Kekuatan wanita dalam ‘Can She Do It?’ anjuran A.P. Art Gallery

22 orang seniwati mempamerkan karya pelbagai kisah sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Oleh DANIAL FUAD

Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap 8 Mac bagi mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang. Memang tidak dapat dinafikan tingginya jasa wanita tidak kira latar dan juga cakupan; terhadap keluarga, masyarakat dan juga negara. Terdapat pelbagai acara diadakan bagi menjulang jasa dan peranan wanita, misalnya Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di peringkat kerajaan.

Sambutan yang diadakan oleh golongan persendirian seperti syarikat dan juga kumpulan tertentu tidak dilupakan dan salah satu daripadanya termasuk acara yang diadakan oleh A.P. Art Gallery pada tahun ini iaitu pameran lukisan berjudul Can She Do It?

Berlangsung sepanjang bulan Mac di Sime Darby KL East Gallery, pameran ini disertai 22 orang wanita daripada pelbagai latar belakang dan julat umur, dengan yang paling muda berumur 11 tahun. Menurut pihak penerbitan pameran, tujuan utama A.P. Art Gallery mengadakan pameran ini adalah kerana mereka mahukan seni yang mempersoalkan norma dan pembebasan wanita dari stereotaip.

Pemilik A.P. Art Gallery, Nazura Rahime serta kurator bersama Nurul Fatma merupakan dua orang figura yang telah berkecimpung dalam bidang seni ini sejak sekian lama. Jadi, frasa yang dijadikan judul pameran ini sering ditanya kepada mereka selain menjadi seakan-akan pembakar semangat bagi membuktikan pada khalayak bahawa wanita juga mampu melakukan apa yang lelaki lakukan.

Ini bukanlah pameran sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran A.P. Art Gallery yang pertama kerana pada tahun lepas, mereka telah mengadakan pameran dengan judul In Her Eyes. Jika pameran tersebut lebih kepada memahami perspektif wanita, pameran pada tahun ini lebih menjurus kepada mempamerkan kemampuan barisan seniwati yang terlibat.

Pelbagai naratif ingin disampaikan oleh mereka seperti kisah tanggungjawab wanita yang wujud dalam karya Anniketyni Madian, Nini Marini, Habsah Abang Saufi dan juga Pamela Tan.

Louise Low, Soefara Jafney, Syel Ramlan dan Miriam Omar pula berkongsi kisah tentang kekuatan wanita memecah pelbagai halangan bagi mencapai kehebatan. Terdapat juga penceritaan tentang pengalaman hidup serta hubungan kewanitaan dengan pelbagai pihak seperti dalam karya Megan Wonowidjoyo, Moly, Nana Ibrahim, Nor Tijan Firdaus dan juga Renee Moi.

Penerokaan kontras tentang tanggungjawab dan stereotaip wanita dari lensa masyarakat hadir dalam karya-karya Sara Chong, Binti dan juga Mursyidah Zainal Abidin manakala Sharini Yogi, Marisa Ng dan Benazir Ihsan lebih menceritakan tentang pembebasan dalam pengkaryaan.

Jangan dilupakan bahawa wanita merupakan pusat dalam sesebuah masyarakat, jadi tentulah ada karya-karya tentang penyatuan, seperti yang wujud dalam karya Aisyah Amin, Ika Sharom dan juga Xeem Noor.

Pihak pengurusan berharap bahawa pameran ini dapat memberi inspirasi kepada para seniwati generasi hadapan untuk terus mencabar kebiasaan dan meneroka pembaharuan dalam dunia seni yang sentiasa berubah-ubah ini.

Pameran ini tidaklah terhad kepada penggantungan karya-karya sahaja kerana A.P. Art Gallery juga mengadakan beberapa program sokongan seperti bengkel cetak tetra pak, bicara seni oleh barisan seniwati terlibat serta program wacana Life Lessons Learned from the Women of Islam tempoh hari sempena bulan Ramadan.

Can She Do It? masih lagi berlangsung dan orang ramai dijemput hadir ke pameran ini untuk beberapa hari yang berbaki ini untuk menyaksikan pelbagai jenis karya seperti catan, instalasi dan juga arca. Sime Darby Property KL East Gallery dibuka dari jam 10pg hingga 5ptg dan maklumat lanjut berkenaan pameran ini boleh didapati di laman Instagram A.P. Art Gallery di sini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites