Lensa Progresif Hero Gitar AZ Samad

“Pertama dan terakhir
Jauh kita berjalan
Mendukung semua kepercayaan
Pertama dan terakhir
Sekarang kita sampai
Ke puncak tiada tercapai
Keazaman pantang cair”

Oleh FAZRINA JASMIN

Mata saya tertumpu kepada klip video petikan gitar akustik yang mengiringi bait-bait puisi yang dideklamasikan penyair tersohor, Datuk A. Samad Said. Bunyi gitar yang pada awalnya kedengaran sayup-sayup sesekali terdengar tajam dan jelas, persis menyahut lontaran perasaan yang hadir menerusi pembacaan itu tadi.

“Persembahan dengan ayah bermula seawal usia lapan tahun. Muzik yang mengiringi sajak lazimnya bertujuan untuk mencermin dan menyoroti emosi agar tampak seperti bercerita,” jelas gitaris-penggubah muzik-pengajar yang dikenali dengan nama Az Samad.

25 tahun menimba ilmu dan pengalaman yang begitu meluas dalam bidang yang diceburi, Az dengan rendah hati mengakui dia bukanlah seperti sesetengah gitaris yang menyedari bahawa dia mempunyai bakat semula jadi dari awal, namun lebih menonjol sebagai seorang pemain gitar yang bercirikan “book smart” sehingga ada yang menggelarnya “guitar wizard”. Pemegang empat ijazah dari pelbagai institusi pengajian tinggi yang berprestij termasuk University of Westminster, UK, Berklee College of Music, USA dan San Jose State University, Az menjelaskan ada banyak cara untuk belajar sekiranya seseorang individu berhasrat untuk menjadi seorang gitaris yang versatil.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya cuba pick up secara street smart berdasarkan feel dan intuisi memandangkan kekurangan saya adalah di situ. Saya banyak belajar ketika menjayakan persembahan, konsert, sesi Zoom atau sekadar meluangkan masa bersantai dengan rakan-rakan seangkatan yang tidak semestinya mempunyai latar belakang formal dalam bidang muzik. Dengan cara ini, saya dapat mendalami dan membezakan pembelajaran secara akademik berbanding intuitive, by the ear kind of learning,” ujar Az ceria.

Berkongsi perkembangan terkini, Az baru sahaja menjayakan Bengkel Muzik Gitar Akustik secara dalam talian pada 1 Oktober baru-baru ini menerusi Ipoh Music Symposium 2021 anjuran PORT Ipoh. Sesi interaktif yang mendapat sambutan luar jangkaan dan berlangsung selama satu jam setengah tempoh hari secara asasnya merupakan kombinasi teori dan praktikal, selain menggunakan contoh-contoh dan material baharu bagi membolehkan peserta memahami dan mengaplikasikan teknik bermain gitar dengan betul. Sebagai persediaan, Az banyak mengkaji corak persembahan pemuzik-pemuzik handalan tempatan dan antarabangsa seperti Ramli Sarip, M. Nasir, Bob Dylan, Ani DiFranco dan lain-lain lagi. Dia menegaskan sesi yang dikendalikannya lebih tertumpu kepada perkongsian tip berkaitan perkara-perkara asas dalam bermain gitar akustik – bagaimana hendak berlatih/belajar ritma, cara memegang pick dan postur gitar, selain mengadakan sesi soal jawab bagi menangani “kecelaruan” maklumat menerusi carian dalam talian.

“Masalah umum yang sering dihadapi ialah misinformation. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan maklumat melalui Internet tetapi mungkin mereka tidak pasti sama ada maklumat yang diperolehi adalah bertepatan dengan apa yang mereka perlukan atau tidak. Saya berkongsi tip dan ilmu supaya masing-masing boleh mengenalpasti bahagian mana yang perlu diperbaiki. Kelak, apabila mereka ingin terus belajar secara sendiri, ia akan menjadi lebih bermakna.”

“Pada masa hadapan, sesiapa yang berminat atau ingin belajar untuk menguasai teknik bermain gitar akustik secara lebih mendalam, mereka boleh mengikuti kelas saya (atau juga kelas cikgu-cikgu lain), selain mendapatkan material pembelajaran secara maya, menonton siaran Facebook live – saya bersiaran lima hari seminggu dalam lebih kurang 20 minit bagi setiap sesi – atau menonton video di saluran YouTube. Ini membolehkan mereka lebih faham akan selok-belok pembelajaran gitar akustik yang sememangnya berbeza dengan gitar elektrik,” ujar Az.

Jelasnya lagi, rata-rata pelajar dan penonton yang mengikuti sesi perkongsiannya secara langsung di laman media sosial terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur – seawal 20-an hingga lewat 50-an. Selesa menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium perantara untuk mengajar, dia tidak menafikan masih ada yang berpersepsi usia menjadi penghalang untuk belajar dan menguasai teknik bermain gitar. Az walau bagaimanapun berpendapat ia berbalik kepada corak pemikiran, sikap dan ketabahan individu itu sendiri dalam menjalani proses pembelajaran. Secara relatif, golongan muda mungkin menginginkan jalan pintas untuk beraksi dalam jangka masa yang singkat dan menganggap tiga bulan sebagai tempoh pembelajaran yang agak lama berbanding dengan golongan yang lebih berusia yang ingin mengasah kemahiran dan kecekapan secara konsisten. Dalam erti kata lain, video pembelajaran gitar berdurasi lima minit mungkin memerlukan tempoh latihan intensif antara tiga hingga lima bulan sebelum seseorang itu dapat menguasai teknik bermain gitar yang betul.

“Saya menghasilkan material pembelajaran yang meliputi pelbagai jenis kategori kursus gitar bersepadu dalam Bahasa Melayu yang disusun secara sistematik, seperti ‘Langkah Gitar Girang 1, 2 & 3’, ‘Rahsia Jadi Hero Major Scales’, ‘Kelas Solo Lead Gitar Fantastik Basik’, ‘Formula Lead Gitar Bergaya’, ‘Strategi Bina Kerjaya Muzik 1 & 2’, ‘Template Buat Bio Band Terbaik’, dan banyak lagi. Mungkin ini juga boleh dianggap sebagai ‘key differentiator’ Cikgu Az Samad.”

“Selain itu, matlamat jangka panjang saya ialah menerusi penubuhan Kelab Gitar Az Samad yang bermula sejak Oktober 2020. Ia mirip kaedah langganan majalah dalam talian secara berkala/bulanan yang membolehkan pelanggan memperolehi material kursus gitar baharu, selain menyediakan platform untuk sama-sama berkongsi ilmu dan idea. Pecahan kapsul pembelajaran dikongsi menerusi pautan yang memaparkan video versi pendek dan panjang yang dihasilkan pada satu-satu masa, bergantung kepada selera dan keperluan penonton yang berbeza-beza.”

Menyentuh tentang perkongsian di laman sosial, sebagai penonton saya amat tertarik dengan konsep “tatarias” yang konsisten sewaktu menyaksikan Az mengajar bermain gitar. Terlihat ratusan rakaman video berlatar belakangkan lapisan demi lapisan buku-buku yang disusun lantas membentuk “menara-menara condong” – pemandangan yang memecah tradisi seorang pemuzik tegar yang lazimnya mempertonton koleksi instrumen yang dimiliki atau mungkin juga bertatariaskan poster-poster idola muzik yang mereka kagumi.

Dari perkongsian di Twitter ke Instagram sehingga melangkau bersiaran secara langsung menerusi Facebook, Az sememangnya sangat berdisiplin dari segi mencipta dan berkongsi maklumat yang cukup padat dan bermanfaat. Salah satu ciri “content” yang popular dan sinonim dengannya ialah Surat Muzik yang dijadikan medan baginya menulis satu email pada setiap hari untuk mereka yang melanggan.

“Secara umum, saya tidak pernah bekerja dalam sektor korporat tetapi saya cuba belajar mengadaptasi ‘best practice’ yang biasanya diamalkan melalui budaya korporat, seperti penyelenggaraan jadual kerja dan senarai semak yang tersusun mengikut keutamaan untuk menghasilkan output kerja yang konsisten seawal pagi menerusi email, sesi live yang konsisten/berkala di Facebook dan sebagainya. Saya menjadikan platform media sosial saya sebagai kerja saya. Saya “masuk kerja” untuk tweet dan seterusnya post di Instagram. Saya menggemari kaedah pemasaran menggunakan media sosial dan khusus bagi pembelajaran ini, ada saya berkongsi tip menerusi material kursus berjudul “Teknik Tweet Tepat & Cepat”,” ujar Az lagi.

Az tidak menafikan yang setiap individu boleh memasang angan-angan atau cita-cita yang besar tetapi perlu realistik dan seiring dengan tenaga dan kudrat yang ada. Apa yang penting bukan hanya sekadar berapa banyak yang mahu dicapai dalam sehari. Keutamaan yang lebih signifikan ialah usaha yang konsisten, selain menilai berapa banyak yang boleh dicapai dalam tempoh sebulan ke tiga bulan sehinggalah ke tahun-tahun berikutnya.

“Saya mencipta content seawal 2002-2003 di Facebook dan 2005 di YouTube. Fokus saya ialah longevity yang dipacu oleh semangat ingin belajar. Saya memang suka belajar dan mengajar. Hasrat saya ialah melengkapkan lagi kualiti dan pembelajaran muzik di Malaysia. Saya faham yang tidak semua orang berkesempatan belajar di luar negara. Apa yang saya ajar merupakan apa yang saya sendiri perolehi sewaktu menimba ilmu dan pengalaman di Amerika Syarikat dan Eropah.”

“Pembelajaran merupakan proses dua hala – cara saya belajar ialah mengajar apa yang orang hendak tahu atau apa yang mereka sendiri kurang faham. Saya tidak bosan mengajar benda yang sama berulang-ulang. Walaupun satu-satu sesi mengajar itu merupakan ulangan untuk kali ke 300 buat saya, boleh jadi ada orang yang baru pertama kali mendengarnya. Dari situ saya boleh menilai keberkesanan dalam mengajar sesuatu topik dan mengolah kaedah penyampaian mengikut apa yang saya rasakan sesuai.”

Menurut Az lagi, jika ingin dibandingkan usaha dan pencapaiannya dengan apa yang disumbangkan oleh tenaga-tenaga pengajar, mentor dan hero muzikalnya sewaktu dari zaman universiti lagi, dia mengakui belum boleh merasa puas. Meskipun terdapat komen-komen negatif yang dilantunkan menerusi media sosial, Az tetap kental dan positif untuk berkongsi ilmu sambil melakukan yang terbaik, selain tidak mengekang dirinya untuk perlu memuaskan hati semua pihak. Corak pemikiran seperti ini pasti meniupkan semangat dan membuahkan inspirasi agar dirinya kekal optimis untuk terus mengajar, sehingga adakalanya dia perlu mendisiplinkan diri untuk berhenti bekerja supaya tidak terlalu penat. Sambung Az lagi, “Saya sangat suka bekerja dan menikmati pekerjaan yang saya buat setiap hari. Passion saya ialah kerja saya.”

Akhir sekali, ditanya mengenai penjenamaan “Az Samad” seandainya direpresentasikan dalam bentuk muzik atau lagu, sambil tertawa kecil Az membayangkan dirinya seumpama muzik “folk” dengan jalan cerita yang panjang lebar atau “wordy” sehingga mungkin ada yang tertanya-tanya bila agaknya lagu tersebut akan habis. Sambil berseloroh, Az menambah barangkali dirinya juga seumpama muzik eksperimental yang tidaklah membosankan dan boleh jadi memiliki elemen kejutan yang tidak disangka-disangka.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites