Lukisan penjara pudu, luahan hati di sebalik jeriji besi

Oleh NIDA ZAHAR program Lensa Seni

Penjara Pudu ialah sebuah kompleks penjara yang dibina pada era Kolonial British. Mula didirikan pada1891, ia dibangunkan dengan kerahan tenaga para banduan dan siap sepenuhnya pada 1895. Beberapa dekad berlalu, operasi kompleks penjara diteruskan selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Dengan pembangunan pesat Kuala Lumpur pada tahun 80-an, kompleks penjara ini mula kelihatan janggal di tengah-tengah aktiviti kehidupan masyarakat kota. Oleh sebab itu, usaha mengindahkan Penjara Pudu mula diutarakan termasuklah cadangan untuk menaikkan seri temboknya agar lebih menarik, sesuai dengan peningkatan nilai komersil kawasan sekitar.

Hasilnya, tembok Penjara Pudu telah dilukis dengan pemandangan hutan tropika sepanjang 860 kaki. Percaya atau tidak, lukisan ini telah dicatatkan sebagai lukisan mural terpanjang di dunia oleh Guiness Book of World Records pada 1984.

Mural Penjara Pudu menghadap ke Jalan Pudu yang menarik perhatian penduduk kota – Foto: Wikimedia.org

Kisah di sebalik penghasilan mural itu sendiri adalah unik. Menurut penulis blog Harith Sidek seperti yang dilaporkan The Star, 27 Jun 2010, kerja-kerja mengindahkan tembok Penjara Pudu diilhamkan oleh bekas pegawai penjara yang juga dramatis terkenal, Abu Bakar Juah yang pada asalnya mengusulkan pembinaan taman batu. Idea penghasilan lukisan mural kemudiannya dilontarkan oleh rakan setugasnya, Mohd Rashidi Samsuddin.

Seorang penulis blog, Kwong Wah Yit Poh, menulis dia melalui Jalan Pudu setiap pagi untuk ke sekolah pada sekitar 80-an. Masih segar dalam ingatannya bagaimana dia terpesona melihat seorang lelaki mengangkut tong-tong cat di awal pagi, bersedia untuk melukis.

Menurut Kwong, tembok yang sekian lama kosong dimeriahkan dengan lukisan gergasi yang begitu menjentik minatnya. Malah, ketika kenderaan dinaiki terhenti akibat kesesakan trafik, Kwong pernah menurunkan tingkap dan menjerit meminta pelukis yang dikawal ketat pegawai penjara untuk melukis pokok dan rumput di bahagian tertentu.

Ketika artikel ini ditulis, tidak ada rujukan lengkap mengenai artis-artis yang terlibat dalam penghasilan tembok bersejarah itu. Siapakah mereka? Adakah mereka mempunyai latar seni lukis sehingga boleh menghasilkan mural sebegitu baik? Hanya beberapa nama yang dikenal pasti dan disebutkan dalam tulisan Helen Ang seperti yang dilaporkan New Straits Times, 21 April 1994, antaranya termasuklah Khong Yen Chong, Pha Tee, Cheng Tai Cheng, dan Lee Kim Seng.

Menurut laporan The Star, 27 Jun 2010, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan disiapkan. Namun, atas rasa tanggungjawab, Khong telah kembali ke penjara untuk menyiapkan lukisan berkenaan sebagai seorang rakyat yang bebas. Atas semangat itu, Khong telah dianugerahkan “The Guinness Stout Effort Award”.

Motivasi sebuah karya: Didorong tekanan atau impian kebebasan?

Dengan peralatan, bahan dan teknologi yang terhad pada era 80-an, proses pembinaan sebuah mural yang begitu panjang di sebuah institusi yang mengehadkan kebebasan penghuninya pasti bukan sesuatu yang mudah.

Apakah yang mendorong karya tersebut dihasilkan dengan baik sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa? Adakah banduan-banduan Penjara Pudu melukis atas kerahan semata-mata atau kerana takut dengan tekanan daripada pegawai penjara?

Menurut salah seorang pelukis, Pha Tee dalam satu sesi temu ramah yang diterbitkan NST, 21 April 1994, melukis pemandangan daripada bayangan imaginasinya pada tembok penjara mengingatkannya kepada hutan dan sungai ketika dia masih kecil. Ingatan ini memberikannya harapan untuk menikmati kebebasan pada satu hari nanti.

Seperti yang dilaporkan, Pha berkata, “Kami bekerja di luar dari pagi hingga ke tengah hari, tetapi pegawai penjara sentiasa memerhati, seakan memberi ingatan yang kami perlu masuk semula apabila kerja selesai.” Setelah dibebaskan, Pha telah menghasilkan beberapa mural lagi termasuklah di Flat Jalan Pandan, di pagar lorong Jalan Talalla, di sebuah hotel di Perlis dan di sebuah kilang di Terengganu.

Menurut kajian pakar psikologi dan saintis neuro, Kelly Lambert, melukis dapat melegakan depresi dan perasaan bimbang. Mungkin inilah antara dorongan yang membuatkan pelukis-pelukis penjara tegar melukis di bawah terik matahari kota selama 17 bulan untuk menyiapkan karya mereka.

Dengan keterbatasan bahan semasa penghasilan mural, pelukis-pelukis dipercayai menggunakan teknik lakaran bebas. Walaupun teknik ini sukar dan hanya berpandukan gerak hati, ia terbukti memberikan ruang untuk melakar dengan lebih ekspresif dan puas.

Lagi luahan di sebalik jeriji besi

Amri Daud sedang merenung dinding salah sebuah sel yang sempat diterokai sebelum bangunan penjara dirobohkan. Foto: Amri Daud

Kreativiti banduan Penjara Pudu tidak berakhir di situ. Menelusuri koridor-koridor kelam di sepanjang penjara sebelum ia dirobohkan pada tahun 2012, pengunjung pasti tidak akan terlepas daripada melihat lakaran-lakaran grafiti di dalam sel.

Menurut seorang penulis blog Amri Daud, dia sempat menerjah masuk ke Penjara Pudu pada 2009 untuk merasai sendiri suasana penjara yang telah ditinggalkan pada ketika itu. Dia yang berkongsi gambar-gambar yang dirakam di media sosial menyatakan, elemen yang paling menarik pada pandangannya ialah grafiti.

Amri menulis, “Aku paling tertarik melihat seni-seni pada dinding penjara. Ada yang melukis, ada yang membuat kalendar untuk menghitung hari, ada yang menulis puisi untuk meluah isi hati, dan ada juga sekadar menampal gambar-gambar modal untuk berfantasi.”

Terdapat grafiti berwarna dan dilukis dengan lakaran halus. Foto: Amri Daud

Berlainan pula dengan pengalaman seorang penyelidik, Dr. K. Azril Ismail yang telah menjadikan grafiti di dinding-dinding sel sebagai subjek penyelidikannya.

Dr K. Azril

“Saya telah ditugaskan oleh UDA Holdings pada 2002/2003 untuk mengambil gambar Penjara Pudu sebagai dokumentasi visual sebelum dirobohkan. Namun, keunikan grafiti pada dinding-dinding sel meninggalkan kesan pada diri saya dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjadikan grafiti-grafiti tersebut sebagai penyelidikan saya,” ujarnya. Koleksi gambar Dr K. Azril telah dipamerkan di Badan Warisan Malaysia pada 2019.

Antara yang menjadi tanda tanya mengenai grafiti bilik sel ialah bahan yang digunakan. Dengan ketiadaan akses kepada peralatan melukis walaupun sekadar sebatang pensel, bagaimana agaknya banduan-banduan melakar karya mereka, malah ada di antaranya dilengkapi warna.

Mengikut catatan Dr Azril, grafiti di dalam bilik sel kebanyakannya dihasilkan menggunakan pensel arang. Beliau berpendapat terdapat lakaran yang dihasilkan dengan cecair dari tubuh seperti darah dan tinja berdasarkan kesan warna. Keadaan kemasan dinding yang lembut juga memperlihatkan beberapa lakaran dibuat dengan cara gurisan.

Merenung grafiti di dalam bilik gelap lagi sempit memberikan kesan tersendiri terhadap dirinya. “Setelah beberapa ketika bekerja di dalam gelap, pandangan mata saya menjadi agak keliru sehingga adakalanya terlihat imej dan teks grafiti seakan terawang-awang. Pernah juga saya tidak menyedari telah merakam potret tertentu sedangkan saya telah menghabiskan masa beberapa ketika merenung wajah tersebut.”

Antara koleksi gambar grafiti Dr. K. Azril yang dipamerkan di Badan Warisan Malaysia. Foto: Dr K. Azril Ismail

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal akademik antarabangsa, Deviant Behavior, pelukis grafiti jalanan melukis untuk menghilangkan kebosanan dan tekanan, selain mencari pengiktirafan kepada bakat mereka. Namun bagaimana pula dengan seorang pelukis yang disekat kebebasannya dan sedang berada dalam tahanan? Apakah motivasi dan inspirasi di sebalik lakaran mereka?

Berbeza dengan mural tembok luar yang dilukis atas arahan Jabatan Penjara, grafiti bilik sel adalah hasil luahan peribadi dari hati yang paling dalam. Tidak hairanlah jika beberapa pengunjung yang sempat melawat penjara ini sebelum dirobohkan mendakwa wujudnya perasaan sayu bercampur seram apabila dikelilingi grafiti-grafiti tadi.

“Ya, saya tidak dapat nafikan, wujudnya perasaan seriau sepanjang menjalankan tugas dokumentasi. Tetapi, keunikan ‘seni’ penjara ini lebih memukau daripada terus melayan perasaan sebegitu,” ujar Dr Azril.

Penulis blog Amri Daud juga mempunyai pendapat sama. Menurut Amri, ketika di sana, dia mengambil gambar-gambar sel dengan agak tergesa-gesa kerana merasa seram yang ditambah lagi dengan keadaan yang gelap. “Sesetengah sel yang saya masuki membuatkan saya meremang. Tapi, saya tetap bersyukur kerana sempat merakam bingkisan hati para banduan apatah lagi di sebuah binaan bersejarah seperti Penjara Pudu.”

Walau apa pun tujuan lakaran tersebut dibuat, tidak dapat dinafikan setiap satu daripadanya meninggalkan kesan yang sukar diungkap. Sama ada dalam bentuk mural berwarna-warni dengan tujuan menutup kekecewaan dengan perasaan penuh harap menanti hari pembebasan, atau luahan hati jiwa yang putus asa penuh sesalan, seni Penjara Pudu akan terus kekal dalam ingatan mereka yang pernah menjadi saksi sebuah warisan yang lenyap akibat pembangunan.

Nida Zahar merupakan salah seorang peserta bagi program CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021.

Artikel ini adalah pandangan dan pendapat penulis sahaja dan tidak mewakili pihak CENDANA. CENDANA merizab hak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kegagalan, dan/atau pelanggaran hak intelektual yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh penulis artikel ini pada bila-bila masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman sesawang ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau diterbitkan semula dimana-mana platform pihak ketiga yang lain.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites