Mega Star Arena bergegar dengan suara Ziana Zain dan peminat

Ziana Zain mempersembahkan konsert terbaru beliau setelah lebih 20 tahun tidak beraksi solo di atas pentas

Oleh DANIAL FUAD

Bergema Mega Star Arena KL pada Sabtu lepas dengan nyanyian para penonton mengiringi persembahan Ziana Zain Concert 2024. Persembahan yang diberikan Ziana sangatlah bertenaga sehingga membuatkan orang ramai lupa bahawa umur penyanyi tersebut sudah mencecah 56 tahun. Orang ramai teruja apabila Ziana mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan konsert solonya pada Disember lepas, mana tidaknya, kali terakhir para peminat dijamu dengan persembahan solonya adalah lebih kurang 20 tahun lepas.

Menyambut 33 tahun keberadaan Ziana dalam industri muzik, konsert tiga jam ini telah dibawakan oleh CSA Academy yang melantik beliau sebagai duta rasmi mereka pada awal tahun ini. Ia juga disokong oleh Kementerian Kewangan melalui MyCreative Ventures dengan Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik, sama seperti konsert Liza Hanim pada Oktober tahun lepas. Seramai 5,000 orang telah membanjiri ruang konsert Mega Star Arena KL ini bagi memberi sokongan kepada Ziana atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Gee oleh peminat beliau.

Tidak terjangka tenaga yang dimiliki kerana beliau mampu untuk membawa 20 buah lagu sepanjang persembahan ini dan kesemua lagunya dibawa dengan penuh semangat! Tidak sia-sialah persiapan beliau yang pergi ke gimnasium beberapa bulan sebelum persembahan; ini tentunya satu anugerah yang sangat dialu-alukan oleh para Ziana Folks yang sentiasa dibelakang Ziana sepanjang kerjayanya.

Konsert dibuka dengan lagu Ada Suara Ada Cinta dan penonton bersorak girang apabila melihat Ziana muncul daripada bawah pentas, sebuah gimik yang menarik oleh pereka pentas. Baju pertama yang digayakan olehnya bergemerlapan dengan labuci-labuci hasil rekaan Rizman Ruzaini, seorang pereka yang tidak asing lagi bekerjasama dengan Ziana. Sepanjang konsert berlangsung, Ziana mempunyai tiga persalinan baju; dua daripadanya adalah Datuk Rizalman Ibrahim dan Ezuwan Ismail.

Dapat dilihat bagaimana aura Kak Gee tidak pudar ditelan usia; terdapat selingan di antara nyanyian di mana beliau berkongsi cerita-cerita di sepanjang kerjayanya di dalam dunia hiburan ini seperti bagaimana beliau mendapat tempat untuk berlakon dek kepercayaan Dato’ Yusof Haslam kepadanya. Dikongsi juga di paparan LED seketika Ziana sedang menyalin baju pencapaian-pencapaian beliau sepanjang zaman seperti memenangi Voice of Asia di Kazakhstan pada tahun 1995.

Semangat para penonton juga tidak kurang tinggi kerana penantian yang cukup lama untuk menyaksikan idola mereka beraksi di atas pentas. Ada beberapa ketika ruang Mega Star Arena cukup riuh dengan nyanyian para penonton mengiringi Ziana, tambahan lagi apabila beliau meminta para peminat menggantikan Awie sebagai rakan duetnya dalam lagu Senja Nan Merah. Dapat dirasakan para hadirin yang datang pada malam itu sememangnya peminat tegar Kak Gee.

Terdapat sedikit selingan juga di antara nyanyian di mana bapa Ziana iaitu Zain Abdullah membuat panggilan video untuk mengetahui situasi konsertnya. Keluarganya sentiasa menyokong kerjaya beliau; dimaklumkan juga bahawa konsert ini adalah anjuran adiknya, Anuar Zain. Ibu penyanyi itu turut menunaikan solat hajat supaya konsertnya berjalan lancar.

Malam tersebut diakhiri dengan lagu tersohornya, Madah Berhelah yang dibawa dengan cukup hebat walaupun menurutnya, beliau sedikit risau akan kemampuannya untuk membawa lagu yang tinggi. Pastinya para peminat berpuas hati dengan aksi tiga jam Kak Gee di atas pentas yang telah dinantikan dengan cukup lama. Konsert ini adalah hadiah yang sangat bermakna bagi kumpulan peminatnya, Ziana Folks yang cukup setia menyokong Ziana selama ini. Turut hadir adalah beberapa rakan selebriti yang tidak lelah dalam memberikan sokongan kepada beliau pada malam itu seperti Ernie Zakri, Syamel, Anuar Zain, Rozita Che Wan, Erra Fazira dan Hael Husaini.

Sebuah berita gembira diumumkan olehnya pada penghujung konsert: Ziana Zain bakal membuat persembahan di Singapura September ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites