanjutnya!
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: