Karya catan ‘Two Standing Figures’, Latif Mohidin

Oleh WAN NUR AQMAR ZULKIFLI untuk Lensa Seni

Kefahaman terhadap sesuatu karya seni boleh menjadi satu asas untuk mengembangkan pemikiran dan kreativiti manusia. Kefahaman terhadap karya seni akan membantu sesorang individu itu untuk menjana dan mencipta perkembangan ilmu ke arah yang lebih berkesan.  Apatah lagi jika karya seni itu dapat difahami dengan lebih mendalam.

Ada juga sesetengah yang berpandangan untuk menghasilkan sebuah lukisan ataupun catan mudah sahaja, apatah lagi catan itu berbentuk abstrak. Ini kerana mereka berpendapat menghasilkan seni ini sekadar menyapukan warna atau merenjis-renjis warna di ruang kanvas. Penulis sendiri pernah mendengar kenyataan itu bahawa untuk menghasilkan sebuah karya berbentuk abstrak tidak terlalu sukar melalui proses penciptaannya. 

Namun ungkapan dan kenyataan kosong itu sebenarnya satu pandangan teori yang jauh tersasar dari kebenaran. Sebenarnya untuk menghasilkan sebuah karya seni tidak kira sama ada berbentuk realisme atau abstrak merupakan satu proses yang amat sukar.  Ini menuntut kefahaman, pemikiran , penyelidikan, proses perkembangan idea, proses lakaran dan ia amat memerlukan masa untuk mencipta sesebuah karya.

Abdul Latiff Mohidin (1941) merupakan seorang pelukis dan penyair yang tidak asing lagi di negara kita. Dia merupakan salah seorang pelukis tempatan yang terpengaruh dengan aliran seni Abstrak Ekspresionis. Dia juga seorang pelukis yang banyak menghasilkan puisi. Selain itu, antara seni lain yang menjadi pilihannya ialah karya-karya seni seperti catan dan arca yang mempunyai makna atau pengertian yang begitu mendalam dan sering mendapat perhatian masyarakat.

Pada peringkat awal Latiff terkenal dengan karya-karya siri Pago-pago dan Two Standing Figures (1968). Ini selari dengan penghasilan kumpulan sajaknya Sungai Mekong.


Latiff Mohidin, ‘PROVOKE’, 1965, cat minyak di atas papan, 90 x 120 cm. Ihsan Galeri dan Galeri Nasional Singapura.
Sungai Mekong ialah antologi puisi dwibahasa yang memaparkan karya Latiff Mohidin (1973).
Latiff Mohidin, Two Standing Figures, 1968, Oil On Canvas.

Dalam karya Latiff Mohidin bertajuk, Two Standing Figures (1968) menggambarkan imej yang abstrak. Bagi penulis, mungkin imej-imej yang digambarkan itu mewakili imej figura dua orang manusia. Walau bagaimanapun imej figura yang digambarkan itu telah dipermudahkan atau digayakan oleh Latiff Mohidin. Ia hanya mengambil bentuk-bentuk yang ringkas, terutama melibatkan rupa dan bentuk figura. Apa yang kita lihat itu ialah sekadar rupa ikon yang mewakili imej yang sebenar.

Konsep abstrak dalam pengolahan imej memberikan nilai estetika yang tinggi. Setiap garisan yang dipaparkan itu dapat memberikan tafsiran makna yang mendalam. Estetika dari segi prinsipnya mempunyai kaitan dengan pelbagai perkara khususnya yang merujuk kepada teori seperti falsafah, psikologi dan sosiologi.

Estetika dalam konteks ini bermaksud ‘sains tentang keindahan’, suatu refleksi berbentuk falsafah tentang sifat-sifat keindahan. Sebagai disiplin falsafah, estetik adalah suatu usaha untuk memahami pengalaman yang kita lalui dan konsep yang kita sering gunakan apabila memperkatakan sesuatu objek yang kita rasakan menarik pandangan penglihatan kita bukan kerana tujuan lain tetapi kerana apa yang ada pada objek itu sendiri.

Abdul Latif Mohidin yang kita kenali ini seorang individu yang peka dengan persekitarannya. Warna-warna alam semula jadi yang kaya dengan unsur-unsur mitos itu dapat diungkapkan dengan begitu baik dalam kebanyakkan karyanya. Warna-warnanya yang begitu klasik dan alami yang dicampurkannya itu dapat menimbulkan suasana damai dan menyenangkan.

Lihat saja karya Two Standing Figures dengan warna-warna coklat dan kemerah-merahan yang disapukan itu. Warna merah itu cukup mendominasi warna latar. Ia memberikan kesan psikologi kepada penghayat seni seperti emosi yang melihatnya. Warna- warna ini juga adalah hasil ekspresif dalaman diri dan perasaan pelukis sendiri.

Apabila membuat apresiasi terhadap karya catan seperti itu, penghayat seni perlu bijak membuat pengamatan terhadap rupa dan bentuk yang dilukis. Ini juga ada hubungan dengan pengalaman pelukis terhadap masyarakat dan budaya persekitarannya. Ini bersesuaian kerana menurut pandangan Abdul Latiff Mohidin sendiri yang mengatakan bahawa apa-apa yang dilukis itu adalah manifestasi seseorang pengkarya itu sendiri.

Pengkarya kemudian, mengolah kembali pengalaman itu melalui deria rasa dan sentuh mereka. Menerusi kebijaksanaan pengkaryalah dapat menyembunyikan nilai-nilai itu dalam karyanya. Penghayat seni perlu mencari dan menggali semula apa yang tersembunyi. Kadang-kadang apa yang dilukis itu tidak mencerminkan makna yang sebenarnya.

Perlu diingat bahawa lukisan atau catan ialah hasil himpunan seni yang dijelmakan kembali di atas permukaan atas kanvas yang bersifat rata dan berbentuk dua dimensi. Penjelmaan ini dibantu dengan bahan dan media popular seperti cat air, cat minyak dan akrilik. Penampilan imejan juga perlu bersesuaian dengan tema dan falsafah pelukis.

Kesempatan yang digunakan oleh Latiff untuk mengelilingi dunia dapat memperkayakan ideanya untuk menghasilkan karya-karya seni yang lebih mencabar. Latiff Mohidin amat dikenali sebagai pelukis yang gemar mengembara dan sentiasa melakukan perubahan terhadap karya seninya. Latiff juga merupakan seorang sangat peka dengan keadaan persekitaran masyarakat. Dia cuba menggambarkan pelbagai perkara yang menyentuh hatinya melaui pengucapan estetik, pengolahan bahasa dan pencarian dalam diri.

Abdul Latiff Mohidin, Twilight Imago (1968) 78.5 x 99.5 cm.

Dalam karyanya berjudul, Twilight Imago (1968) penghayat seni masih dapat mengesan objek-objek yang dinyatakan tadi. Bentuk geometrik dan organik telah mendominasikan keseluruhan catan itu. Imej yang dilukis itu cukup mantap dan bertenaga.

Begitu juga dari segi pengolahan warna. Latif Mohidin begitu gemar menggunakan warna-warna bumi (earth colour) seperti coklat, coklat muda dan hitam muda. Ini memberikan kesan klasik terhadap penglihatan kita. Penggunaan warna yang tepat dan bersesuaian dengan imej atau objek dapat memberikan kesan yang menarik pada semua karya Latiff Mohidin.

Sebagai seorang pelukis dan penyair Abdul Latiff Mohidin telah berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kekuatan yang adanya berjaya menguasai kedua-dua bidang menjadikan dirinya individu terpenting yang sukar dipinggirkan dalam arus perkembangan seni dan sastera Malaysia.

Jika anda ingin membaca artikel lain yang menarik daripada peserta program ini, anda boleh klik di Lensa Seni dan dapatkan maklumat terkini mengenai program menarik anjuran CENDANA.

Wan Nur Aqmar Binti Zulkifli ialah peserta dalam PROGRAM MASTERCLASS & MENTORSHIP PENULISAN SENI CENDANA 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini adalah milik pengarang sendiri dan tidak mewakili pendapat CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, kelalaian, dan/atau ,pelanggaran harta intelek yang disebabkan pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, di platform CENDANA atau di platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites