Lawatan ke Kompleks Nasyrul Quran, pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia

Sempena Hari Nuzul Al-Quran, BASKL ingin berkongsi sekilas lawatan kami ke Kompleks Nasyrul Quran yang terletak di Presint 14, Putrajaya baru-baru ini!

Oleh NABILA AZLAN

Binaan Kompleks Nasyrul Quran yang bernilai RM60 juta ini bernaung di bawah kerajaan Malaysia dengan gabungan usaha Yayasan Restu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri dan Perbadanan Putrajaya yang aktif dalam aktiviti sumbangan Al-Quran terutamanya kepada warga di negara yang minoritinya merupakan umat Islam. Beroperasi secara rasmi pada tahun 2017, pusat percetakan kitab suci yang kedua terbesar di dunia ini (selepas Kompleks King Fahd di kota Madinah, Arab Saudi) mampu mencetak sebanyak sejuta naskhah setiap tahun. 70 peratus naskhah dicetak buat kegunaan dalam negara, manakala selebihnya pula diwakafkan kepada negara-negara yang memerlukan.

Kompleks yang mesra kanak-kanak dan pengunjung kelainan upaya ini turut menyediakan galeri pameran seni bina dan hiasan dalaman bercirikan Islam, bilik mesyuarat, surau dan kafeteria untuk kegunaan umum. Pengunjung boleh mendaftarkan diri untuk mengikuti kelas-kelas keagamaan yang ada di sini, juga untuk menempah atau membeli produk-produk berkenaan Al-Quran seperti buku, poster, cenderahati dengan motif khat dan sebagainya. Apakah antara simpanan kompleks yang dipamerkan di sini?

Sebelum itu buat yang belum tahu, Hari Nuzul Al-Quran pada tanggal 17 Ramadan memperingati malam turunnya ayat Al-Quran yang pertama oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat (selama 23 tahun lamanya) sehingga ia menjadi naskhah lengkap yang kita kenali pada hari ini. Dinamakan menggunakan perkataan Nuzul yang membawa maksud turun atau berpindah, peristiwa Nuzul Al-Quran yang ini berlaku pada tahun 610 Masihi semasa baginda beribadah di Gua Hira. Lima ayat pertama dari surah Al-‘Alaq iaitu surah ke-96 dalam kitab Al-Quran merupakan potongan ayat pertama yang diterima oleh baginda melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Naskhah kitab suci Al-Quran yang lengkap dengan 114 buah surah, dimulai dengan Surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan Surah An-Nas merupakan kitab utama agama Islam yang mengandungi bukan sahaja firman (kata-kata dan janji agung) Allah, tetapi juga naratif zaman para anbiya, doa dan pengajaran penting yang tidak lapuk ditelan zaman.

Hari ini, kitab Al-Quran mengikut mushaf Malaysia datang dalam pelbagai bentuk, saiz, rupa dan warna buat kemudahan bacaan dan pembelajaran segenap usia. Contoh naskhah Al-Quran dari seluruh pelosok dunia boleh didapati di kompleks ini di bahagian Galeri Mushaf Antarabangsa, di mana pengunjung boleh meneliti perbezaan bentuk tulisan dan susun atur mushaf dari rantau dan negara yang lain.

Tahukah anda, keluaran mushaf tempatan juga ada perbezaannya dari segi seni rupa mengikut negeri? Galeri pameran di Kompleks Nasyrul Quran ada menyimpan koleksi lembaran Al-Quran yang memaparkan setiap negeri di Malaysia. Pada lawatan anda nanti, cuba anda perhatikan warna dan ikon negeri yang membentuk corak lembaran tertentu!

Sebahagian prosedur penyiapan Al-Quran yang berada di sini sebenarnya dilaksanakan di Kompleks Taman Seni Islam Antarabangsa yang terletak berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Biru. Kajian susun atur dan rekaan motif naskhah diadakan di sini sebelum dihantar ke Kompleks Nasyrul Quran.

Pengunjung yang tiba tidak boleh melepaskan peluang melihat sendiri kawasan utama pencetakan jilid-jilid Al-Quran yang berada di tingkat atas bangunan ini. Terutamanya buat kumpulan lawatan bersaiz besar (melebihi 10 orang), jurupandu disediakan untuk menerangkan proses pencetakan di sini secara ringkas yang meliputi peralatan dan langkah yang digunakan.

Di samping menghamparkan jilid Al-Quran dari negara luar dan mempamerkan proses pencetakan Al-Quran di tingkat atas kompleks, pengunjung yang ke sini juga boleh menikmati isi pameran lain yang terdapat di kawasan mushaf kitab.

Sempat juga pada lawatan kami, BASKL melihat koleksi replika pedang para sahabat yang disalurkan dari Pameran Pedang Khazanah Tamadun Islam bersempena Hari Muhammad SAW. Pedang kegunaan antaranya Abu Bakar As-Siddiq dan Uthman bin Affan dipamerkan agar pengunjung boleh meneliti corak buatannya serta mengenal serba sedikit mengenai sosok sahabat yang suatu ketika dahulu pernah memegang senjata seperti berikut.

Semoga proses pencetakan Al-Quran yang diatur secara sistematik di kompleks ini menjadi ibrah buat para pengunjung, terus menjadi inspirasi untuk membaca dan mengkaji isi kandungan kitab suci ini!

Salam Nuzul Quran diucapkan kepada semua pembaca beragama Islam ikhlas dari kumpulan editorial BASKL!

Kompleks Nasyrul Quran buka pada setiap hari kecuali hari Ahad dari jam 8pg hingga 5ptg. Untuk sebarang pertanyaan mengenai lawatan, jualan, wakaf dan sebagainya, anda boleh terus ke laman web mereka atau ikuti kompleks ini di Instagram.

Gambar oleh Danial Fuad dan Nabila Azlan

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites