‘Mana Aiman?’ memberi pengalaman berbeza

‘Mana Aiman?’ menyajikan sebuah pementasan berbentuk environmental, ekspedisi enam sahabat sesat di hutan tebal Gunung Berembun.

Oleh SOFIA AMANEE

Setelah hampir dua tahun Malaysia dilanda pandemik, rata-rata sektor tidak dibenarkan untuk dibuka. Perjumpaan secara fizikal serta aktiviti berkumpulan tidak dibenarkan, apatah lagi pementasan teater terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Kini, negara mencapai kadar 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi, sektor dalam negara juga telah dibuka secara berperingkat, termasuklah dengan sektor kesenian.

Ini merupakan antara berita gembira buat anak seni dan peminat seni! Kunjungan ke galeri dan pementasan teater diizinkan mengikut garis panduan dan operasi standard (SOP) membolehkan pertunjukkan seni secara pementasan live dibenarkan! Begitu juga pemain teater, mereka sudah boleh menarik lafas lega. Bara panggung harus kembali dinyalakan!

Mewakili kumpulan editorial BASKL, saya telah melawat pementasan teater Mana Aiman? sebuah gubahan interaktif anjuran SisiSeni yang berkonsepkan outdoor camping” di mana kami harus berkumpul di sebuah restaurant, WK Bungalow, Petaling Jaya. Pementasan ini menyajikan kisah benar enam sahabat yang sesat di dalam hutan semasa mengembara Gunung Berembun, Negri Sembilan.

Menariknya, pengolahan idea, skrip beserta line-up para aktor dijayakan dan dimainkan sendiri oleh enam sekawan daripada kisah tersebut iaitu Fadhli Masoot, Ozzy Nurin, Rashid Kamal, Aiman Nazirmuddin, Cech Adrea, Nawfal Zamri dan Qistina Ariff (sebagai ranger), membuatkan pementasan ini lebih bersifat sentimental dan mudah untuk dijiwai oleh para penonton!

Pementasan bermula pada jam lapan setengah malam, Mana Aiman menjamu penonton dengan lakonan semula babak-babak pada hari kejadian. Seolah-olah audiens juga adalah sebahagian daripada kumpulan mereka, para aktor melontarkan perbincangan dan perbualan untuk mendaki Gunung Berembun. Dua utas tali ribbon diberikan kepada audiens, satu diikatkan bagi menutupi mata manakala satu lagi ribbon bertindak sebagai alat penghubung diantara peserta – kami disusun untuk bersama-sama mengembara meredah hutan tebal Berembun.

Audiens dipakaikan pelitup mata ke checkpoint Big Rock.

Scene ini diolah untuk menyuntik pengalaman enam sahabat ini memasuki hutan pada ketika itu. Waktu malam ditemani hujan menyukarkan perjalanan kerana track menjadi terlampau malap tanpa sebarang pencahayaan. Dek kerana hujan, perjalanan juga terbatas kerana tanah merah mula bertukar lecak menyukarkan lagi perjalanan untuk tiba di checkpoint pertama, iaitu Big Rock. 

Seusai tiba di Big Rock, Nopal (diperankan oleh Nawfal Zamri) meminta untuk tinggal di kawasan tersebut tanpa meneruskan ekspedisi yang lebih mencabar di hadapan kerana dia mempunyai asma dan tidak sedap hati untuk menyambung perjalanan. Maka, perjalanan yang lebih extreme menuju ke puncak checkpoint bangkai kapal terbang B24 Liberator KL654 dan palang diteruskan oleh Alang (dilakonkan oleh Fadhli Masoot), Ozzy, Rashid, Chec dan Aiman.

Aiman, Alang, Rashid, Chec dan Ozzy di bangkai kapal terbang. – Gambar oleh penganjur

Sunyi, tiada interaksi diantara mereka, enam jam berlalu daripada suapan setengah roti dan seteguk air untuk melalui perjalanan yang bergunung-ganang, hanya keletihan yang mendampingi mereka. Meskipun semua hanya berdiam, sebenarnya mereka sedang saling bercanggah, saling cuba memberi semangat dalam pemikiran sendiri. Peperangan akal dan semesta mula menyerang minda mereka.

Pada babak ini, pelakon mula berinteraksi dengan penonton tentang sudut pandang (pov) atau suara kecil di dalam kepala mereka sewaktu mendaki. Ada banyak “aku” dalam “aku” (persoalan serta peperangan dalam diri). Nopal yang bersendirian di Big Rock sedang berperang dengan fikiran negatif bahawa rakan-rakanya tersesat tidak menemui jalan pulang. Chec dikejutkan dengan sekilas bayangan harimau bintang manakala Alang yang berada paling hadapan bersungguh ingin mencari checkpoint palang untuk dikhabarkan berita gembira pada rakan-rakanya akan tetapi jalan seperti tiada berpenghujung.

Selepas tiga jam perjalanan, seakan Tuhan itu mendengar dan mengetahui keadaan yang sangat melelahkan tersebut, kedengaran enjin kereta menghampiri. Pertolongan akhirnya sampai! Sebuah kenderaan Hilux mengangkut satu persatu daripada mereka dan akhir sekali mengambil Alang yang paling maju dihadapan.

Pada waktu tersebut, Alang melihat muka rakan-rakannya yang kepenatan. Dikira dan dilihat satu persatu sahabatnya, seperti ada satu ahli tidak cukup! “Mana Aiman? Mana Aiman? Mana Aiman?!” Perbalahan berlaku di antara mereka, Alang emosi memikirkan Aiman yang cedera ditinggalkan berseorangan di dalam hutan tebal tersebut.

Line-up aktor dan aktres teater Mana Aiman? – gambar oleh penganjur

Persoalan yang turut berlegar di minda saya dan pasti juga penonton lain “Mana Aiman? Siapa yang meninggalkan Aiman? Apa jadi pada Aiman?” Kejayaan para aktor untuk turut membangkitkan pertanyaan dalam diri penonton jelas menggambarkan persembahan tersebut berjaya membawa emosi dan perhatian audiens bersama.  Walau pada permulaannya saya sedikit lost dan janggal dengan cara penyampaian teater mereka yang baru bagi saya, tetapi menerusi tempoh penyampaian yang baik seperti beberapa babak atau bait skrip diulangi sangat membantu para audience yang ketinggalan untuk mengejar jalan cerita.

Interaksi sesama penonton dan interaksi penganjur-penonton dijayakan semasa tempoh tolong-menolong mendaki Gunung Berembun buatan penganjur serta aktiviti menyediakan tapak perkhemahan. Sesi pembentangan atau hujah dibentangkan oleh para aktor dalam cara bersembang untuk menyelusuri peperangan akal (pov) yang dilalui mereka seorang demi seorang menimbulkan perasaan empati dalam hati audiens kerana ia berkait dengan perasaan yang kita semua hadapi.  

Sedikit gangguan secara tidak langsung apabila bunyi lori dan kereta bersebelahan tapak pementasan agak mengganggu konsentrasi saya. Namun begitu, barisan pelakon yang ada cekap dan bijak bagi mencorak lontaran skrip yang merupakan nadi utama dalam pementasan teater secara jelas. Penyampaian yang mantap memudahkan audiens menggarap mesej serta konteks peristiwa yang terjadi. Adunan genre, persoalan dan watak pada skrip dikarangkan dengan baik, jauh sekali perasaan lesu semasa menonton pementasan ini.

Selain itu, sebelum persembahan bermula, etika pemakaian untuk bersama-sama mengikuti pendakian ini sudah dijelaskan menerusi aplikasi WhatsApp. Namun begitu, tetap juga ada segelintir audience yang mengunjungi pementasan ini berpakaian seperti ingin membeli belah atau berjalan-jalan. Walau bagaimanapun, pihak penganjur tetap menerima baik kelainan ini dan mengendalikan peserta dengan cermat sehingga penghujung rancangan mengikut Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP).

“Jauh kaki berjalan, luas mata memandang. Melihat tempat orang membikin hati senang” bait lirik yang dipetik dari lagu Mentari oleh Latt Ahmad ini saya sandarkan pada pementasan kali ini. Teater Mana Aiman membawa audiens untuk menyelusuri titik pandangan dan pendapat berbeza oleh setiap aktor. Banyak mesej dan pengajaran yang membuka mata diperolehi dan boleh diteladani semasa sesi penghujahan pengalaman pendakian mereka.

1 comment

  1. Pandaa

    10 November 2021

    Wahh menarik, semoga banyak lagi aktiviti pementasan seperti ini serta dapat memberi impak kepada generasi luar #sisiseni

Comments are closed.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites