Kritikan seni arca Hilal Mazlan dalam Pameran Seni Visual Jejak Artis 2021

Seramai 21 orang seniman dibawah Kapallorek Artspace bersama seniman, Issarezal Ismail menggerakkan projek Jejak Seni bagi mencari karyawan di Perak.

Oleh WAN NUR AQMAR untuk Lensa Seni

Kapallorek adalah ruang seni bebas yang dibentuk pada tahun 2014. Diasaskan oleh Fadly Sabran dan berpusat di Seri Iskandar, Perak, Malaysia. Ia beroperasi sebagai organisasi yang menyediakan platform alternatif untuk Artis Media Baharu, Seni Antara Displin, Artis Eksperimen, Residensi Artis dan Penyelidikan Seni. Tujuannya adalah untuk mereka mengadakan pameran, bengkel, seni persembahan, sesi dialog, perkongsian pertukaran projek seni kolaboratif dengan pengamal seni dan ruang seni serantau atau antarabangsa.

Bagi mengukuhkan matlamat mereka, Kapallorek Artspace dengan kerjasama seniman, Issarezal Ismail telah menghasilkan sebuah direktori bagi menggerakkan projek Jejak Seni bagi para pengkarya yang berada di Sekitar Seri Iskandar, Perak.

Seramai dua puluh satu orang seniman telah terpilih melibatkan pelbagai displin seperti seni halus, fotografi, serami, fesyen, arca dan juga seni grafik. Kriteria utama dalam pemilihan seniman adalah mereka haruslah aktif dan juga mempunyai studio di sekitar Seri Iskandar.

Pameran ini telah berlangsung pada bulan September hingga Oktober tahun lalu yang disertai para pengkarya yang terlibat dalam penghasilan buku Jejak Artis Seri Iskandar. Pameran ini merupakan satu langkah yang sangat baik untuk mengetengahkan pengkarya di luar bandar. Fadly dan Issarezal juga merancang untuk mengadakan diskusi seni bersama perkarya seni dalam pelancaran buku para pengkarya setelah ditemuramah. Sempena pelancaran buku tersebut, beliau telah merancang sebuah pameran yang akan berlangsung di Kapallorek Artspace.

Industri kreatif merupakan salah satu sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi dan percambahan budaya bagi negara-negara maju. Kerajaan juga menyedari bahawa rakyat negara ini mampu menjadikan industri kreatif sebagai sumber pekerjaan dan pendapatan negara, seterusnya mencapai sasaran ekonomi negara berpendapatan tinggi. Sudah menjadi kebiasaan untuk ekosistem seni tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Namun begitu, ini tidak bermakna seni itu tidak hidup di luar kawasan bandar. Malahan, terdapat ramai seniman yang lebih memilih untuk hidup jauh dari bandar demi mencari ketenangan seperti Raja Shahriman yang telah hampir dua dekad bermastautin di kampung halamannya di Perak.

Walaupun ekosistem seni di luar bandar cukup meriah, dokumentasi berkenaan seniman-seniman yang bekerja di luar bandar sangat terhad. Harapan besar diletakkan pada Jejak Artis agar projek ini dapat memberi semangat untuk pengkarya seni di luar kawasan bandar untuk menjalankan Jejak Seni di kawasan mereka sendiri.

Instagram Kapallorek, Metal Blossom, Arca Kinetik Jejak Artis Seri Iskandar. By Hilal Mazlan 2020.

Dalam pameran ini, penulis tertarik dengan salah satu karya oleh Hilal Mazlan, seorang anak melayu yang dilahirkan pada tahun 1987. Dia mendapat pendidikan awal dalam bidang seni di Universiti Tekonolgi Mara, Seri Iskandar, Perak. Kini dia adalah seorang pensyarah di institusi tersebut dan mengajar dalam bidang yang sama. Penglibatannya dalam seni arca masih baharu, dan dia gemar membuat percubaan bagi mendapat kesan yang menarik terhadap hasil karyanya.

Antaranya penggunaan dalam karyanya adalah bahan keluli, kepingan besi, dawai, kayu dan sebagainya. Bahan- bahan itu dipadatkan dan disambungkan bagi mendapatkan bentuk tertentu. Ada berbagai-bagai bentuk seni arca yang dipertontonkan kepada khalayak ramai. Antaranya arca bebas, arca gantung, arca dinding, arca bergerak dan arca pemasangan (instalasi). Di samping itu, Hilal tidak mengabaikan isi dan makna yang ingin diluahkan dalam setiap karyanya. 

Sebelum dia menceburi dunia seni arca, Hilal juga pernah juga mencuba untuk menghasilkan karya – karya realistik. Semestinya seorang artis perlu bijak mengolah idea, disamping memiliki kekuatan lain. Dia bukan sahaja pandai menghasilkan arca untuk pameran, malah pernah menghiasi ruang taman awam dan pemandangan landskap tempatan. Pengarca ini mempunyai semangat juang yang tinggi. Kesan rasa sanubarinya itu berjaya diterjemahkan melalui karya-karyanya. Di samping itu, Hilal tidak mengabaikan isi dan makna yang ingin diluahkan dalam setiap karyanya.

Bagi penulis, kehadiran Hilal dalam bidang seni arca memberikan kesan baharu kepada peminat arca, mereka dapat mempelajari bahan yang digunakan dan bentuk-bentuk arca yang dihasilkan. Bentuk dalam pengertian seni ialah segala tatacara, peraturan, kaedah dan susun atur dalam penghasilan sesebuah karya.  Di samping kefahaman yang jelas terhadap elemen dan prinsip seni visual seperti garisan, warna, rupa, bentuk, jalinan dan ruang.

 Pengkarya mengkaji dan menghasilkan unsur-unsur pergerakan dan bentuk keatas karya seni arca menginspirasikan motif geometri. Penghasilan karya seni arca dengan pelbagai rupa yang ditampilkan serta sebuah karya yang boleh dilihat, disentuh dan bersudut 360 darjah.

Geometri merupakan salah satu bidang yang mana mempunyai titik, garis dan ruang serta sifat – sifat ukuran. Geometri juga merupakan salah satu pembelajaran dalam matematik yang dianggap paling sukar untuk difahami.  Penerapan geometri dalam bidang seni arca secara realistik sangat banyak digunakan oleh Hilal Mazlan.

Semasa proses menghasilkan arca, Hilal menekankan teknik penyambungan dengan menggunakan sistem tanggam. Teknik penyambungan itu amat bersesuaian dengan pendekatan konstruktif, iaitu satu aliran arca yang menekankan penggunaan elemen geometrik dalam pembentukan arca. Pengkarya seni konstruktivisme telah memperkenalkan satu bentuk seni baharu yang meneroka bentuk serta nilai-nilai estetik dalam ruang.

Teori Konstruktivisme dianggap sebagai pembelajaran yang bersifat generatif, iaitu tindakan mencipta sesuatu makna dari apa yang dipelajari. Ini juga mempengaruhi seni bina dan seni dekorasi. Perkara yang paling utama dalam menghasilkan karya seni arca ialah teknik-teknik, perancangan yang rapi serta pemilihan bahan yang bersesuaian supaya dapat mengahsilkan arca yang kukuh dan cantik.

Dalam penghasilan karya, Hilal juga dilihat menekankan ketepatan ukuran pada bahan dengan menitikberatkan konsep matematikal. Arca Bergerak ini juga dikenali sebagai arca kinetik, bahan yang digunakan adalah bahan yang ringan seperti kepingan logam, papan, dawai, kain, dan kadbod, arca kategori ini yang boleh digantung disebut sebagai arca mobail. Selain itu, dia tidak lupa mengambil kira konsep minimalisme yang menekankan penggunaan sistem perspektif dalam binaan arcanya. Kebijaksanaannya mengolah medium itu menjadikan karyanya begitu bertenaga dan bermakna. Ini berdasarkan komitmennya yang berterusan dalam bidang seni arca.

Kiasan digunakan bagi memperjelaskan mengenai proses pembelajaran, pembuatan, dan perkembangan dalam mencapai satu-satu perjuangan penghasilan karya. Untuk mendapatkan intipati dari penghayatan tersebut, ia menuntut satu pemikiran kritis dan kreatif. Pengarca ini juga aktif menghasilkan lebih seratus arca yang pelbagai saiz sejak penglibatan aktifnya di tempat pengajian lagi dan kini dia memiliki studio seni sendiri.  Arca – arca ciptaanya terdiri daripada jenis binaan tetap dan instalasi.

Selain itu, bentuk- bentuk pada karya tersebut dapat menggambarkan tentang seni warisan semula jadi dan kebudayaan Asia. Di Malaysia, Bunga Raya juga dipilih sebagai lambang kebanggaan berdasarkan kepada beberapa sifat bunga raya yang unik . Bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya telah dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara dimana merupakan salah satu strategi untuk mencapai perpaduan negara serta masyarakat yang adil dan saksama.

Setiap lengkuk pada kepingan besi mempunyai jaluran dengan mempunyai makna dan, sifatnya tersendiri. Setiap bentuk geometri atau setiap kelopak bentuk tersebut merujuk kepada kepelbagaian dalam rupa bentuk dunia Timur ( Malaysia ).

Sumber Facebook (FB) Kapallorek Artspace , Jejak Artis ,Sri Iskandar, Perak. By Hilal Mazlan.

Menurut pemahaman penulis, bentuk dalam gambar diatas yang bergerak kembang dan berkucup menggambarkan arah dan hala tuju bangsa. Pertumbuhan yang baik dan memberangsangkan dalam kebudayaan pelbagai bangsa menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kemajuan negara . Keadaan masyarakat yang berbilang kaum , budaya, agama dan nilai bangsa menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan seni. Seni arca memberi sumbangan besar dalam mewarnai kebudayaan dan peradaban bangsa.

Antara halaman dalam buku Jejak Artis.

Kewujudan dilihat serasi dan harmoni dengan persekitaran. Apa yang menarik pada arca ini ialah penceritaanya. Tiang yang dijadikan sebagai dasar atau tapak arca melambangkan dan kekukuhan. Pada asas yang kukuh dan mantap inilah budaya Asia di Malaysia terus bertumbuh dan berkembang. Penulis juga berpendapat meskipun setiap sesuatu keadaan itu mempunyai perwatakan yang berbeza dari sudut pengerakkan karya, namun perpaduan dan keutuhan tetap wujud.  Bagi penulis, Hilal boleh dianggap sebagai salah seorang pengkarya yang berani, dinamik dan prolifik dan menjadi pelapis untuk genarasi baru. Kini peminat seni telah menerima seni arca sebagai wadah penghayatan seni yang terpenting.

Pendapat penulis juga, jika seni arca dipamerkan di dalam galeri, ia tertakluk kepada beberapa kriteria.  Antaranya saiz yang kecil dan bahan yang mudah dipasang dan ditinggalkan atau sebagainya. Malah ruang dan masa seni arca dipamerkan juga perlu diambil kira. Keadaan itu juga boleh mempengaruhi masyarakat untuk menghayatinya. 

Sejarah seni arca sebenarnya mudah dihayati oleh ahli masyarakat jika dibandingkan dengan seni catan. Keadaan ini berlaku kerana seni arca boleh dihayati di luar galeri. Kedudukannya lebih bebas dan tersendiri. Masyarakat pula bebas untuk menghayati pada bila-bila masa sahaja.

Seperti juga seni catan dan seni cetakan, seni arca juga perlu diketengahkan kepada masyarakat dengan lebih lagi.  Selain hanya dipamerkan di galeri-galeri seni sahaja, kerajaan perlu menyediakan tempat-tempat awam dan rekreasi bagi menempatkan seni-seni arca. Dengan cara itu, masyarakat dapat menghayati dengan lebih dekat lagi.

Karya Hilal sering memberikan cabaran kepada peminat seni untuk menghayati karya-karyanya yang lebih mencabar. Sesuatu yang mantap dan jitu dalam karya seni akan terserlah jika penulis bijak meneroka segala aspek pengkaryaannya. Dengan adanya Projek Jejak Artis ini, para artisan terutamanya di sekitar Seri Iskandar dapat melibatkan diri dalam pameran  yang bertapak ke kawasan luar bandar.

Wan Nur Aqmar merupakan peserta PROGRAM BIMBINGAN MENTOR & PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites