Konsert David Foster and Friends di Malaysia tampilkan Siti Nurhaliza Ogos ini

Ogos ini, David Foster akan berkongsi pentas bersama ikon nyanyian negara ini serta empat orang penyanyi antarabangsa!

Oleh NABILA AZLAN

HITMAN: David Foster and Friends Asia Tour 2023 yang turut membintangi Datuk Seri Siti Nurhaliza akan membuka tirainya untuk satu malam sahaja, iaitu pada 7 Ogos 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Siri senandung lagu-lagu pop dan balada istimewa komposer dan produser, David Foster yang lepas membariskan penyanyi bersuara emas seperti Michael Buble, Celine Dion, Josh Groban, Andrea Bocelli dan Brian McKnight. Kali ini di ibu kota bersama Siti Nurhaliza, dia akan berkongsi pentas bersama Katharine McPhee, Michael Bolton, Loren Allred dan Peabo Bryson!

Pemilihan Siti dalam konsert kali ini datang terus daripada pasukan Foster. Pada malam persembahan konsert David Foster and Friends, Siti akan mendendangkan dua buah lagu; satu ciptaan Foster manakala satu lagi adalah lagu popular yang dibawakan dari Malaysia, digubah oleh seorang komposer tempatan. Lagu dari album manakah yang akan dipilih buat malam istimewa ini? Bak kata dia, sebelum menemui dirinya di pentas konsert, pilihan itu biarlah rahsia!

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Siti dan Foster bergabung bakat. Pada tahun 2014, mereka bersua di atas pentas Malam Gala Formula One di Litar Antarabangsa Sepang. Penyanyi itu pernah sebelum ini dijemput untuk membuat persembahan di Indonesia, namun tidak dapat memenuhi jemputan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mengagumi Foster, dia amat bersyukur, katanya lagi, “Saya rasa bertuah, dengan kebangkitan ramai artis dengan vokal yang hebat, warga kerja David Foster pilih saya untuk persembahan ini.”

Semasa sidang media konsert ini, Siti sempat menambah, “Beliau adalah seorang komposer yang sangat disegani di seluruh dunia. Sebelum saya sempat bekerja dengan beliau, saya harap satu hari nanti dapat muncul dalam persembahan bersama.”

Pengenalannya kepada sentuhan ajaib Foster tidak lain tidak bukan pengaruh komposer Adnan Abu Hassan. “Pada awal kemunculan saya dalam industri, saya duduk bersama Abang Adnan selama tempoh rakaman. Dia selalu mainkan pada masa itu DVD konsert Celine Dion yang kebanyakannya adalah lagu David Foster. Dari situ, minat saya pada penyanyi itu (bercambah) dan saya pun mula kenal David Foster,” katanya. “Lagu The Colour of My Love (nyanyian asal Celine Dion) saya rakam semula pada usia 16 tahun pada waktu itu dengan tunjuk ajar Abang Adnan.”

Buat pengetahuan penonton, tamat sahaja sesi jelajah ini di Malaysia, konsert ini akan ke Singapura pada hari esoknya (8 Ogos 2023). “Saya dipilih untuk menjadi artis jemputan siri konsertnya di Kuala Lumpur dan juga di Singapura,” kata Siti. “Peluang ini sangat berharga, ia seperti peluang keemasan yang saya tak akan sia-siakan.”

Konsert dengan konsep berhibur sambil beramal ini adalah anjuran Yayasan Prihatin Selangor (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent. Bersama Siti dalam pengumuman istimewa konsert ini adalah Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali selaku Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN.

Jualan tiket berlangsung sekarang dengan harga RM 288 – RM 988. Untuk maklumat lanjut, layari laman web My Ticket Asia.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites