Memodenkan hasil kraf tangan, membantu Hanim Apeng luaskan perniagaan

Menghasilkan kraftangan memerlukan kemahiran dan kesabaran yang sangat tinggi, menurut orang asli Hanim Apeng.

Oleh DANNY ADAM

Meminati seni kraftangan sejak dibangku sekolah lagi, tidak hairanlah Hanim Apeng, 50, menjadikan hasil kraftangan yang diusahakannya sebagai sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarganya. Bagaimanapun, Hanim (sebelah kiri di gambar atas) tidak keseorangan dalam menghasilkan kraftangan ini apabila beliau turut dibantu oleh suami tercinta yang sentiasa berada disisinya.

Hanim, atau lebih mesra dipanggil Mak Intan, merupakan orang asli suku kaum Jakun-Jahut dilahirkan di Baling, Kedah. Menceritakan kepada BASKL mengenai kehidupannya, anak keempat daripada tujuh beradik ini tidak pernah menyangka beliau dapat mewarisi seni kraftangan ini daripada kedua-dua ibu bapanya seperti menganyam tikar dan membuat lampu daripada buluh.

”Pada awalnya saya hanya suka-suka ikut ibu dan ayah masuk hutan mencari kayu, daun dan sebagainya. Biasalah apabila kita orang kampung ini, hendak buat apa-apa kita kena lakukan sendiri. Daripada sini saya mula belajar membuat kraftangan, saya lihat bagaimana ibu saya buat anyaman tikar mengkuang dan sebagainya.”

“Lama-kelamaan timbul minat untuk membuat kraftangan dan saya pelajari seni kraftangan ini secara terus tanpa henti, kalau tidak minat memang susah untuk kita hasilkan kraftangan ini,” katanya.

Oleh kerana bapanya bekerja sebagai polis hutan, Hanim sekeluarga sering berpindah rumah ke tempat lain tetapi baginya ia adalah suatu pengalaman dan kenangan yang cukup indah.

Beliau tidak sama sekali menyalahkan takdir itu kerana apabila berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, Hanim menggunakan peluang yang dimilikinya itu dengan mempelajari banyak ilmu seni kraftangan daripada orang disekeliling kawasan itu.

”Saya banyak mengikuti kelas atau kursus kraftangan yang diajar oleh guru. Saya kutip semua ilmu yang ada sebab bagi saya ilmu ini kita kena cari, kalau kita tiada ilmu susah juga untuk kita ‘survive’ dalam hidup. Minat sudah ada tapi minat itu juga perlu ditambah dengan ilmu,” katanya lagi.

Bagi Hanim, menghasilkan kraftangan memerlukan kemahiran dan kesabaran yang sangat tinggi. Untuk membuat kraftangan bukanlah senang kerana ia mengambil masa dan perlu penelitian yang cukup untuk menghasilkan kualiti yang terbaik agar pelanggan berpuas hati dengan sesuatu kraftangan yang dihasilkan.

”Sampai satu tahap saya kena memikirkan jalan lain untuk memodenkan hasil kraftangan mengikut peredaran zaman. Sebab itu sekarang ini saya mula selesa membuat ‘homemade soap’ kerana hasilnya cukup lumayan dan ramai pelanggan yang menggemarinya.”

”Saya tidak pernah menyangka ‘homemade soap’ saya ini pernah terima tempahan yang banyak, sebulan pernah mencecah RM5,000 hingga RM6,000. Tempahan yang diterima ini juga turut dibantu oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama bantu saya untuk promosi hasil kraftangan ini,” ujarnya lagi.

Jelas Hanim lagi, seni kreativiti kraftangan ini sangat luas, ”Kita harus bijak mencari peluang dan mengenalpasti kemahuan pelanggan ketika ini sebab itu kebanyakkan hasil seni kraftangan yang saya hasilkan, saya banyak ‘memodenkan’ kraftangan ini. Saya tidak mahu pelanggan hanya lihat kepada satu atau dua sahaja kraftangan yang dihasilkan, saya perlu pelbagaikan corak dan ukiran agar pelanggan mempunyai pilihan untuk memilihnya.”

Homemade soap’ yang dihasilkan oleh Hanim cukup lumayan dan ramai pelanggan yang menggemarinya.

Namun apabila ditanya mengenai kehidupannya ketika ini, Hanim tidak menyangka punca rezekinya itu hilang sekelip mata sahaja. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, nasibnya berubah kerana permintaan terhadap hasil seni kraftangan sudah tiada berikutan penularan wabak COVID-19 dan sekatan pergerakan yang terbatas.

Sebelum pandemik COVID-19 ini berlaku, hasil kraftangan saya ini banyak dibeli oleh pelanggan yang melakukan majlis perkahwinan, sambutan hari ibu atau wanita, majlis korporat dan sebagainya dengan menjadikan kraftangan ini sebagai hadiah atau cenderamata kepada tetamu mereka.

”Selain membuat kraftangan saya juga ada menjual rempeyek sebagai pendapatan sampingan tapi disebabkan wabak COVID-19 melanda negara ketika ini, perniagaan kraftangan saya terjejas teruk dan permintaan rempeyek pula sudah tidak terlalu ramai kerana rata-rata pelanggan saya kebanyakkannya berada di luar daripada kawasan rumah saya di Kampung Orang Asli Sungai Buloh. Jadi agak terbatas untuk saya membuat penghantaran kerana saya tidak mahu kualiti rempeyek saya hancur dan tidak dapat memuaskan hati pelanggan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau tetap meneruskan perniagaan yang diusahakannya walaupun sudah tidak menerima banyak tempahan daripada pelanggan, Hanim akur dan pasrah kerana minatnya dalam bidang kraftangan tidak akan lupus selamanya.

”Saya amat berharap agar lebih ramai generasi akan datang gemar menghasilkan seni kreatif kraftangan ini sebab ia memiliki keunikan tersendiri. Tidak semua orang ada bakat, tidak semua orang gemar melakukannya. Jadi rebutlah peluang ini, banyak cara yang boleh kita hasilkan dengan seni kraftangan jika kita mempunyai minat dan bakat,” katanya.

Sekiranya anda berminat untuk membuat tempahan kraftangan, anda boleh layari laman media sosial Hanim di Facebook : Hanim Apeng atau Aslimakintan Hanimapeng atau hubungi terus Hanim Apeng di talian 013-2299307.

Studio Seni Orang Asal, sebuah projek video digital, akan menampilkan seniman Hanim Apeng dan lain-lain untuk berkongsi mengenai karya seni mereka (muzik, anyaman, perhiasan) dan pada masa yang sama mempamerkan nilai karya dan pengetahuan mereka, pada 8 Ogos. Untuk maklumat lanjut, sila layar laman Facebook Gerimis Art Project.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites