Meraikan tekstil: Sebuah perjalanan

Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN kali ke-8 yang bakal berlangsung bermula 25 hingga 30 September di Hotel Marriot, Putrajaya.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Diterajui oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melalui Yayasan Tenun Pahang Diraja serta berkolaborasi bersama Kraftangan Malaysia dan Institut Kraf Negara, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Simposium Tekstil Tradisional ASEAN yang diadakan buat kali yang ke-8 tahun ini.

Sebanyak 19 kertas kerja akan dibentangkan pada simposium ini dan bakal dihadiri dan diwakili oleh negara ASEAN, Belanda, Canada dan India.

Negara kita Malaysia ini cukup bertuah dan tertelak pada lokasi yang cukup strategik pada peta dunia. Malaysia berada pada posisi yang boleh dikatakan sebagai pusat dan di tengah-tengah komuniti ASEAN. Komuniti ASEAN ini pula cukup terkenal dan mahsyur dengan kekayaan seni tradisionalnya daripada hasil kraftangan, alunan kata-kata puitis dan sudah tentunya tenunan fabrik tekstil. 

Antara nama tersohor yang bakal membentangkan kertas kerja adalah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Aziz yang bergabung dengan Suryani Senja Alias dengan kertas kerja mereka “Dari Mana ke Mana” – Tracing the Past to Forge a Future: Malay World Textiles Through the Lens of Azah Aziz. Selain Zeti, antara nama besar dunia seni yang bakal membuat pembentangan adalah Nini Marini Ramlan. 

Tunku Azizah juga berkongsi antara objektif utama simposium yang diadakan di Putrajaya kali ini adalah untuk mengukuhkan hubungan diantara negara-negara ASEAN yang berbeza gaya dan cara tenunan mereka. Di samping itu, ini juga merupakan platform bagi membincangkan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN.

“Kita juga ingin tunjukkan usaha-usaha yang telah dibuat oleh kerjaan dalam memelihara kraf tekstil, walaupun kita tidak mempunyai jumlah reka bentuk yang banyak seperti negara lain. Kita mahu tunjukkan apa kerajaan kita telah laukan bagi memastikan khazanah ini tidak pupus,” titah baginda.

Simposium Tekstil Tradisional ASEAN sebelum ini diadakan pada tahun 2019 di Jogjakarta, Indonesia dan kebiasaanya diadakan setiap dua tahun. Namun oleh kerana pandemik yang melanda dunia, acara yang sepatutnya diadakan pada tahun 2021 ini ditunda ke tahun ini.

Bagi tahun ini pula Tunku Azizah berhasrat untuk menganjurkannya sendiri, walaupun pada asalnya tuan rumah pada tahun ini adalah Singapura. “Sebenarnya untuk edisi kali ke-8 Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ini, Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah namun saya telah membuat permohonan kepada Singapura untuk memberi laluan kepada Malaysia agar acara ini diadakan di sini sementara saya masih menjadi Raja Permaisuri Agong,” titah baginda.

Selain daripada diskusi dan pembentangan yang bakal berlangsung, terdapat pelbagai jenis hasil kraf tekstil yang unik dan cukup cantik akan dipamerkan. Antaranya demontrasi pembuatan kraf Tenunan Pahang Diraja, songket, pua kumbu, anyaman mengkuang, ukiran kayu dan bermacam-macam lagi. Pameran hasil seni tangan ini bakal menjadi tarikan yang amat menarik buat para pengunjung dan tetamu antarabangsa yang bakal hadir selama satu minggu ini. 

Sebagai peneraju bagi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN kali ke-8 ini, Raja Permaisuri Agong sendiri akan mempamerkan koleksi tenun dan kraf peribadi sendiri kerana minatnya yang cukup tinggi terhadap seni kraf tradisional. Tambah Tunku Azizah, “Saya memang minat kepada seni kraf tradisional ni, tak kira menjahit, melukis, batik, menenun dan sebagainya. Saya rasa ia ada tanggungjawab saya untuk memelihara seni tradisional ni sebagai warisan untuk masa hadapan.”

Kesemua pakej yang ditawarkan kepada peserta telah habis dijual, namun bagi mereka yang berminat anda boleh melayari laman web rasmi acara ini atau menghubungi pihak urusetia mereka secara terus dengan mengisi borang pertanyaan rasmi mereka ini.

*Gambar-gambar di dalam petikan ini merupakan kenangan Raja Permaisuri Agong sewaktu Simposium Tekstil Tradisional ASEAN yang lepas di Indonesia pada tahun 2019 yang dimuat naik oleh akaun rasmi media sosial Istana Negara.

Ikuti artikel lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites