Liza Hanim rangkumkan 27 tahun dalam 30 lagu di Zepp KL

Pada 4 Februari 2024, Liza Hanim menjamu peminatnya dengan 30 lagu di konsert ulung 'Liza Hanim 27 Years Journey in Concert' di Zepp KL.

Oleh DANIAL FUAD

Terjun ke dalam industri muzik seawal usia 17 tahun, Liza Hanim merupakan seorang penyanyi yang sohor ketika tahun 2000-an. Album sulungnya yang telah diterbitkan pada hujung tahun 1997 telah mendapat sentuhan oleh penggubah lagu terkemuka Malaysia, Adnan Abu Hassan. Berdiri seiring dengan gergasi 2000-an seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar, kini Liza Hanim tampil dengan konsert ulungnya setelah 27 tahun berada dalam industri ini.

Disokong oleh MyCreative Ventures di bawah program Dana Kandungan Digital, konsert Liza Hanim 27 Years Journey in Concert ini telah berjalan dengan jayanya pada 4 Februari lalu. Seramai 1,300 pengunjung telah memenuhi ruangan di Zepp Kuala Lumpur dalam memberikan sokongan kepada penyanyi ikonik ini.

Walaupun beberapa hari sebelum konsert terdapat berita bahawa kesihatan Liza sedikit merudum semenjak dua minggu sebelum tarikh konsert, orang ramai tetap dijamu dengan persembahan yang sangat gemilang! 30 buah lagu telah dinyanyikan kepada para peminat di dalam sebuah konsert berdurasi dua jam tiga puluh minit yang sangat mengagumkan, lebih-lebih lagi diketahui bahawa beliau terpaksa bergantung kepada nebulizer akibat semput sebelum tibanya hari konsert.

Amat rapat dengan para penonton, keceriaan Liza ketika membuat persembahan sangatlah menyenangkan. Sering berinteraksi dan membuat jenaka sebagai selingan di antara lagu, orang ramai yang datang dapat merasakan pengalaman yang serba istimewa dengan penyanyi idola mereka.

Boleh dikatakan majoriti yang hadir adalah peminat tegar Liza kerana ketika beliau meminta para pengunjung meneka siapakah yang akan berkongsi pentas dengannya, dengan yakin pengunjung menjerit nama Kak Long, merujuk kepada anak sulungnya Marsya Qistina. Marsya menjadi persembahan selingan ketika Liza menukar bajunya separuh jalan persembahan.

Walaupun penuh dengan keceriaan, kelembutan Liza juga terserlah di dalam konsert ini terutamanya apabila mempersembahkan lagu Tiada yang turut menyebabkan dirinya terpaksa berhenti separuh jalan dek tangisan. Beliau mendapat ilham untuk menghasilkan lagu ini ketika terkenang arwah ayahnya, Abdul Halim Abd Razak yang telah meninggal dunia pada tahun 2019.

Selain itu, terdapat juga segmen ‘tribute’ buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di mana Liza mendendangkan Jeritan Batinku dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti. Tahun lepas, beliau juga pernah terlibat dengan persembahan lagu-lagu P. Ramlee di dalam konsert P Ramlee – Signature A Minor 7 di Petaling Jaya Performing Art Center, Selangor.

Terdapat juga dua buah lagu Inggeris yang dijamu kepada pengunjung konsert pada malam itu. Selain menyanyikan lagu Inggeris pertama yang dirakamnya iaitu Best of You, Liza juga mempersembahkan lagu You Don’t Add Up yang merupakan rakaman semula lagu Biarkan dalam bahasa Inggeris.

Persembahan pada malam tersebut telah diiringi oleh Leman Band sebagai pemuzik. Ini bukanlah kali pertama Liza bekerja dengan mereka kerana sebelum ini, kugiran itu juga terlibat sebagai pemuzik bagi pertandingan nyanyian realiti Gegar Vaganza. Liza pernah dinobatkan sebagai naib juara bagi pertandingan tersebut pada tahun 2017.

Ucapan tahniah harus diucapkan kepada Liza Hanim dan orang ramai yang terlibat dalam menjayakan Liza Hanim 27 Years in Concert ini. Berbaloi kiranya para peminat tegar penyanyi ini menunggu hampir tiga dekad bagi sebuah persembahan yang sangat memuaskan! Dapat dilihat pada malam itu juga, barisan rakan-rakan artis tanah air yang turun padang dalam memberi sokongan kepada Liza seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Anuar Zain, Marsha Milan, Jaclyn Victor, Nikki Palikat, Noryn Aziz, Aisha Retno, Dina Nadzir, Haziq Hussni dan Dafi Ismail.

Gambar oleh Zetty Nurhusna

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites