Deklamasi sajak Vivy Yusof di pembukaan pameran In Her Eyes

In Her Eyes menampilkan 17 orang seniman wanita menceritakan perihal melalui pandangan mereka di KL East & Melawati Sales Gallery sehingga Apr 4.

Oleh DANIAL FUAD

Bersempena Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac, AP Art Gallery telah menganjurkan sebuah pameran berjudul In Her Eyes oleh 17 orang wanita yang hebat dalam dunia seni visual. Bertempat di KL East & Melawati Sales Gallery, pameran ini telah dirasmikan pada Jumaat yang lalu oleh Vivy Yusof, seorang usahawan dan juga figura wanita yang berjaya. Beliau juga turut mendeklamasikan sebuah sajak karangan beliau dengan judul yang sama sebagai tanda pembuka pameran. “Saya berpeluang untuk bekerja bersama dengan ramai bakat tempatan terutamanya dalam bidang fesyen dan mereka semua telah mengubah pandangan saya apabila saya melihat melalui mata mereka,” ujar Vivy semasa ucapan perasmiannya.

Idea bagi pameran ini tercetus daripada karya Kam Woei Yann yang berjudul Gossip di mana ia merupakan koleksi simpanan pemilik AP Art Gallery, Nazura Rahime. “Lukisan pemberian Mama ini tidaklah membawa makna mendalam kepada saya sehinggalah saya kehilangan beliau. Lukisan ini membuatkan saya terkenang kembali memori bersembang, bertengkar, bergosip dan ketawa bersama Mama,” ujar Nazura.

“Kini, lukisan ini merupakan peringatan tentang perempuan memperkasakan sesama sendiri,” tambah Nazura lagi. Lebih 20 buah karya dipamerkan buat kali ini yang terdiri daripada artis tempatan, antaranya Alexdrina Chong, Amy Nazira, Anniketyni Madian, Elly Nor Suria, Habsah Abang Saufi, Ika Sharom, Izwa Ahmad, Jada Lyla Jalaini, Kam Woei Yann, Kimberley Boudville, Malina Su, Miriam Omar, Mursyidah Zainal Abidin, Nadia Nizamudin, Nana Ibrahim, Sharini Yogi dan Yoke Tan.

Dari segi pemilihan seniman, Nazura telah menyatakan, “Pencarian seniman kami tidak terhad kepada pengamal seni halus sahaja tetapi juga kepada sesiapa yang telah menerjun ke bidang ini pada usia yang lebih matang.”

“Melihat daripada luar, dunia seni ini sedikit menakutkan kerana saya tidaklah mahir dalam menafsir karya akan tetapi, apa yang penting adalah cerita di sebalik karya yang dapat menghubungkan kita semua sebagai manusia, teman dan juga wanita,” ulas Vivy. Setiap karya yang dihasilkan mempunyai cerita mereka tersendiri daripada pengalaman semasa COVID-19 melanda negara, perihal diri sendiri dan perempuan secara keseluruhannya. “Saya telah belajar banyak melalui perbincangan kami semasa merangka pameran ini dan ini merupakan apa yang seni buat kepada kita; ia menjadikan kita lebih manusia,” ulas Nazura.

Pameran ini bakal berlangsung selama satu bulan daripada Mac 3 sehingga Apr 3, 2023 bertempat di KL East & Melawati Sales Gallery, Sime Darby Property di KL East. Galeri dibuka daripada jam 10pg – 5ptg dan terdapat juga pelbagai aktiviti dianjurkan sempena pameran ini pada setiap hujung minggu. Aktiviti seperti mencanting batik, dialog berkenaan wanita dalam industri kreatif dan juga sesi perkongsian rohani oleh Mizz Nina telah dirangka dan maklumat lanjut berkenaan aktiviti boleh didapati melalui laman Instagram A.P. Art Gallery. Selain Sime Darby, pameran ini juga merupakan hasil jalinan kerjasama antara A.P. Art Gallery, Seed Lab, Sapot dan juga Qalby.

Ikuti kisah menarik yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites