Oleh DANIAL FUAD
Kecelaruan Spektrum Autisme merupakan sebuah permasalahan yang melibatkan kecelaruan dalam perkembangan seseorang. Perihal ini mempengaruhi perkembangan otak dan mereka yang mempunyai permasalahan ini sering mempunyai masalah dalam berkomunikasi, berinteraksi secara sosial dan juga pembelajaran mereka. Tiada ciri fizikal yang ketara dapat dilihat bagi penghidap autisme ini dan tiada rawatan perubatan yang wujud bagi merawat perihal ini.
Namun begitu, salah satu cara rawatan bagi individu terkesan merupakan pendekatan Analisis Tingkah Laku Gunaan (Applied Behavioural Analysis). Pendekatan ini jugalah yang digunakan oleh Noorhashimah Mohamed Noordin untuk anaknya Wan Jamila Wan Shaiful Bahri (lebih dikenali sebagai Artjamila) melalui pemupukan minat terhadap lukisan.
Tahun-tahun awal
Kini bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme (pada 2 April), Galeri Shah Alam dengan kerjasama Hab Media Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempamerkan 100 buah lakaran dan juga 30 buah catan hasil tangan Jamila semenjak usia lima tahun lagi melalui pameran A Voyage of Moments. Salah satu simptom bagi autisme merupakan kepayahan dalam komunikasi dan untuk mengatasi hal ini, Jamila telah meluahkan emosinya melalui lukisan. “Sejak dari usia empat tahun lagi, perjalanan seni saya bermula dengan melukis emosi saya dengan tujuan untuk berkomunikasi dengan orang sekeliling,” ujar Jamila.
Dapat dilihat dalam tahun-tahun awal ini, Jamila banyak mengunakan garisan-garisan mudah dan ini adalah sebuah permulaan baginya untuk memahami bagaimana untuk meluahkan perasaan menggunakan lukisan. Lakaran-lakarannya sekitar tahun 2006 hingga 2010 lebih bersifat coretan (doodle) dengan tujuan merakam kejadian sehariannya di sekolah mahupun di rumah.
Kebanyakkan lakarannya bersifat 2D di mana satu sahaja satah pandangan yang wujud dan mengunakan satu warna sahaja namun Jamila juga ada mengunakan warna dalam lakaran-lakaran tertentu. Apa yang menarik adalah pemahamannya dalam pengunaan warna di mana terdapat gabungan warna yang menarik dalam lakaran-lakarannya. Sebagai contoh, menggabungkan warna ungu untuk kolar baju manakala bahagian utama baju diwarnakan dengan warna merah di dalam lakaran Primary School Std 1 (2).
Pemantapan pemahaman
Pada tahun 2011, pemahaman Jamila terhadap penghasilan lukisan semakin mantap. Kini karyanya nampak lebih tersusun di dalam kotak untuk memudahkan pemahaman naratif kisah yang dirakamkan. Siri lakaran My Diary mencerminkan pemahaman naratif yang baik bagi Jamila kerana ia diambil daripada buku nota dan disusun kembali untuk dipamerkan.
Pengunaan teks juga semakin menonjol dalam lakaran-lakarannya dan ini telah membantu untuk dia berkomunikasi dengan baik. Contoh terbaik dapat dilihat dalam lakaran Primary School Std 4S (16) di mana terdapat catatan ‘mummy don’t scold me’ di tengahnya memaparkan bagaimana Jamila meluahkan perasannya melalui lukisan.
Jamila juga semakin mahir dalam pemahaman pengunaan latar lukisan dan menjadikan lakarannya lebih 3D. Perspektif juga semakin wujud dalam lakarannya seperti dalam Primary School Std 4S (12) di mana pelajar yang berada jauh di belakang latar dilukis sedikit kecil.
Kebanyakan karya-karya awalnya menggunakan bahantara kering seperti dakwat dan pensel warna. Akan tetapi, penggunaan warna lebih menonjol dalam karyanya bermula daripada tahun 2010 ke atas di mana dia telah mendapat sebuah tablet. “Pada usianya 8 tahun, Jamila telah diberi sebuah tablet dan apa yang mengejutkan, dia telah memuat turun aplikasi lukisan dengan sendiri tanpa sebarang pendedahan tentang proses memuat turun aplikasi di Internet,” ujar ibu dan juga pengurusnya, Noorhashimah.
Warna-warna yang ketara digunakan dalam lakaran digitalnya adalah seperti warna ungu, merah jambu dan juga kuning. Kemampuan untuk mengasingkan watak-watak dalam lakarannya melalui warna rambut juga adalah satu yang menarik. Dapat dilihat pelbagai jenis warna rambut seperti hitam, kuning, merah malahan ungu juga terdapat dalam lakarannya. Jamila juga telah memanjangkan penggunaan warnanya kedalam lakaran analognya berkenaan orang ramai yang hadir pada hari jadinya dengan siri My Birthday pada tahun 2015.
Kematangan karya
Setelah hampir 10 tahun menghasilkan lakaran dan mendapatkan pemahaman mendalam tentang penghasilan karya, Jamila akhirnya berjaya menyusup ke latar seni visual Malaysia. Karyanya dipamerkan buat julung kalinya di Art Bazaar 2017 anjuran Bank Negara Malaysia. Pada ketika ini, Jamila telah melakukan karya di atas kanvas dengan bahantara basah seperti akrilik.
Kandungan karyanya juga telah berubah daripada catatan harian kepada isu-isu semasa seperti kepupusan harimau dan wabak COVID-19 yang melanda dunia. Subjek utama yang dilukis olehnya kini lebih pelbagai di mana dia kini turut melukis binatang dan juga pemandangan berbanding hanya figura manusia sebelum ini. Namun begitu, gayanya yang mengulangi corak atau figura tertentu masih diterapkan. Kini, penggunaan warnanya lebih berani dengan pelbagai jenis warna diharmonikan di atas kanvas.
Di samping itu, Jamila juga kini bekerjasama dengan adiknya, Jemima Shaiful yang merupakan seorang pemuisi dan penulis. Jemima akan melakukan tafsiran lukisan Jamila melalui puisi dan akan diletakkan bersebelahan lukisannya seperti yang dipamerkan Malaysian Art Ecosystem Festival pada Disember 2021.
Selain daripada penghasilan karya 2D, kini Jamila juga menghasilkan karya arca 3D semenjak tahun 2019. Terdapat 9 arca yang telah berjaya beliau hasilkan di mana bahan buangan telah dikitar semula untuk menghasilkan figura binatang laut seperti sotong, ikan, tapak sulaiman dan udang galah. Arca itu kemudian akan diwarnakan oleh Jamila dan di sini kita dapat lihat perkembangan beliau dalam penghasilan corak mujarad dan penggabungan warna yang kian meriah.
Pameran A Voyage of Moments menyaksikan perkembangan seni bagi Artjamila dengan sangat menyeluruh. Melaluinya, kita dapat lihat bagaimana di awal lukisannya, tujuan melukis hanyalah sebagai pengantara dan cara meluahkan emosi, kini dia berjaya di persada seni antarabangsa. Selain daripada itu, pameran ini juga membuktikan bahawa golongan yang mengalami autisme ini, jika diasah bakatnya boleh berdiri setara dengan orang lain.
Artjamila telah dijemput untuk mengadakan pameran ini setelah dia berjaya memperoleh Anugerah Insentif semasa pameran terbuka Galeri Shah Alam pada tahun 2020. Asalnya pameran ini sepatutnya diadakan pada tahun 2021, namun pelbagai kekangan seperti Perintah Kawalan Pergerakkan telah membuatkan pameran ini ditangguh kepada tahun ini. Pameran A Voyage of Moments ini akan berjalan dari 29 Mac hingga 15 April 2022 di Hab Media Kreatif, UiTM Shah Alam; dibuka dari jam 9pg hingga 5ptg. Pameran ini telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin pada Selasa, 29 Mac yang lalu. Bagi maklumat lanjut berkenaan Artjamila dan praktis seninya, anda bolehlah lawati laman sesawangnya.