Marbitter serlahkan sisi estetik kehidupan seharian di desa tercinta

Karya Marham Yusof atau Marbitter yang tular di media sosial sekitar awal tahun ini turut memaparkan detik-detik bersama ibunya, Asiah Ngah di Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Oleh NABILA AZLAN

Selepas lebih 12 tahun menetap di Kuala Lumpur untuk belajar dan bekerja, Marham Yusof akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dan memulakan perjalanan hidupnya yang baharu. Anak jati Kuala Terengganu ini sudah lama berhasrat untuk menerokai alam penciptaan kandungan atau content creation secara sepenuh masa.

Pada bulan Mac tahun lepas sewaktu kemunculan awal pandemik COVID-19, dia yang mesra disapa Mar merasakan bahawa itulah masa yang terbaik untuk dia kembali ke tanah kelahirannya. Di rumah ibunya Asiah Ngah, 75, dia merealisasikan karier impiannya. Video-video YouTube yang dia hasilkan melalui nama skrin Marbitter sedikit sebanyak menjemput para penonton dan para pengguna media sosial untuk lari sebentar dari resah pandemik, terus menyelami indahnya hari-hari di desa.

“Asalnya, saya nak balik ke kampung untuk menjaga dan menemani ibu saya. Sesampainya saya di sini, saya terfikir, kenapa tidak saya laksanakan sahaja impian saya dalam masa yang sama?” ujar Mar yang juga anak bongsu dari enam beradik. Bermulalah penerokaan content awal di kampungnya yang terletak di Batu Rakit. “Saya memang suka tonjolkan elemen budaya dalam karya saya,” katanya dalam memperkenalkan video-video santai ciptaannya. Katanya, “Ibu saya ialah antara orang menyokong idea saya dari mula. Saya dah lama menceritakan niat saya ini. Bila akhirnya pelan ini jadi nyata, dia santai sahaja katakana kepada saya, ‘Oh akhirnya (Mar) buat juga!’”

Setiap video yang dimuat naik merupakan hasil suntingan, olahan dan kreativiti Mar sendiri. Katanya, “Saya ajar diri sendiri cara-cara menyunting video dan teknik rakaman melalui sudut terbaik melalui tutorial di atas talian. Ada juga rakan-rakan penyunting yang turut membimbing saya,” namun dirinya tidaklah asing dari dunia penciptaan kandungan. Selepas tamatnya pengajian, dia diserap menjadi wartawan di Astro. Kerjayanya meliputi laporan berita mengenai hal-hal kewangan, kemudiannya dunia hiburan. Di saat Mar menempa jalan di bahagian produksi, dia mula berjinak-jinak dengan cara penulisan baharu. Berkat berada di dalam dunia penyiaran, dia dapat memerhati dengan lebih dekat apa yang dia mahukan di masa akan datang.

Kata Mar, dia bukanlah semata-mata mahu mengolah kehidupan di desa sahaja. ‘Marbitter’ padanya lebih dari itu; ianya akan secara perlahan-lahan mengupas sisi nyaman kehidupan di Malaysia melalui kaca matanya sendiri. Barangkali dalam masa terdekat, dia akan usahakan coretan peribadi di tengah bandar pula. Tetapi baginya, sebagai permulaan kandungan gaya hidup (lifestyle content) yang dicipta, lebih baik berpangkal di mana kehidupan bermula untuknya.

“Dari kecil lagi, saya sukakan kehidupan organik, dikelilingi dengan herba. Saya tahu selok-belok herba di kampung saya, apa kegunaannya – semuanya saya belajar dari ayah saya,” kata Mar. “Ibu dan arwah ayah saya kedua-duanya petani.” Terangnya, kebanyakan video yang dimuat naik merupakan hasil spontan dan santai. “Saya tak mahu rasa terlalu terbeban dengan apa yang akan saya lakukan kemudian,” ulasnya. “Kalau kandungannya terlalu terikat, nanti rasa resah tu akan keluar (dalam video).”  Memotong, bertukang, memasak caranya adalah lazim.

Mar turut menceritakan tentang penggunaan perkakas tradisional seperti dapur kayu, mesin memarut kelapa dan parang di dalam video-videonya. “Semua ni saya tak perlu belajar (semata-mata sebelum merangka video) sebab inilah kehidupan lazim saya di sini,” katanya. Sebahagian besar set yang dipaparkan seperti pinggan mangkuk dan alatan memotong memang merupakan koleksi peribadi mahupun keluarga Mar sendiri.

Mengulas elemen desa di dalam videonya, kata Mar, “Walau bagaimana sekalipun, kehidupan di kampung tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan moden. Contohnya, ada masa yang sesuai untuk kami gunakan dapur kayu; ada masanya lebih mudah menggunakan dapur gas dalam sehari-hari. Penambahan ini lebih kepada nostalgia; mengimbau kenangan merewang dan memasak di dapur kayu yang mungkin tak semua dapat rasa pada hari ini.”

Mar seorang yang mementingkan keaslian agar tiada momen janggal atau tampak dipaksa dimasukkan ke dalam videonya.

“Selalu sahaja saya dibandingkan dengan vlogger dari China, Li Ziqi yang mengetengahkan video cara hidup tradisional. Tak dapat disangkal lagi, dia adalah salah seorang YouTuber kegemaran saya,” sambungnya. Selain itu, Mar menyatakan juga bagaimana dia kagum dengan hasil kerja YouTuber, Thuy Dao (atau nama skrinnya ‘Her86m2’), gadis Vietnam yang berhijrah ke Jerman. “Cerita-ceritanya menggabungkan elemen desa dan moden yang sangat saya suka.”

Pada masa sekarang, Mar banyak menghabiskan masanya di set yang dibina sendiri di Batu Rakit, lebih kurang 100m dari rumah ibunya. Digelar studio kayu, di situ dia menjalankan kerja-kerja pra dan pasca produksi. “Studio saya ini dimuatkan dengan bilik air, dapur dan tempat tidur. Ada hutan dan sungai yang hampir di kawasan ini. Saya selang-selikan juga penggambaran saya di sini dan di rumah ibu,” katanya. “Ada bahagian yang masih dalam proses pembinaan. Kalau ada rezeki lebih, saya akan dirikan set studio di tepi pantai pula! Tak mahulah semua video kelihatan sama, kadangkala kita tukar angin juga.”

Melihat kepada reaksi penonton yang mengenalinya melalui YouTube, Instagram mahupun TikTok, tidak kira dari awal kemunculannya mahupun baru, Mar amat teruja dan bersyukur. “Terima kasih kerana sudi menonton karya saya, serta berikan saya peluang untuk berkembang melalui media sosial,” katanya. “Apalah semuanya tanpa sokongan mereka yang sudi tonton.”

Kata Mar, dia sedang mempertimbangkan cara-cara untuk merancakkan lagi jalan cerita videonya. Mungkinkah ada penambahan karakter di masa akan datang? Ikuti Mar dengan lebih dekat untuk tahu dengan lebih lanjut!

Belum pernah menonton kisah santai Mar sebelum ini? Pesannya, mulakan dari Episod 0.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites