Estranged kembali ke Semenanjung Malaysia setelah tujuh tahun

Estranged bakal menjamu para peminat yang merindui mereka di Persada Johor 3 Feb 2024 ini.

Oleh DANIAL FUAD

Tidak menyapa peminat secara langsung, tidaklah bererti bahawa kumpulan Estranged telah hilang dari radar. Mereka hanya tidak aktif di Semenanjung Malaysia sahaja dan jangka masa tujuh tahun berlalu di mana mereka menumpukan persembahan di tempat kelahiran vokalis mereka, Rich di Sabah dan juga Sarawak.

Antara aktiviti yang mereka terlibat sekali adalah siri dokumentari Roads to Our Heritage. Kerjasama antara Estranged, Alena Murang dan juga Stonebay ini mengetengahkan warisan budaya Malaysia Timur melalui muzik. Selain daripada itu, mereka juga baru sahaja melancarkan lagu baharu dengan kerjasama kumpuan rock Iban, Masterpiece pada Mei lalu. Dapat dilihat Estranged menumpukan tenaga mereka untuk memperkenalkan muzik dari Borneo.

Rich telah mengatakan, “kami sebenarnya tak hilang serta masih aktif menyanyi di Borneo selain menerusi media sosial. Kami banyak terbabit dalam persembahan berbentuk festival serta memenuhi jemputan mana-mana pihak yang mengundang.”

Sepanjang aktif di Sabah dan Sarawak, mereka didedahkan dengan pelbagai jenis bunyi dan alat muzik tradisional. Estranged kini bakal kembali di Semenanjung Malaysia untuk mengisi dahaga peminat yang telah lama tidak melihat persembahan mereka secara langsung.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu dalam ketegori Pop Rock ini bakal mengadakan konsert yang berjudul Apa Khabar Teman? Membawa tema Hancur Aku yang diambil dari lagu hit sama menerusi album Sepenuhnya Vol. 1, konsert ini bakal berlangsung pada Feb 3 2024 di Persada Johor, Johor Bahru.

“Ada banyak perkara yang ingin kami kongsikan. Ia lebih daripada sekadar pertemuan biasa tetapi tentang nilai persahabatan yang telah terjalin di antara kami serta peminat Estranged. Menerusi konsert ini, kami mahu memperkenalkan imej atau bunyi baharu dari kami kepada semua,” ujar Rich.

Estranged merupakan penerima Dana Kandungan Digital (DKD), sebuah inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui MyCreative Ventures Sdn. Bhd. Melalui DKD inilah konsert Apa Khabar Teman? dapat direalisasikan dan apabila ditanya mengapa Johor menjadi tempat pilihan, mereka telah menjawab “mengikut kajian yang telah kami lakukan, kami mendapati peminat kami ramai berpusat di bahagian Selatan Semenanjung.”

Rich menambah, “kami sangat teruja untuk memperkenalkan alat muzik tradisional serta warisan etnik keluarga Borneo. Kami juga merancang untuk memperkenalkan juga sahabat barisan artis dari Sabah dan Sarawak.” Jadi konsert ini bukanlah sahaja untuk menggamit memori tentang lagu Estranged, ia juga menjadi sesi berkenalan dengan gaya muzik baharu yang dibawa kumpulan tersebut.

“Inilah bunyian baharu yang kami usahakan sepanjang tidak aktif termasuk sewaktu dunia dilanda pandemik. Akhirnya kami bersedia untuk memperkenalkannya kepada semua,” ujar Rich lagi.

Dengan itu, janganlah melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan Estranged dalam Apa Khabar Teman? ini yang bakal berlangsung pada Feb 3 2024 di Persada Johor. Tiket sudah mula dijual bermula dari Nov 27 lalu di laman sesawang Ticket2U.

Harga early-bird ditawarkan pada minggu pertama penjualan di mana terdapat dua jenis tiket yang disediakan. Itu Kamu berharga RM139 manakala Odoi berharga RM89. Tiket ditawarkan pada minggu pertama dan selepas itu, harga akan bertukar kepada RM149 dan RM99.

Terdapat juga penjualan tiket Meet & Greet berserta barang dagangan (merchandise) ditawarkan kepada 100 pembeli tiket sahaja dengan harga RM300.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melaui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites