Menelusuri susur-galur seni Seri Iskandar melalui Jejak Artis Seri Iskandar

Fadly Sabran telah berganding bahu bersama Issarezal Ismail untuk menghasilkan sebuah direktori bagi para seniman di sekitar Seri Iskandar, Perak.

Oleh DANIAL FUAD

Sudah menjadi kebiasaan untuk ekosistem seni tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Manila dan Yogyakarta. Namun begitu, ini tidaklah membawa makna seni itu tidak hidup di luar kawasan bandar. Malahan, terdapat ramai seniman yang lebih memilih untuk hidup jauh dari bandar demi mencari ketenangan seperti Raja Shahriman yang telah hampir dua dekad bertapak di kampung halamannya di Perak dan juga Yee I-Lan yang membuat keputusan untuk pulang ke Sabah bagi memulakan studio baru beliau.

Walaupun ekosistem seni di luar bandar cukup meriah, dokumentasi berkenaan seniman-seniman yang bekerja di luar bandar sangatlah terhad. Sehubungan dengan itu, Kapallorek Artspace yang diuruskan oleh Fadly Sabran telah berganding bahu bersama seniman-pengkaji Issarezal Ismail untuk menghasilkan sebuah direktori bagi para seniman yang berada di sekitar Seri Iskandar, Perak.

Seri Iskandar merupakan sebuah bandar yang terletak di kawasan Perak Tengah dalam 45 minit daripada Ipoh. Di sini terletaknya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar yang menawarkan program Seni Lukis dan Seni Reka. Atas dasar inilah yang menyebabkan ekosistem seni di kawasan ini meriah di mana kebanyakkan para pensyarah di sana juga adalah seniman yang aktif. Suhaimi Tular, Hamidi Hadi dan Zainon Abdullah merupakan beberapa pensyarah yang juga seniman yang menjadikan Seri Iskandar sebagai lokasi operasi mereka.

Merasakan Seri Iskandar penting bagi sejarah seni Malaysia, Fadly dan Issarezal mula menggerakkan projek Jejak Seni ini. “Seni di Seri Iskandar terus berkembang dan berkembang semenjak dari dulu lagi, namun rujukan berkenaan kawasan ini sangatlah terhad. Disebabkan hal inilah saya dan Issarezal telah membuat keputusan untuk memulakan projek ini,” ujar Fadly. Segala kertas kerja telah dibuat dan diserahkan kepada Balai Seni Negara atas tujuan permohonan pembiayaan dimana pihak Balai Seni telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek ini.

Jejak Seni Seri Iskandar terbahagi kepada tiga bahagian, dimana yang utamanya adalah penerbitan buku Jejak Seni Seri Iskandar. Setelah berbincang bersama, Issarezal dan Fadly telah memutuskan seramai 21 orang seniman dijadikan tumpuan. Kriteria utama dalam pemilihan seniman adalah mereka harus aktif dan juga mempunyai studio di Seri Iskandar.

Para seniman yang dipilih tidaklah hanya seniman halus dimana Fadly telah menyatakan “21 seniman terpilih melibatkan pelbagai disiplin seperti seni halus, fotografi, seramik, fesyen dan juga seni grafik.” Hamidi Hadi, Aznan Omar, Syed Alwi Syed Abu Bakar, Daud Rahim, Azizan Paiman, Hamdan Shaarani, Fawazie Arshad, Izaddin Matrahah, Mahizan Hijaz, Hilal Mazlan & Yusri Yusof, Suhaimi Tular, Rozarina Johari, Zainon Abdullah, Muh Sarip Abd Rahman, Zaharah Jaafar, Nagib Padil, Ashraf Abd Rahaman, Salwa Ayob, Mohd Khairi Baharom dan juga Hafizuddin Azman merupakan nama yang terlibat dalam projek ini.

Para seniman terlibat telah ditemuramah oleh pasukan Kapallorek Artspace dan hasil daripada itu telah disalin semula ke dalam teks untuk dimasukkan dalam buku. Fadly dan Issarezal telah memilih kaedah temuramah agar para pembaca lebih dapat mendekati apa yang para seniman ingin sampaikan. “Para seniman ditemuramah atas tiga kriteria penting iaitu sejarah mereka di Seri Iskandar, latarbelakang studio mereka dan juga tentang karya-karya mereka,” jelas Fadly tentang intipati temuramah bersama seniman.

Disamping Issarezal yang merupakan penulis utama bagi buku itu, mereka juga telah menjemput Azizan Paiman sebagai penulis jemputan. “Azizan Paiman mempunyai pengalaman yang cukup lama di Seri Iskandar dan sangat menarik untuk mendapat pandangan beliau tentang pembangunan ekosistem seni di sini,” ujar Fadly tentang pemilihan Azizan Paiman sebagai penulis jemputan.

Sempena pelancaran buku tersebut, Fadly dan Issarezal telah merancang sebuah pameran yang akan berlangsung di Kapallorek Artspace. Pameran ini dijangka akan berlangsung sepanjang bulan September hingga Oktober yang disertai oleh para seniman yang terlibat dalam penghasilan buku Jejak Artis Seri Iskandar itu.

Sepanjang pameran itu, Fadly dan Issarezal juga telah merancang untuk mengadakan diskusi seni bersama seniman yang terlibat yang juga akan dijalankan di Kapallorek Art Space. Kini buku tersebut dalam proses percetakkan melalui Balai Seni Negara dan diharapkan mampu siap sebelum bulan September seiring dengan pembukaan pameran tersebut.

Tidak dinafikan, ramai yang terkesan pandemik COVID-19 ini; Fadly dan Issarezal tidak terkecuali dalam hal ini. Projek ini telah dimulakan semenjak dari bulan September 2020, namun disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakkan, banyak perkara yang tertangguh seperti proses melawat seniman, perbincangan bersama pereka letak dan pembukaan pameran. “Sepatutnya pameran berlaku pada bulan Mei lalu, namun terpaksa ditangguh disebabkan PKP. Kini kami harus jalankan juga kerana banyak projek telah tertangguh dan jadual sudah diisi,” jelas Fadly tentang permasalahan utama menyiapkan projek di kala pandemik ini.

Tujuan buku ini bukanlah untuk menjadi satu kitab abadi seniman Seri Iskandar, namun ia merupakan langkah yang sangat baik untuk mengetengahkan seniman-seniman luar bandar. Dengan projek ini, orang ramai akan dapat memahami lebih mendalam tentang bagaimana cara bekerja, pemikiran dan juga teknik digunakan oleh para seniman tersebut. Salah satu anekdot menarik yang dikongsi Fadly merupakan di mana Azizan Paiman menyatakan studio beliau adalah otak beliau dan beliau tidak memerlukan ruang fizikal untuk berkarya. Fadly juga berharap projek ini akan memberi semangat untuk seniman luar bandar kawasan lain untuk menjalankan Jejak Seni di kawasan mereka sendiri.

Buku, pameran dan diskusi seni berkenaan dengan Jejak Seni Perak akan berlangsung sepanjang September hingga Oktober. Orang ramai boleh mengikuti laman sesawang dan Instagram Kapallorek untuk sebarang perkembangan terbaru terhadap projek Jejak Seni Seri Iskandar ini. Video promosi juga boleh ditonton di laman YouTube mereka untuk mendapat jangkaan kasar bagaimana temuramah bersama seniman berlangsung.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites