KonTra: Bianglala sebuah pementasan tarian merentasi masa

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Hasil gabungan, koreografer tempatan Zhafir Muzani bersama barisan koreografer terbaik di Malaysia menampilkan sebuah pementasan tarian yang akan memukau para penonton. KonTra: Bianglala adalah gabungan daripada perkataan Kontemporari dan Tradisional manakala Bianglala pula memberi erti sebuah pelangi. 

Pengarah KonTra: Bianglala Zhafir Muzani

Pementasan yang berlangsung pada 16 hingga 19 Jun di Pentas 2, klpac ini akan mempersembahkan gabungan pelbagai bentuk tarian daripada tarian tradisional Melayu, kontemporari moden dan juga elemen digital yang sesuai dengan peredaran zaman masa kini. 

Zhafir yang juga pengarah bagi pementasan kali ini berkata, dia tidak mempunyai niat untuk melupakan, mengubah atau mencacat celakan seni tradisi oleh nenek moyang kita tetapi lebih kepada menghargai dan mengembangkan lagi idea selari dengan kreativiti anak muda pada hari ini. 

“KonTra: Bianglala merupakan siri pertama yang menumpukan tarian-tarian tradisional yang popular di kalangan masyarakat Melayu yang menjadi sumber inspirasi dan dikembangkan serta disuntik dengan nafas baharu membuktikan bahawa kesenian tradisional masih relevan dan tidak luput dek zaman,” kongsi Zhafir. 

BASKL juga telah bertanya mengenai kelainan yang dapat dinikmati oleh penonton KonTra: Bianglala berbanding pementasan tarian yang lain. Zhafir telah berkongsi bahawa untuk siri yang pertama ini, KonTra: Bianglala akan membariskan sebanyak enam koreografer tempatan dan setiap koreografer datang daripada latar belakang yang berbeza.

Antara bentuk tarian yang dipersembahkan adalah tarian yang popular daripada kalangan masyarakat Melayu seperti gerakan zapin, tari inai, gerakan silat dan sebagainya bagi menghasilkan karya kontemporari. “Setiap karya akan membawa pelbagai cerita dan mesej tersendiri yang pasti akan membawa penonton untuk bersama-sama berfikir sambil berhibur,” tambah Zhafir. 

Selain Zhafir, barisan koreografer antara barisan yang mempersembahkan hasil karya mereka dalam pementasan KonTra : Bianglala ini adalah Dayang Norinah, Izzie Islam, Kerol Mohtar, Sharm Noh, Yee Teng dan Yusman Mokhtar. Kesemua mereka adalah anak tempatan dan telah merangkul pelbagai jenis anugerah daripada dalam dan luar negara. 

Kerol Mohtar akan mempersembahkan tarian yang mempunyai elemen yang berasal daripada Minangkabau manakala Sharm Noh pula akan mementaskan “Buu-Geng” iaitu gabungan diantara seni mempertahankan diri dan tarian.

Graduan ASWARA Yee Teng pula akan mempersembahkan sebuah gabungan di antara tarian Melayu, Iban dan juga elemen tarian seni mempertahankan diri daripada sebuah cerita klasik yang pasti diketahui ramai iaitu “Mulan”. 

Anak kelahiran Sabah Dayang Norinah dan Izzie Islam pula akan membawa tarian inai yang dipersembahkan hanya di dalam istana pada acara-acara istimewa. Walaupun terdapat sedikit kelainan dalam tarian yang akan dipersembahkan oleh mereka, namun keunggulannya sebagai tarian istana adalah sama. 

Bagi pengarah dan juga koreografer tersohor Zhafir Muzani yang telah memenangi lima anugerah bagi tarian Bali pula, dia akan menyajikan tarian zapin dan joget dalam karyanya “Sujud”. “Sujud” adalah sebuah tarian gabungan di antara gerakan badan, irama dan alunan suara yang merdu. 

Pementasan KonTra: Bianglala kali ini diharap dapat memberi suntikan kepada kreativiti dan nafas baharu kepada seni tradisional di Malaysia. Selain itu, ia juga dapat perbaharui semangat seni yang terpendam di dalam jiwa pengkarya-pengkarya muda di negara kita. Zhafir juga ingin membawa kepelbagaian yang ada pada kedua-dua seni tradisional dan juga seni moden dalam sebuah karya berprestij. 

Harapan Zhafir sebagai pengarah untuk siri pertama KonTra: Bianglala pula adalah agar pementasan ini mendapat sambutan hangat dan positif bukan sahaja dalam kalangan penggiat seni, tetapi juga daripada masyarakat umum. 

“Selain itu, besar harapan saya agar dapat menghasilkan siri-siri seterusnya yang dapat mensasarkan komuniti-komuniti yang lain yang terdapat di Malaysia agar kita dapat meraikan, mempelajari, memahami dan menghormati kepelbagaian kebudayaan dan kesenian melalui tarian disamping mengasah bakat penggiat seni agar terus berkembang dan melahirkan anak seni yang berfikiran kreatif dan kritis,” kata anak muda ini. 

KonTra: Bianglala adalah sebuah pementasan tarian yang disokong oleh klpac dan MyCreative Ventures dan harga tiketnya adalah RM50 sahaja. Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket, bolehlah mendapatkannya secara atas talian di pautan ini. Sempena ulang tahun klpac pada bulan ini, anda juga berpeluang untuk menebus 17% dengan memasukkan kod promo “comehome17”. Bagi senarai penuh kesemua aktiviti yang ada pada bulan ini, anda boleh layari laman web klpac atau hubungi pejabat KLPAC di talian 03-4047 9000. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites