Lift the tikar! di Galeri Ilham sampai Julai!

Pameran Lift the tikar! mungkin tidak mengambil masa terlalu lama untuk anda kunjungi dari awal sehingga ke hujung pameran namun dari seni kraf tikar ini mengajak kita untuk berfikir mengenai seni, kuasa, bahasa dan bagaimana kita membentuk masyarakat.

Oleh AZUWAN AHMAD

Tingkat 3 Galeri Ilham bertempat di Lorong Binjai, Kuala Lumpur sedang mengadakan pameran Lift the tikar! bermula daripada Mac sehingga 17 Jul ini.  Pameran yang dipersembahkan sempena Borneo Heart in Kuala Lumpur dan diterbitkan bersama RogueArt ini adalah sebuah karya daripada Yee I-Lann. 

Yee I-Lann merupakan artis yang berasal daripada Kota Kinabalu, Sabah. Dia yang mendapat pendidikan dalam bidang fotografi dan sinematografi filem ini pernah membuat pameran yang berjudul At The Roof Of The Mouth di New York. BASKL pernah menemubual artis visual berbakat ini dan artikelnya boleh dibaca di sini.

Berbalik kepada pameran tikar unik yang sedang berlangsung di tengah-tengah Kuala Lumpur ini, I-Lann cuba menampilkan elemen dan motif seperti semboyan perang, topi tujuh kepala dan tikar sepanjang 50 meter. Ia adalah kolaborasi bersama penenun dari suku kaum Murut dan Dusun di Keningau, pedalaman Sabah.  Kolaborasi ini sendiri bagaikan sebuah tenunan- menyulam bahasa yang berlainan, sejarah seni, kisah, falsafah, ekonomi dan geografi, serta memandang apa yang boleh diteroka bersama dari proses ini. 

Topi lalandau adalah milik masyarakat Murut yang dikaitkan dengan hutan.

Sememangnya pameran yang bertemakan tikar tradisional ini sukar untuk diterjemahkankan atau diceritakan kerana apa yang cuba disampaikan oleh artis ini adalah bagaimana seni anyaman tikar atau objek tikar itu sendiri wujud sebagai sebuah ruang untuk berfikir mengenai seni, kekuasaan, bahasa dan bagaimana kita membentuk masyarakat. 

Penulis ingin berkongsi bahawa antara objek yang terdapat di dalam pameran ini adalah sebuah tikar besar yang berukuran 488cm x550cm dan anda dapat melihatnya bila melangkah masuk ke tempat pameran. Tikar yang diberi nama Harunan Motol ini adalah jenis bermotif tradisional kaum Bajau Sama Dilaut yang merujuk kepada anak-anak tangga untuk naik ke lepa-lepa. Lepa-lepa adalah ‘rumah apung’ yang mereka guna untuk mengembara dan tinggal di laut hampir sepanjang tahun.  Harunan Motol dengan bangganya meraikan kekayaan warisan tradisional Bajau dalam erti keindahan , kerumitan dan warna bahasa visual mereka; serta hasil seni usaha sama mereka yang kaya. 

Anda tidak akan terlepas dari melihat tenunan Harunan Motol yang besar ini.

Sebuah lagi objek pameran yang pasti menarik hati pengunjung adalah  Tikar Reben, tikar sempit gabungan corak tenunan warisan berbeza masyarakat Bajau yang dianyam sepanjang 50 meter. Ia dibuat untuk mewujudkan jambatan tenunan merentasi jarak meter antara Pulau Omadal dan kampung air di mana ramai penenun Bajau Sama Dilaut yang bekerja dengan I-Lann tinggal. Rata-rata mereka ini tidak berkerakyatan. Pastinya objek ini menjadi sebuah simbol kepada persoalan-persoalan yang lebih dalam dan memilukan mengenai hak-hak warga yang tidak mempunyai pengenalan negara yang sah meskipun memiliki identiti budaya yang sama. Pengunjung juga turut disajikan dengan sebuah video atau filem pendek mengenai tikar sepanjang 50 meter ini yang merakamkan pembentangannya dari jeti kecil Kampung Bajau Tempatan dan sebuah rumah di Kampung air. 

Anda bakal kagum melihat sendiri tikar yang pernah dibentang merentasi 2 kampung yang dipisahkan oleh air.

Tikar bagi I-Lann adalah sebuah kehidupan. Ada beratus nama untuk sebuah objek yang kebanyakan kita hanya tahu atau panggil sebagai ‘tikar’ merentasi kepulauan Nusantara ini. Setiap satunya berhubungkait dengan budaya dan warisan penduduk setempat. Jika difikiran ia sesuatu yang ajaib bagaimana objek seperti ini mengharungi masa dan tempoh penjajahan, pembangunan dan globalisasi moden. 

Barangkali melalui pameran ini kita dapat memikirkan kuasa  dan sumbangan ‘feminisme’ dalam bentuk yang paling sederhana sementelah tikar-tikar ini dianyam oleh golongan wanita  perseorangan ataupun berkumpulan. Bagaimana sebuah objek yang begitu sederhana ini menjadi tapak untuk bermesyuarat menentukan keputusan dalam komuniti juga menjadi saksi bisu kepada puluhan aktiviti dari yang tiada erti besar seperti duduk untuk berfikir melepaskan lelah sehingga ritual-ritual yang bersifat spiritual seperti berdoa. Agak menakjubkan bukan? Ini memberikan anda lebih banyak sebab untuk datang melihat pameran ini ! 

Pameran ini terbuka kepada pengunjung secara percuma. Galeri dibuka dari hari Selasa hingga Ahad, jam 11 pg hingga 6.30 ptg. Mereka tutup pada hari Isnin dan cuti umum. Info lanjut mengenai pameran-pameran yang berlangsung di Galeri Ilham boleh didapati di laman web www.ilhamgallery.com atau boleh layari laman Instagram mereka. 

Ikuti kisah-kisah lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites