Lembaga Pelancongan Sarawak meraikan 150 pengamal media tempatan dan serantau

'Yours Truly, Sarawak' memberi penghargaan kepada pengamal media yang tidak lelah mempromosikan Bumi Kenyalang.

Oleh DANIAL FUAD

Diperbadankan pada 12 Nov 1994, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) diasaskan dengan tiga objektif utama. Meningkatkan ketibaan pelancong ke negeri tersebut, mewujudkan kesedaran tentang kepelbagaian Sarawak dari segi produk pelancongan, sama ada serantau dan antarabangsa dan menempatkan Sarawak sebagai destinasi utama untuk pelancongan kebudayaan, alam semula jadi dan aktiviti lasak.

Para pengamal media dijemput untuk mendalami kebudayaan Sarawak

Media semestinya memainkan peranan penting dalam mencapai objektif penubuhan STB dan untuk mengucapkan terima kasih, STB telah menganjurkan makan malam yang berjudul Yours Truly, Sarawak. Seramai 150 pengamal media tempatan dan juga serantau telah hadir di acara yang diadakan di Aloft, KL Sentral pada 14 Julai tempoh hari.

Acara tersebut sarat dengan nafas Sarawak lengkap dengan persekitaran seperti berada dalam hutan yang mencerminkan kehijauan hutan Borneo. Para jemputan juga telah disapa dengan mesra sebaik ketibaan mereka; memaparkan layanan mesra orang Sarawak yang cukup diketahui masyarakat.  

Salah sebuah persembahan kebudayaan yang ada di Sarawak

Sarawak menekankan kepentingan Pelancongan Bertanggungjawab untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan planet. Jadi amatlah sesuai acara makan malam itu dibuka dengan persembahan khas lagu Hijau oleh Zamil Idris; sebuah lagu yang mempunyai mesej kelestarian yang kuat.

Sarawak sebagai destinasi impian

Ucapan pembukaan telah diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Puan Sharzede Datu Salleh Askor. “Sarawak telah diberkati dengan kepelbagaian landskap, taman negara dan tapak UNESCO seperti Taman Negara Gunong Mulu. Walau bagaimanapun, kita sentiasa berhati-hati untuk tidak merosakkan kecantikan alam semula jadi ini. Ini merupakan janji dan ikrar kami terhadap Pelancongan Bertanggungjawab untuk memastikan pemeliharaan Sarawak sebagai destinasi yang indah untuk dilawati dan juga untuk didiami,” ujar Puan Sharzede.

Puan Sharzede Datu Salleh Askor ketika memberi ucapan pembukaan

Malam tersebut juga telah dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh anak asal Sarawak dan juga pemegang gelaran Miss Malaysia World 2014, Dewi Liana Seriestha. Selain daripada itu, turut hadir memeriahkan makan malam tersebut adalah Akar Seni Malaysia yang mempamerkan persembahan koreografi yang sangat menarik berkenaan kebudayaan Sarawak. Para pengunjung juga telah disajikan juga dengan petikan sape oleh Leslie anak Eli yang menjadi halwa telinga.

Dewi Liana Seriestha memberi persembahan yang sangat bersemangat

Penghargaan pengamal media

Dalam menghargai sumbangan pengamal media dalam menceritakan Sarawak, STB telah memberi kejutan kepada hadirin dengan Anugerah Yours Truly Sarawak. Anugerah ini telah diberi kepada cerita dan liputan terbaik tentang negeri ini bagi media penyiaran, cetakan dan atas talian semenjak Januari lalu. Dalam media penyiaran, KompasTV telah menerima anugerah tersebut dengan karya Aksi Nyata Bantu Merawat Bumi di RWMF 2023 Sarawak. Manakala Journeying into the Melanau Kitchen oleh Intan Maizura Ahmad Kamal dari New Straits Time telah menerima anugerah bagi media cetakan. Untuk media atas talian pula, Farid Wahab daripada Leisurely Leisure telah menerima anugerah tersebut dengan kisah Kuching: A Peek Into Sarawak’s Heritage.

Akar Seni Malaysia yang turut membuat persembahan pada malam tersebut

Para pengamal media yang dijemput juga telah diundang untuk menulis tulisan ringkas bagi pertandingan Yours Truly, Sarawak dengan meluahkan apa yang mereka rasa boleh membuatkan Sarawak menjadi destinasi impian. Farrah Naz Karim dari New Straits Times, David Bowden dari Travel Write Sdn Bhd, Niezam Abdullah dari mStar, Zaiful Ariffin dari Astro Awani dan Shazmin Shamsuddin dari The Vibes telah berjaya merangkul kemenangan bagi pertandingan ini.

Makan malam bagi pengamal media oleh STB ini telah mempamerkan tradisi yang telah berakar umbi, memantapkan reputasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang unik dan sukar dilupakan.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites