Konsert ulung Saujana meraikan 25 tahun dalam industri muzik

Saujana kembali meraikan 25 tahun bersama peminat dengan barisan penuh setelah hampir 15 tahun tidak membuat persembahan bersama.

Oleh DANIAL FUAD

Tentu ramai yang masih ingat tentang zaman kegemilangan muzik nasyid di tanah air ini sekitar tiga dekad yang lalu. Antara nama yang sering dianggap sebagai pelopor nasyid merupakan Rabbani, Hijjaz, Brothers dan juga semestinya Raihan yang pernah membuat persembahan di Royal Albert Hall, London. Selain daripada itu, orang ramai semestinya tidak dapat melupakan bait lirik ‘sepohon kayu daunnya rimbun, lebat bunganya serta buahnya..’ yang telah menempa nama Saujana dalam sejarah nasyid Malaysia.

Sekumpulan teman-teman sekolah dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang telah menubuhkan kumpulan nasyid yang diberi nama Saujana pada tahun 1997. Semenjak daripada itu, mereka telah menghasilkan tujuh album studio iaitu Saujana (1997), Saujana II (1999), Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), Lima Bintang (2004), Jalan Sehala (2005), Nota Cinta (2010) dan Aku Cinta Allah (2013).

Setelah hampir 15 tahun tidak bersama, kini kumpulan Saujana telah berjaya menyatukan tujuh orang ahli mereka kembali dan untuk meraikan 25 tahun keberadaan mereka dalam industri muzik ini, Saujana kini tampil dengan konsert yang bakal berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur tidak lama lagi. “Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid membuat konsert melalui Dana Kandungan Digital (DKD), kami juga rasa terpanggil untuk buat,” ujar Ahmad Zuhaidi Abd Aziz yang merupakan anggota kumpulan itu dan juga pengarah projek bagi Saujana 25 Tahun ini. DKD merupakan sebuah inisiatif daripada MyCreative Ventures, syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan untuk memacu industri kreatif Malaysia.

“Konsert ini bakal mempunyai beberapa segmen seperti mengimbau kenangan dan segmen khas bersama Orkestra Tradisional Malaysia di mana konsert ini akan berlangsung lebih kurang dua jam,” tambah ketua kumpulan tersebut, Mohd Suffian Amrin tentang kandungan konsert tersebut. Saujana telah bekerjasama dengan Orkestra Tradisional Melayu di bawah kelolaan Yazid Zakaria di mana 13 jenis muzik telah digubah untuk konsert ini.

Beberapa anggota Saujana terpaksa meninggalkan kumpulan itu kerana tuntutan kerjaya profesional mereka. “Kita sentiasa memberi sepenuh semangat tetapi kami berharap juga para peminat yang datang berlapang dada kerana ada di antara kami telah lama tidak membuat persembahan di pentas yang sangat besar,” ujar Dr Khairul Idzwan Baharin yang merupakan salah seorang daripada anggota yang terpaksa meninggalkan kumpulan tersebut.

Selain daripada Saujana, terdapat juga beberapa artis jemputan yang bakal berkongsi pentas bersama mereka iaitu Ustaz Nazrey Johani, kumpulan Awla yang merupakan gabungan anggota Saujana dan NowSeeHeart, Andika serta Ustaz Nabil. Suffian telah mengulas, “Banyak lagu yang dicipta oleh Ustaz Nazrey telah dinyanyikan oleh kami jadi sangat sesuai, beliau merupakan salah seorang artis jemputan untuk konsert ini”.

Konsert ini dianjurkan oleh Scriptology Sdn Bhd di mana ia merupakan syarikat anggota Saujana sendiri iaitu Zuhadi dan Azalinor dan Mac Training Center yang diwakili oleh Puan Samirah Hambali merupakan kumpulan produksi. Puan Samirah Hambali merupakan orang kuat yang telah memberi sokongan kepada kumpulan ini semenjak dari penubuhan mereka di bangku sekolah.

Tambahan lagi, Saujana juga telah bekerjasama bersama Sheraton Imperial Kuala Lumpur sebagai hotel rasmi di mana para pembeli tiket konsert boleh mendapatkan bilik dengan harga menarik. Bermula dengan harga RM355 untuk satu sarapan pagi, terdapat juga kejutan bagi orang yang menempah bilik tersebut di mana Cik Shaidatul Nurfairuze, Pengarah Jualan dan Pemasaran Sheraton Imperial telah berkata, “para pengunjung yang menempah bilik dengan harga istimewa tersebut juga akan berpeluang untuk beramah mesra bersama kumpulan Saujana semasa sarapan pagi pada 5 Mac.”

Tentulah suatu pengalaman yang bakal mengamit memori lampau buat ramai orang, konsert Saujana ini bakal berlangsung pada 5 Mac 2023 bertempat di Zepp, Kuala Lumpur yang akan bermula pada jam 8:30mlm. Sebagai pembakar semangat untuk para peminat, Saujana juga telah memuat naik muzik video Sepohon Kayu 25 Tahun di mana mereka telah menghasilkan semula lagu ikonik mereka. Tiket kini boleh didapati melalui laman sesawang Ticket2U di mana harga bermula daripada RM109 sehingga RM265.

Ikuti pautan di bawah untuk kisah menarik lain yang terdapat di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites