Konsert Mega Zikir Terapi: Lebih seribu orang berzikir di Zepp KL!

Bersama Dr Fitri Haris, BASKL menyingkap ‘magis’ di sebalik konsert zikir berskala besar terbitan Niyat Studio baru-baru ini.

Oleh NABILA AZLAN

Kira-kira seminggu selepas kelangsungan Konsert Mega Zikir Terapi di Zepp Kuala Lumpur, BASKL mahu ‘lontarkan semula’ beberapa komponen menarik yang dapat disaksikan sepanjang acara.

Membawa cogan kata ‘A musical healing journey’, Konsert Mega Zikir Terapi (KMZT) merupakan gabungan buah fikiran Dr Fitri Haris, penyanyi-pensyarah-komposer merangkap pengarah acara dan Hafiz Hamidun, penyanyi-komposer-penerbit selaku pengarah susunan seni suara KMZT. Untuk pengetahuan pembaca, konsert ini disokong oleh geran Dana Kandungan Digital (DKD) oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi dan Digital selain mendapat tajaan utama Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

KMZT adalah pengumpulan kalimah harian mengingati Tuhan yang dipentaskan dalam medley berunsurkan bunyi-bunyian terapi, namun juga hadir dengan suntikan genre muzik tradisional, moden dan fusion.

Ternyata Zepp KL sebagai pentas pilihan adalah bijak, kerana bukan sahaja ia menjadikan acara ini bernas dari segi penampilan audio-visualnya, tetapi juga sebagai dorongan dan bukti untuk komposisi yang serupa pada masa yang akan datang. Dalam bahasa mudahnya, bukan pop atau rock sahaja yang mampu menggegarkan Zepp!

Sebelum ini, pendengar muzik nasyid terutamanya di Malaysia mungkin mudah untuk terbayang wajah Hafiz Hamidun setiap kali membaca ‘zikir terapi’ di media sosial (sesuai sekali kerana pada pendapat saya, dialah yang mempopularkan genre ini melalui terbitan siri album Zikir Terapi Diri sejak tahun 2011). Namun pada anggal 16 September 2023 di Zepp KL, bersama-sama Hafiz, lebih 15 artis solo dan berkumpulan lain turut membawakan siri sensasi kerohanian dalam bentuk gabungan zikir ini.

Dendangan zikir (serta lagu nasyid) lebih satu jam dengan lebih seribu orang penonton yang hadir pada edisi pertama ini dibintangi oleh nama-nama popular muzik ketuhanan tanah air seperti Mawi dan Ikhwan Fatanna. Malam itu juga, Zepp KL dapat menyaksikan ‘reunion’ kumpulan nasyid terkenal UNIC dengan gandingan Dr Fitri dan alumni kumpulan itu iaitu Bazli dan Fakhrul Radhi – mereka bertiga menghilangkan rasa rindu peminat melalui lagu hit Ainul Mardhiah yang diberikan susunan baharu.

Antara barisan suara yang terlibat dalam Konsert Mega Zikir Terapi sewaktu sidang media acara tersebut. Gambar: Instagram @fitriharisofficial/@zayan.my

Menariknya, ia turut menampilkan barisan ‘bukan-penyanyi’ seperti Ustaz Tarmizi (moderator dan hos Geng Ngaji), Ustazah Sofizah (qariah dan guru) dan Ammar Mukhlis (qari) yang masing-masing berperanan (dan semestinya berkebolehan) dalam menyampaikan alunan zikir dengan suara yang gemersik.

Pada pendapat saya, kehadiran hos, Fedtri Yahya dan pembawaan komponen sajaknya yang berfungsi sebagai penyegar (refresher) dan pembahagi (breaker) di antara alunan lagu mahupun zikir, bukan sekadar ‘pembasmi rasa mengantuk’ tetapi penambahan yang enak dalam dinamika persembahan ini.

Dalam kesempatan ini jugalah penonton dapat mendengar dan menghayati pada pertama kalinya, lagu rock hit kumpulan Laksamana iaitu Gugurnya Bunga Cinta diberikan ‘nafas ketuhanan’ dengan lirik yang memuja bukan sang kekasih, tapi sang Pencipta! Penyanyi asal hit tersebut iaitu Nizam Laksamana mendendangkan ‘alter’ lagu tersebut (yang dinamakan Gugurkan Dosa Hamba) dengan penuh ‘jiwa’ – elemen rock asal masih dikekalkan, disedapkan lagi dengan nyanyian latar kumpulan Sang Meraki (yang turut membuka konsert ini dengan nyanyian tasbih, serta mengiringi artis-artis lain yang beraksi di pentas Zepp).

Sejurus tamat konsert tersebut, saya sempat menemu bual Dr Fitri dalam mengenal gubahan Konsert Mega Zikir Terapi (KMZT) dengan lebih dekat.

Dr Fitri Haris. Gambar: Instagram @fitriharisofficial/@stavilion

Cabaran utama

“Mestilah pembahagian zikir – kita nak tengok ‘bunga-bunga’ suara yang sesuai dengan zikir-zikir tertentu. Dengan penglibatan artis-artis mainstream seperti Mawi, Nizam Laksamana dan Zehra Zambri, difikirkan tempat yang bersesuaian untuk kami letakkan [suara] mereka supaya penyampaiannya terbaik. [Dari situlah] datangnya melodi-melodi tertentu seperti [elemen dan genre] rock, Sunda, jazz, balada dan suntingan [kata-kata] Fedtri Yahya.”

Konsep dan kemajuan acara

“Pada awalnya, konsert ini hanyalah angan-angan. Kandungan zikir ini dah tersedia dalam [kehidupan seharian] masyarakat – tidurkan anak, naik kereta, boleh berzikir. Saya terfikir, kenapa kita tak angkat zikir yang nilainya marhaen ini, kepada sesuatu di peringkat yang lebih tinggi? Dengan KMZT, kita adunkan pelbagai jenis emosi melalui pelbagai jenis zikir. Bagaimana kita boleh jadikan ia alunan yang tak membosankan? Ramai mengaku, mereka dengar konsert zikir, mereka takut ia jadi sesuatu yang sebegitu. Melalui konsert ini, kita berjaya buktikan kepada semua bahawa zikir ini boleh dicantikkan dari sudut pandangan muzik.

Gambar: Instagram @fitriharisofficial

Konsert ini bukan sahaja [dihadiri oleh] penonton Muslim. Kami mahu buktikan kepada semua di luar sana bahawa persembahan sebegini kalau diselitkan sedikit [pengisian] dari sudut pandang muzik dan terapi, ia mampu menarik [segenap lapisan masyarakat]; bukan juga ekslusif kepada para ustaz atau ustazah sahaja. Semua pun boleh berzikir!”

Jujurnya, konsert ini diselaraskan dalam masa tidak sampai dua bulan. Seminggu lebih sebelum konsert ini, syukur, tiket habis dijual! Ramai yang meminta jualan tiket lagi selepas itu; walaupun kami tak dapat menunaikan permintaan itu, ini petanda yang baik. Mungkin selepas ini kami boleh bawa KMZT ke peringkat yang lebih besar.”

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites