Kraf tangan pelbagai negeri mewarnai Seni Tradisi Malaysia

Selami rasa bangga terhadap kesenian budaya kita, tentunya melalui kraf istimewa dari serata Malaysia.

Disusun atur oleh NABILA AZLAN, MARIA MURUGIAH; SOFIA AMANEE
Ilustrasi oleh INDERANETRA

Bersempena Hari Malaysia, penulis BASKL ingin berkongsi bersama pembaca antara kraf yang menarik dari seluruh negeri yang mungkin anda tidak tahu. Dari Terengganu ke Pulau Pinang, pastinya input ini dapat menambah pengetahuan anda.

TERENGGANU

Bekas Simpanan Tembaga: Dikatakan warisan zaman pemerintahan Funan, seni logam beralih ke negeri Terengganu selepas terjadinya penghijrahan tukang logam ke Tanah Melayu seawal 800 masihi. Pertukangan tembaga semestinya bukan mudah. Persekitaran kerja, sama seperti latihan dan minat ahli tukang, menjadi faktor utama yang menentukan kualiti kraf ini. Awalnya, penghasilan barangan tembaga seperti dulang, pasu dan tempayan di Terengganu dilakukan menggunakan acuan lilin. Kini, acuan pasir digunakan bagi menghasilkan pelbagai reka bentuk produk. Untuk mendapatkan leburan tembaga yang cantik, pentingnya penjagaan acuan, suhu dan kaedah penuangan.

Seni Pembuatan dan Permainan Wau: Selain tembaga, Terengganu juga terkenal dengan seni pembuatan wau. Bukan sekadar layang-layang cantik yang diterbangkan untuk mengisi masa lapang, wau cukup dikenali sebagai kraf masyarakat Pantai Timur, khususnya warga Kelantan dan Terengganu sebagai hiasan tradisi. Di Terengganu, wau boleh diinspirasikan oleh pelbagai jenis haiwan, misalnya burung merak, ikan pari dan kucing. Tidak kurang juga, wau yang mengikut bentuk bulan dan ada juga yang menggunakan teknik batik. Untuk menghasilkan wau, bahan-bahan yang diperlukan termasuklah kertas beras, buluh dan serbuk pewarna khas. Ada wau yang mampu mengambil kelebaran satu meter, ada juga yang sama atau lebih tinggi dari seniman kraf tersebut.

PERLIS

Wau Helang: Bukan sahaja menjadi permainan di Terengganu, Wau juga terkenal di negeri Perlis. Wau merupakan sejenis layang-layang tradisional yang sering dimainkan di Malaysia. Di samping beberapa jenis wau yang bermotifkan haiwan tadi, negeri Perlis juga terkenal dengan pembuatan wau yang dibuat berunsur haiwan seperti Wau Helang. Wau Helang biasanya dipasang dengan degung (seperti bunyi gong) atau busur (kayu seperti buluh) di bahagian atasnya. Manakala di bahagian tengah pula, wau ini sering dihias dengan gambaran seekor burung helang.

SELANGOR

Kain Telepuk: Di Selangor pula, kain telepuk berhias emas, kain yang dikhaskan untuk keluarga diraja dan bangsawan. Ianya dipakai secara meluas di Selangor semasa pemerintahan Sultan Hisamuddin Alam Shah dan masih dikekalkan seni pembuatannya hingga ke hari ini. Seni tradisional menghias kain ini melibatkan proses menelepuk motif menggunakan penerap ukiran kayu yang bergam ke atas kain tenun benang halus. Ia kemudiannya dilekapkan dengan serbuk emas. Pada zaman dahulu, sepersalinan busana penuh menggunakan Telepuk dianggap bersifat mewah dan hanya digunakan pada peristiwa istimewa seperti majlis rasmi di istana, pakaian istiadat perkahwinan dan pemberian hadiah. Kini, seni tekstil ini boleh dikenakan oleh semua lapisan masyarakat dan telah dipelbagaikan mengikut arus pemodenan menjadi tanjak, samping dan selendang.

NEGRI SEMBILAN

Bako: Jika dilihat pada rumah-rumah zaman dahulu, masyarakat kita cukup mesra dengan anyaman buluh. Dinding rumah, tikar dan tudung saji banyak diperbuat daripada buluh. Masih mengekalkan pembuatan kesenian anyaman buluh, Pakcik Anuar, seorang pesara tentera melalui hasil kraftangannya iaitu Bako. Giat dihasilkan di Jempol, Negri Sembilan, Bako ialah bakul rotan yang diperbuat daripada batang buluh. Kewujudan Bako sebenarnya berasal daripada perkataan “Bakul” yang berubah menjadi “Bako” selepas ditukar ke dalam loghat Negeri Sembilan. Kekemasan seni anyaman Bako ini sesuai digunakan sebagai hantaran bagi perkahwinan, bakul mengisi buah-buahan dan sebagai perhiasan yang kelihatan mewah.

JOHOR

Kuda Kepang: Kesenian penghasilan Kuda Kepang pula dikaitkan dengan unsur alam kayangan. Perbualan mulut ke mulut, kononya dikatakan ada Kuda Kayangan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah bertemu, mereka menari-nari keseronokkan. Ada yang berpendapat asal usul tarian ini dikaitan dengan Saidina Ali seorang kalifah dan pahlawan yang hebat berkuda, ada juga yang mengaitkan dengan Wali Songo, seorang tokoh yang cuba menyebarkan ajaran islam di Kawasan pedalaman Jawa pada abad ke-15. akibat kesukaran untuk mendekati masyarakat di sana, beliau telah menggunakan pendekatan menari sambil menunggang kuda. Oleh itu, kewujudan dari mana datangnya seni tarian Kuda Kepang tidak dapat disimpulkan. Melalui masyarakat Jawa yang merantau dan mendiami di kawasan sekitar Batu Pahat, Johor, aktiviti kesenian Kuda Kepang tersebar luas dan menjadi satu budaya persembahan yang sinonim dengan masyarakat Johor. Kesenian penghasilan Kuda Kepang ini haruslah kita kagumi kerana jalinan atau anyaman yang dihasilkan bersifat kompleks dan memerlukan penelitian yang tinggi. Kuda Kepang sering digunakan untuk persembahan budaya dan di majlis keramaian seperti kenduri dan acara kebudayaan. Selain itu, kerana nilai artistiknya yang tinggi, ia juga dipamerkan sebagai hiasan yang menarik.

KELANTAN

Patung Wayang Kulit: Kalau tadi Kelantan turut dikaitkan dengan seni kraf wau, negeri ini juga sangat terkenal dengan seni persembahan dan pembuatan wayang kulit. Asal penghasilannya tidak lain dan tidak bukan untuk digunakan semasa pementasan wayang kulit yang tidak asing lagi dengan negeri Kelantan. Seni pembuatan patung ini diajarkan kepada pereka yang digelar dalang, yang bertanggungjawab melakar dan menghasilkan patung mengikut kreativiti dan keperluan jalan cerita masing-masing. Patung-patung ini kemudiannya dipancarkan cahaya dan ditayangkan melalui kelir (layar putih). Antara bahan yang digunakan bagi membuat patung wayang kulit ialah kulit lembu yang dikeringkan, lingkaran kertas, buluh, tali dan pewarna sekiranya perlu. Gerakan gemalai patung-patung ini biasanya adalah penceritaan semula mitos dan legenda tempatan.

Kraf Tembikar Mambong: Corak kehidupan tradisional penduduk Kuala Krai dibantu oleh tembikar turun-temurun Mambong, yang boleh dijadikan pelbagai alatan termasuk tempat simpanan air, medium masak dan hiasan rumah. Pengasas hasil seramik di Kampung Mambong ini, Maimunah Puteh yang mesra disapa Tok Bara, dikatakan telah mengilhamkan seni generasi ke generasi ini sejak lebih 300 tahun lalu. Motif alam semula jadi sering diguna pakai dalam seni tanah liat ini yang dihasilkan penuh menggunakan tangan.

PERAK

Tekat Benang Emas: Tekat Benang Emas, merupakan karya seni tekstil yang sering dikaitkan sebagai kegunaan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Hingga ke hari ini, seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain baldu. Kerja-kerja penghasilan tekat benang emas mencerminkan keperibadian masyarakat Melayu yang terkenal dengan perwatakan sopan santun dan penyabar kerana pembuatannya memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi bagi mendapatkan hasil yang kemas dan halus. Seni benang emas yang ekslusif ini sering digunakan semasa majlis pertunangan atau perkahwinan untuk menghiasi pelamin dan menyerikan majlis. Selain itu, antara kelengkapan yang dihiasi sulaman emas ialah cadar, kipas pengantin dan tepak sireh.

KEDAH

Anyaman Mengkuang: Pokok mengkuang tumbuh subur di kawasan air tawar, terutamanya di lopak belukar, kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Oleh itu, masyarakat traditional di Malaysia sering menggunakan bahan-bahan daripada pokok mengkuang seperti daunnya untuk menghasilkan barangan. Di negeri Kedah, seni anyaman mengkuang adalah bentuk seni yang cukup terkenal dan banyak digunakan oleh pakar anyaman yang mewarisi kemahiran ini daripada nenek moyang. Teknik anyaman mengkuang digunakan untuk menghasilkan pelbagai barangan seperti tikar, bakul, topi, beg dan kipas.

PAHANG

Fabrik Tenun: Dikatakan berasal dari Riau atau Sulawesi melalui pengaruh pembesar Bugis Bernama Tuk Tuan Keraing Aji, kraf tenun merupakan seni warisan yang sering berlegar di minda jika bercerita tentang negeri Pahang. Pada mulanya, kain tenun yang dijadikan kain sampin, selendang dan sarung tidak asing dengan kegunaan golongan diraja. Melalui upacara rasmi dan keramaian, kain ini mula dikenali seluruh pelosok Malaysia dan luar negara. Kraf yang menggunakan benang sutera atau benang kapas ini selalunya bermotif petak dan jalur tegak mahupun melintang.

Tikar Mengkuang: Pokok mengkuang merupakan tumbuhan yang tumbuh meliar di kawasan lembap dan berpaya. Mengkuang, atau nama saintifiknya Pandanus atrocarpus mempunyai daun tirus yang berduri dan memerlukan kepakaran memilih sebelum ia dijadikan bahan anyaman. Bagi penghasilan tradisional tikar ini, penganyam akan melalui enam proses sebelum anyaman iaitu memilih, melayur (letakkan di bara api supaya daun lembut dan tahan lama), menjangka (pembuangan duri), merendam (untuk melunturkan warna asal daun), menjemur dan melurut (mengelakkan daun dari bergulung sebelum anyaman). Tanpa pemilihan yang teliti, daun mungkin layu dan mudah patah, serta mampu merosakkan proses menjangka dan melurut. Semestinya bukan mudah untuk menghasilkan tikar ini mengikut cara tradisional.

SABAH

Kraf tangan Manik: Pastinya terdapat pelbagai kraf di negeri di bawah bayu ini. Tetapi kali ini kami ingin kongsikan Kraf tangan manik di mana ia merupakan salah satu kesenian yang unik dan menarik di negeri Sabah. Masyarakat Rungus yang terkenal dalam seni manik menggunakannya dalam pembuatan pakaian, barang kemas dan adat istiadat sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Manik yang digunakan boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan warna. Biasanya, motif dan corak yang dihasilkan menggambarkan kehidupan dan persekitaran masyarakat tersebut. Sebagai contoh, kebanyakkan corak yang dihasilkan berfokuskan alam sekitar seperti haiwan dan bunga.

SARAWAK

Seni Tenunan Pua kumbu: Tekstil pua kumbu yang merupakan tekstil utama masyarakat Iban adalah antara ikon budaya yang terpenting di Sarawak. Pua kumbu memainkan pelbagai peranan dalam aktiviti harian masyarakat Iban, terutamanya dalam upacara. Kain pua kumbu digunakan bagi upacara perkhawinan, pengebumian, kelahiran, perubatan dan penanaman. Pelbagai corak yang dihasilkan ke atas tenunan kain pua kumbu, terutamanya flora dan fauna seperti burung, ular, rusa, bunga dan buah-buahan.

MELAKA

Kasut Manik Nyonya: Seni jahitan manik kaum Baba Nyonya merupakan seni halus yang turut dikaitkan dengan Pulau Pinang. Kasut manik nyonya Pulau Pinang adalah berbeza dengan buatan di Melaka yang dapat dibezakan mengikut corak manik dan kehalusan kerja tangan. Di Melaka, penghasilan kasut ini banyak mengetengahkan motif flora dan fauna seiring motif abstrak dan geometri. Antaranya, motif bunga teluki (carnation), mawar (rose), naga dan burung cenderawasih (bird of paradise). Tempoh siap kasut ini boleh berubah-ubah dari lapan hari ke satu bulan lebih bergantung kepada kehalusan corak yang dimahukan pelanggan.

Bakul Anyaman Rotan: Nilai estetika seni rotan keluaran negeri Melaka tidak lapuk dek zaman. Seperti kraf tangan yang lain, latihan intensif diperlukan untuk menghasilkan bakul-bakul cantik hasil tangan yang diwarisi seninya sejak turun-temurun. Menurut pewaris anyaman rotan yang juga anak kelahiran Bukit Piatu iaitu Ishak Kassim, teknik ‘coiling’ yang rumit diraikan dengan terhasilnya reka bentuk bakul yang teliti dan kemas. Silangan yang pelbagai menggunakan rotan ini mudah dibentuk dan mampu tahan lama. Sebelum datangnya rekaan moden, ada yang menjadikan kelarai (motif) unsur alam untuk menghiasi bakul buatan masing-masing.

PULAU PINANG

Kraf Sulaman: Seperti Melaka, Pulau Pinang juga terkenal dengan pembuatan pakaian Baba dan Nyonya. Hal ini kerana komuniti Peranakan telah mempengaruhi budaya di kalangan masyarakat di Pulau Pinang. Sering kali, teknik yang digunakan untuk menghasilkan pakaian nyonya seperti kebaya lebih tertumpu kepada seni kraf sulaman. Kemahiran menyulam kebiasaanya diwarisi sejak turun-temurun. Antara tempat yang terkenal dengan seni sulaman kebaya nyonya di Penang adalah Kim Kebaya yang diusahakan oleh Lim Swee Kim. Kini perusahaan sulaman ini telah diwarisi oleh generasi ketiga keluarga itu. Dahulunya pakaian yang disulam banyak digunakan oleh keluarga Diraja, namun kini persalinan ini dapat dipakai oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Bila bercakap tentang kraf di Malaysia, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu, pastinya ada tindihan bentuk karya seni dan kraf tangan tradisional. Seni ukiran, anyaman, tenunan dan logam, misalnya, dihasilkan dengan cara yang tersendiri, inspirasi adat turun-temurun dan pengaruh sejarah di negeri masing-masing. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat anda semua.

Bagi anda yang mempunyai pandangan atau tahu tentang kraft dari negeri anda, kongsikan bersama kami di ruangan comment. Buat pembaca BASKL, kenali Malaysia untuk kita pupuk perasaan sayang terhadap negara kita. Selamat Hari Malaysia buat semua!

1 comment

  1. AjsreenHazia

    16 September 2021

    Lovely illustrations and cara penyampai yang menarik! Terbaik! Cayokkk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites