Keunikan Gendang Pahang bersama Tok Mad

Gendang merupakan alat muzik tradisional masyarakat Melayu. Ia bukan sekadar dimainkan untuk halwa telinga pendengar, malah gendang dikenali sebagai alat kebesaran diraja. Begitu juga dengan Gendang Pahang, yang mempunyai keunikannya tersendiri dan masih mampu menarik masyarakat untuk mendekati seni warisan ini.

Oleh ZURAILAWATI YONG untuk Lensa Seni

Saya bersama Tokoh Gendang Pahang, Tuan Muhamad Bin Mohd Yunus yang bercerita kisah di sebalik gendang yang semakin dilupakan. Beliau mesra dipanggil Tok Mad, berusia 58 tahun dan telah mula berjinak-jinak dengan gendang sejak tahun 2005.

Anak kelahiran Temerloh, Pahang ini merupakan penerima Anugerah Seni Gendang Pahang yang disampaikan oleh Perdana Menteri, DS Ismail Sabri pada tahun lalu. Dia juga, memikul tanggung jawab sebagai pengerusi Persatuan Gendang Pahang dan penaung serta jurulatih di Orkestra Gendang Pahang.

Tok Mad bukan sahaja dikenali sebagai pemain dan pengajar gendang, malah dia juga merupakan pengkaji sejarah dan budaya Negeri Pahang. Sebelum kita bercerita lebih lanjut, kami ingin kongsikan bersama pembaca agar kita kenali gendang.

Gendang

Kepelbagaian jenis gendang.

Gendang ialah sejenis alat muzik diperbuat daripada kayu bulat panjang berongga yang direntangkan dengan kulit di hujung dan pangkalnya.

Orang yang memukul gendang pula dikenali sebagai penggendang atau tukang gendang. Bagi pemain gendang diraja, mereka dipanggil Kulup Raja.

Gendang Serama ialah istilah bagi gendang yang dipukul menggunakan kedua-dua belah tangan. Selalunya gendang jenis ini digunakan di negeri Perlis dan Kedah.

Gendang Melela pula ialah gendang yang mana sebelah gendang dipukul dengan kayu/rotan, manakala sebelah lagi dipukul menggunakan tapak tangan.

Gendang Merdangga ialah gendang yang disandang pada leher dan dipukul menggunakan kayu pada kedua-dua belah muka gendang seperti gendang India atau Bangra.

Setiap gendang mempunyai identiti mengikut budaya dan negeri masing-masing. Untuk mengenali gendang sesebuah negeri, kita perlu melihat pada ciri-ciri yang terdapat pada gendang.  Ada gendang yang digabungkan bersama gong, serunai, dan beduk atau tabuh. Gendang Pahang mempunyai tiga (3) kombinasi yang terdiri daripada gendang ibu, gendang anak dan tetawak atau gong.

Gendang Pahang dikategorikan dalam jenis Gendang Melela kerana sebelah permukaan gendang dipukul dengan kayu dan sebelah lagi dengan pukulan tangan. Beza gendang Pahang dapat kita kenali dengan melihat pada badan gendang iaitu di bahagian bawah gendang. Berbeza dengan gendang dari negeri lain, Gendang Pahang tidak mempunyai ikatan pada badan bawah gendang.

Gendang Pahang dikategorikan sebagai Gendang Melela.

Proses pembuatan gendang

Badan gendang dikenali sebagai baloh, biasanya diperbuat daripada batang pokok bangkong pokok nangka atau pokok cempedak. Setelah pokok ditebang, batang pokok akan dipotong mengikut saiz badan gendang (anggaran ketinggian dan panjang gendang ialah 20-25 inci bergantung kepada keselesaan dan ketinggian badan pemain gendang).

Pembuat gendang akan menjemur batang kayu di kawasan yang teduh sehingga ia benar-benar kering. Dalam proses ini, kita perlu elakkan penjemuran gendang di bawah sinaran matahari kerana batang kayu akan mudah merekah dan pecah.

Setelah batang kayu kering, barulah proses menebuk dilakukan untuk mengeluarkan isi batang pokok yang tidak diperlukan. Pembuat gendang tradisional menggunakan pahat dan biasanya proses ini mengambil masa agak lama bergantung kepada kemahiran pembuatnya.

Bahagian muka gendang yang dikenali sebagai belulang diperbuat daripada kulit lembu yang dilapah dan dikeringkan, manakala bahagian belakang atau bawah gendang diperbuat daripada kulit kambing.

Tali penegang yang dikenali sebagai sergeh digunakan untuk mengikat badan gendang pula, biasanya diperbuat daripada rotan sega atau rotan seri. Namun begitu, disebabkan kesukaran mendapatkan rotan pada hari ini, pembuat gendang selalunya menggunakan tali nilon untuk mengikat permukaan atas dan bawah gendang.

Tok Mad begitu asyik memalu gendang.

Pada zaman dahulu, gendang dijadikan alat muzik utama majlis keraian kerana gendang mudah dibawa dan dimainkan. Kebiasaanya gendang dimainkan untuk menghiburkan masyarakat setempat ketika mengiringi majlis perkahwinan, majlis berkhatan, majlis pertunjukan silat, upacara berubat, majlis pertabalan dan majlis rasmi tertentu yang berkaitan dengan istana.

Bunyi paluan gendang yang indah dan merdu begitu mengasyikkan. Bagi sesetengah paluan gendang, bunyi yang dihasilkan mampu menaikkan semangat pendengar misalnya gendang silat. Paluan gendang mengandungi maksud tersurat dan tersirat serta terselit elemen-elemen tertentu disebalik lagu yang dimainkan.

Antara contoh elemen bunyi-bunyian yang terdapat dalam lagu gendang silat adalah;

  • Bunyi untuk memanggil orang ramai atau mengumpul ahli
  • Bunyi pesilat mempersembahkan bunga tari atau lela sembah
  • Bunyi pesilat bertarung secara teratur
  • Bunyi pesilat bertempur hebat mengeluarkan kombinasi berbagai jenis pukulan

Selain daripada ciri-ciri gendang dan proses pembuatannya yang unik, Gendang Pahang mempunyai keistimewaan apabila mempunyai 7 buah lagu Gendang Pahang yang sangat masyur. Antaranya ialah;

  • Kuricak Gajah Maharaja Dewa Sura
  • Bujang Hilir
  • Kambing Belaga
  • Sama Deras
  • Lenggang Janda
  • Tupai Mencalat
  • Raja Berangkat

Sejarah seni tradisi Gendang Pahang mengaitkan pelbagai kisah legenda. Setiap lagu yang dihasilkan terdapat kisah disebaliknya. Orang dulu-dulu biasanya mengaitkan sesebuah kisah di dalam lagu untuk hiburan dan nasihat. Apa yang dilihat, diceritakan kembali melalui lisan, irama dan nyanyian.

Sepanjang penyelidikan Tok Mad, lagu gendang berbeza mengikut tempat dan daerah di dalam negeri Pahang. Ada juga lagu dan rentak yang sama, dipanggil dengan lagu lain di tempat yang berbeza.

Genre lagu gendang terbahagi kepada empat kategori: gendang perang, gendang silat, gendang iringan dan poyang. Terdapat 163 lagu gendang Pahang. 70 buah lagu gendang yang dapat dikesan dan selebihnya tidak dapat dikesan di daerah dan di tempat asal lagu gendang.

Antara lagu Gendang Pahang yang tidak dapat dikesan ialah;

  • Gendang Seladang Pulau Tawar
  • Gendang Pemberontak Budu
  • Gendang Naga Cini Berjuang
  • Gendang Sahur
  • Gendang Pesta Pekan
  • Gendang Bertarung
  • Gendang Gembala Pulang Petang
  • Gendang Siamang Bergayut
  • Gendang Lanun Naik Ke Darat
  • Gendang Lanun Naik Kuala

Seni mempelajari pukulan gendang menurut Tok Mad bergantung kepada kepekaan pelajar, kekuatan daya ingatan, cara dan teknik jurulatih atau guru yang mengajar serta skema lagu itu sendiri turut memainkan peranan yang penting.

Tok Mad sedang mengajar pemain gendang mendendangkan lagu “Sama Deras”.

Masalah utama yang selalu dihadapi oleh pelajar gendang ialah kesukaran menguasai sesuatu lagu. Oleh sebab pelajar mengambil masa terlalu lama untuk pandai, maka individu yang belajar mudah bosan dan jemu akhirnya menarik diri daripada terus mempelajari seni bermain gendang.

Latihan yang berpanjangan dan berterusan menjadi faktor menentukan kepandaian serta kecekapan seseorang pemain gendang. Keupayaan pemain gendang meniru rentak adalah kelebihan unik seseorang pemain gendang. Ini kerana terdapat pukulan yang terlalu sukar untuk dipelajari dan tidak dapat dikuasai oleh segelintir pemain gendang.

Kerana tidak ramai yang mampu mengusai kemahiran bermain gendang pada hari ini, proses membudayakan seni menjadi semakin sukar. Tok Mad sentiasa berharap agar seni gendang dipertahankan.

“Kita perlu berganding bahu untuk bersama-sama memartabatkan kesenian Melayu. Pelbagai pihak perlu tampil memberikan idea, peruntukan kewangan serta mengetengahkan persembahan tradisional bagi menarik minat generasi baharu mempelajari seni bermain gendang,” kata Tok Mad.

Dia juga berharap agar program-program kesenian Melayu bersama remaja dan belia diperbanyakkan. Katanya, “Ketengahkan bakat mereka serta adakan program mencari adiguru dan jurulatih berkemahiran untuk menurunkan bakat serta kemahiran yang mereka ada untuk diwariskan kepada pelapis baharu. Barulah seni warisan kita akan terus utuh tidak akan pupus di makan usia.”

Tambahnya lagi, “Percayalah bahawa kesenian dan keaslian gendang tradisional masih mampu mendapat tempat di hati pendengar.”  

Zurailawati Yong ialah peserta PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites