Kelab Guru Seni Bintulu beri peluang jana pendapatan sampingan

Selain menjadi pendidik di sekolah, guru seni juga mempunyai bakat yang luar biasa. Kelab Guru Seni Bintulu bukan sahaja platform guru-guru bertukar pandangan dan perbincangan mengenai subjek Pendidikan Seni Visual malah membantu menjana pendapatan sampingan hasil karya seni mereka.

Bakat dan ilmu yang dimiliki oleh guru yang mengajar subjek Pendidikan Seni Visual tidak seharusnya disia-siakan. Tanpa mereka sebagai pengajar dan pendorong semangat, pastinya sukar untuk menarik minat seseorang pelajar itu meminati bidang seni.

Namun bagaimanakah nasib guru-guru yang mengajar seni? Apakah mereka hanya sekadar mengajar dan terus mengajar selamanya berbekalkan imu dan penguasaan dalam bidang seni yang dimiliki oleh mereka? Adakah terdapat cara dan jalan lain dalam usaha membantu guru-guru seni ini untuk berkarya mengembangkan potensi bakat mereka?

Ternyata persoalan itu terjawab, apabila Kelab Guru Seni Bintulu di Sarawak diwujudkan sekitar tahun 2012 untuk membantu guru-guru yang mengajar subjek seni di bahagian tersebut. Selain berkongsi pandangan dan berbincang mengenai perancangan serta sukatan dalam pembelajaran subjek seni, Kelab Guru Seni Bintulu turut membantu guru-guru ini menghasilkan karya seni mereka untuk menjana pendapatan sampingan.

Dalam kalangan mereka ada yang mempunyai bakat dalam menghasilkan lukisan abstrak, potret, batik malah penghasilan cenderahati menggunakan printer 3D juga turut dihasilkan. Tidak hairanlah jika bakat yang dimiliki oleh mereka ini digunakan sebaik mungkin dengan menjadikan Kelab Guru Seni Bintulu sebagai landasan para guru ini mengembangkan bakat dan hasil karya  mereka selain daripada mengajar sebagai tugas utama.

Menurut Presiden Kelab Guru Seni Bintulu Mohd Amir Firdaus Abdullah, objektif awal penubuhan Kelab Guru Seni Bintulu ini adalah bertujuan bagi memudahkan guru-guru yang mengajar subjek seni di Bintulu untuk bertukar-tukar pandangan serta cara yang lebih mudah dan sesuai untuk mengajar anak murid mereka kerana matlamat utama adalah untuk memastikan pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sekaligus dapat melahirkan generasi muda berbakat  dalam bidang seni visual di negeri bumi kenyalang ini.

“Sebenarnya kita,  merupakan satu-satunya kelab guru seni yang terdapat di negeri Sarawak. Jadi dengan tertubuhnya kelab ini, guru-guru selain mengajar, mereka juga dapat menghasilkan pelbagai karya seni yang boleh dijadikan panduan kepada para pelajar. Oleh itu, dengan cara ini juga setiap karya yang dihasilkan itu dapat dipersembahkan kepada pelajar untuk mereka jadikan rujukan dan inspirasi menghasilkan karya yang terbaik dan menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amir Firdaus yang juga merupakan guru pendidikan seni visual di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu berkata, usaha kelab ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Beliau  bersama kira-kira lebih 20 ahli kelab telah terlibat dalam pelbagai pameran yang telah dianjurkan di daerah tersebut selain mewujudkan sudut galeri seni di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu. Sehingga kini, lebih daripada 20 hasil karya seni guru-guru ini telah terjual.

Sementara itu, guru Pendidikan Seni Visual Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu, Muhammad Arif Ismail, pula berkata Kelab Guru Seni Bintulu juga turut memberi bantuan kepada petugas barisan hadapan ketika negara masih lagi berdepan dengan penularan wabak COVID-19. Antara bantuan yang kelab ini sumbangkan adalah pelindung muka (face shield) dan menghasilkan inovasi alat pemijak cecair pembasmi kuman (step hand sanitizer) menggunakan paip Polyvinyl Chloride (PVC).

“Kita sedar dengan ancaman yang melanda negara ketika ini. Jadi dengan kepakaran yang kami (guru-guru) miliki ini, kita bantu mana yang mampu sekurang-kurang dapat meringankan kesulitan yang mereka hadapi ketika ini. Kami serahkan sumbangan ini kepada Klinik Kesihatan Bintulu, Balai Polis Daerah Bintulu dan beberapa buah sekolah di sekitar ini, ”katanya.

Jelas Cikgu Muhammad Arif lagi, pelbagai aktivti bengkel dan pertandingan telah dianjurkan kelab ini sejak penubuhannya seperti pertandingan mewarna bersama komuniti, pameran seni lukis karya guru dan pelajar di pusat membeli belah, pertandingan dan bngkel catan peringkat daerah Bintulu.

Selain itu, bagi guru Sains dari Sekolah Kidurong II, Bintulu iaitu Jariah Mohamad Dawi pula berkata walaupun subjek pendidikan seni dan visual ini diajarnya sebagai subjek elektif, namun ia banyak memberi pengalaman menarik dalam kariernya bergelar seorang guru hampir 17 tahun. Baginya, setiap hasil seni lukisan yang dipersembahkan oleh pelajarnya adalah kepuasan dalam dirinya.

Ditanya mengenai Kelab Guru Seni Bintulu, Jariah berkata walaupun beliau bukan ahli kelab terbabit tetapi beliau amat kagum dengan penubuhannya kerana ia adalah tempat yang sangat sesuai untuk guru-guru yang mengajar dalam subjek seni ini menyerlahkan bakat mereka.

“Kalau bukan kita siapa lagi akan bantu guru-guru ini, jadi dengan wujudnya kelab ini sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru ini memasarkan hasil seni mereka selain dapat  menambah pendapatan sampingan. Tidak semua orang tahu melukis, dan  menghasilkan sesebuah karya lukisan itu dengan sempurna, jadi tepat pada waktunya guru-guru Kelab Guru Seni Bintulu gilapkan  bakat yang dimiliki oleh mereka,” katanya.

1 comment

  1. Mohd Amir Firdaus Abdullah

    6 July 2021

    Terima kasih kerana sudi terbitkan artikel berkaitan dengan Kelab Guru Seni Bintulu

Comments are closed.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites