Jaja Yusof si pelukis kucing

Ikuti temu bual dengan penulis naif yang sedang meningkat naik, Jaja Yusof tentang inspirasi menganjurkan bengkel melukis untuk kanak-kanak serta ketahui keunikan bengkel yang dianjurkan beliau dalam meneruskan legasi ayahnya.

Oleh NIDA ZAHAR untuk Lensa Seni

“Saya banyak mengikut jejak ayah. Ayah paling suka buat bengkel dengan kanak-kanak. Ayah suka lihat budak-budak kecil melukis dan meneroka alam sekeliling melalui lukisan.”

Jaja Yusof (kiri) bergambar bersama ayahnya, Yusof Gajah (tengah) dan adiknya, Jojo.

Begitu jawapan Jaja Yusof kepada penulis apabila ditanya mengapa dia lebih cenderung menganjurkan bengkel melukis untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa. Sebetulnya, penulis gemar menghadiri bengkel Jaja, tetapi majoriti yang dianjurkan adalah terbuka untuk kanak-kanak menjadikan penulis sedikit kecewa. Bengkel dewasa bukan tidak ada, cuma yang lebih kerap diadakan adalah bengkel untuk kanak-kanak.

Jaja Yusof merupakan seorang pelukis seni naif yang menjadikan kucing sebagai subjek dan tema lukisannya. Anak kepada pelukis tersohor tanah air, Allahyarham Yusof Gajah, Jaja yang berkelulusan Diploma Psikologi dan Ijazah Pendidikan Awal Kanak-kanak pernah bertugas sebagai pengajar di Julia Gabriel Centre, Kuala Lumpur.

Kini, dia bergerak sebagai pelukis profesional dan sering menganjurkan bengkel seni lukis kanak-kanak di sekitar Lembah Klang.

Apa yang mendorong beliau untuk menganjurkan bengkel seni lukis untuk kanak-kanak? Kenapa perlu bersusah payah berkongsi ilmu sedangkan, pendapatan melalui penghasilan karya sudah mencukupi untuknya?

Jawab Jaja, “Saya seronok menganjurkan bengkel kerana telah didedahkan oleh ayah sejak kecil untuk menimba ilmu dengan cara mempraktik. Jadi, saya ingin memberikan peluang kepada kanak-kanak lain untuk melatih bakat mereka dan pada masa yang sama menyokong antara satu dengan lain melalui sebuah bengkel. Lagipun, saya percaya ilmu yang bermanfaat adalah satu sumbangan untuk kita di akhirat kelak.”

Rumah sebagai studio dan bengkel seni lukis

Halaman anjung rumah yang dijadikan studio seni lukis dan lokasi berbengkel.

“Ayah telah menjadikan rumah kami sebagai studio. Semua kelengkapan melukis sudah tersedia termasuk meja, kerusi, kanvas, berus dan warna. Segalanya mencukupi, jadi ayah menggalakkan saya untuk membawa kanak-kanak yang minat melukis untuk mengembangkan bakat mereka di sini,” tambahnya lagi.

Menurut Jaja, peluang mengadakan bengkel telah dibukakan oleh ayahnya dan disambutnya dengan hati terbuka.

“Sebagai pelukis, saya mula mengadakan bengkel secara kecil-kecilan. Walaupun ayah saya sendiri sudah biasa mengajar, jika saya tidak meneruskan usaha itu, pasti ia tidak akan berkembang. Saya nekad menyambut peluang yang diberikan dan berusaha keras ke arah itu,” ujar Jaja.

Bengkel melukis untuk kanak-kanak anjuran Jaja mempunyai keunikan tersendiri.

Pertama, kaedah pengajaran adalah terbuka dan ini membuatkan kanak-kanak berasa tidak terkongkong untuk melukis subjek yang diminati dan bebas menggunakan rona warna yang diinginkan. Pada awal bengkel, Jaja akan mengambil masa beberapa minit untuk menerangkan kaedah dan teknik penggunaan kanvas dan warna. Selebihnya, Jaja memberikan kebebasan kepada para peserta untuk meluahkan kreativiti mereka sepenuhnya.

Jaja gemar memberikan ruang kebebasan untuk kanak-kanak berkarya dan mengekspresi kreativiti mereka.

Lukisan adalah subjektif. Saya ingin memberi ruang kepada kanak-kanak untuk berfikir tanpa mengawal dengan arahan-arahan yang terlalu mengongkong. Saya lebih gemar jika mereka terus mencuba tanpa perlu berasa takut melakukan kesilapan,” ujarnya.

“Kadangkala saya menetapkan tema lukisan tapi lebih kepada teknik sebagai panduan para peserta. Selebihnya saya serahkan kepada mereka untuk melukis subjek pilihan,” tambahnya.

Jaja juga tidak meletakkan tahap tertentu kepada peserta untuk satu-satu bengkel. Tidak kira sama ada peserta ialah seorang pemula atau lebih berpengalaman, ruang berkarya terbuka untuk sesiapa sahaja membolehkan peserta yang mahir dan kurang mahir sama-sama melukis, berkongsi ilmu dan saling membantu dalam sesebuah acara.

Kedua, lokasi bengkel adalah unik dan begitu kondusif untuk kanak-kanak. Walaupun Jaja pernah dijemput untuk mengadakan bengkel di lokasi-lokasi terpilih oleh pihak penganjur khusus, kebanyakan bengkel yang dia anjurkan sendiri diadakan di studio rumahnya di Gombak (Studio Yusof Gajah) atau di kebun-kebun komuniti berhampiran.

Antara bengkel melukis di dalam kebun yang turut dihadiri penulis (dua dari kiri di belakang peserta lelaki).

“Aktiviti melukis di dalam kebun merupakan antara bengkel yang popular dan digemari bukan sahaja oleh kanak-kanak tetapi juga orang dewasa. Melukis di dalam kebun memberikan banyak inspirasi kerana bukan sahaja peserta berasa tenang dikelilingi oleh alam semula jadi, tetapi terdapat begitu banyak benda di sekeliling yang boleh dijadikan subjek seperti bunga, dedaun, pokok, landskap, serangga, dan macam-macam lagi,” terang Jaja.

Menurut Jaja, idea melukis di dalam kebun lahir daripada buah fikiran ibunya, Zakiah Mohd Isa. “Selain membantu ayah menguruskan hal-ehwal penghasilan karya dan pameran, ibu saya mempunyai hobi tersendiri iaitu bercucuk tanam. Dia terlibat dengan projek kebun komuniti di kejiranan kami dan telah mencadangkan kepada saya untuk menjadikan kebun komunitinya sebagai lokasi bengkel. Saya iklankan bengkel tersebut di FB dan terkejut apabila ia mendapat sambutan hangat daripada peserta kanak-kanak dan dewasa,” ceritanya.

Ketiga, bagi bengkel kanak-kanak, ibu-bapa diberikan kebebasan untuk menemani peserta di lokasi sehingga anak siap melukis atau meninggalkan anak untuk dijemput kemudian.

“Tidak semua ibu bapa sesuai untuk menemani anak mereka. Ada kalanya, seseorang kanak-kanak lebih suka berdikari dan berasa lebih selesa mengekspresi diri di luar pandangan ibu bapa. Malah, ada juga yang menjadi manja dan serba ‘tidak boleh’ apabila melihat ibu bapa berada di sisi. Bergantung kepada keadaan dan psikologi anak, saya memberikan kebebasan kepada ibu bapa untuk menemani atau meninggalkan anak mereka sendirian ketika melukis,” terangnya.

Antara karya Jaja Yusof yang dipamerkan di dalam rumah merangkap ruang galeri. Pengunjung boleh meluangkan masa untuk melihat hasil karya beliau dah ayahnya, Yusof Gajah sekiranya berkunjung ke sini.

Menurut Jaja, dia tidak mempunyai masalah untuk menerima ibu bapa yang mahu duduk menunggu anak mereka di studio. “Di dalam rumah, ayah saya mempunyai perpustakaan yang boleh dilawati oleh sesiapa saja. Ibu bapa boleh duduk menelaah koleksi buku-buku ayah. Paling tidak pun, mereka boleh saja duduk di mana-mana di dalam kawasan studio,” ujar Jaja yang menekankan dia sekeluarga sangat terbuka untuk menerima tetamu di studio.

Keempat, yuran yang dikenakan kepada peserta amat berpatutan. Menurut Jaja, dia mahu menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke bengkelnya tanpa rasa terbeban.

“Sebagai seorang ibu, saya faham bahawa kos pendidikan anak-anak bukanlah murah. Jadi, saya tawarkan harga yang berpatutan agar ibu bapa mampu untuk menghantar anak-anak mereka, biarpun lebih daripada seorang,” jelasnya yang hanya mengenakan bayaran sekitar RM50 – RM60 seorang untuk satu sesi setengah hari. Malah dengan bayaran tersebut, peserta bukan sahaja mendapat kanvas dan peralatan lukisan yang lengkap, tetapi juga bakal dijamu dengan hidangan yang mengenyangkan seperti sandwic, brownies, kuih-muih dan minuman di akhir acara.

Kelima, bengkel Jaja memberikan peluang kepada anak-anak kecil berkomunikasi dan membina jaringan persahabatan dalam sebuah komuniti yang mempunyai minat serupa.

“Di sekolah, peluang untuk kanak-kanak yang minat melukis mengembangkan bakat mereka adalah terhad. Malah, mereka mungkin tidak berkesempatan untuk betul-betul bercerita dan beraktiviti mengenai seni kerana waktu yang diperuntukkan adalah singkat. Di bengkel seperti inilah mereka dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama serta berkesempatan untuk membina jaringan persahabatan yang dapat dipupuk sejak usia muda.”

Di akhir bengkel, Jaja yang mempunyai kelulusan dalam bidang psikologi kadangkala memberikan pandangan tentang makna di sebalik karya yang dilukis peserta. Menurut Jaja, lukisan merupakan sebuah tafsiran minda yang berkait rapat dengan pemikiran dan perasaan manusia.

“Ramai yang tidak sedar, minat untuk melukis sebenarnya bermanfaat untuk diri seseorang sebagai satu terapi. Melukis adalah satu saluran ekspresi diri yang begitu berkesan dalam merehatkan minda dan merawat jiwa,” jelasnya

Dengan negara memasuki fasa endemik, Jaja telah menggiatkan semula bengkel-bengkel yang terpaksa ditangguhkan akibat pandemik. “Saya ingin meneruskan legasi ayah. Kanak-kanak merupakan generasi yang menentukan jatuh bangunnya agama, bangsa dan negara. Saya mahu mendidik agar mereka terus mencintai seni dan menjadikan lukisan sebagai wadah untuk meneroka kehidupan sekali gus membina keperibadian untuk kejayaan mereka,” ujar Jaja yang pada ketika ini sedang sibuk mengubah suai anjung di depan rumahnya untuk dijadikan studio yang lebih lengkap.

Ruang di anjung rumah yang kini diubah suai untuk dijadikan studio dan galeri yang lebih lengkap.

“Saya juga berhasrat untuk menjadikan studio yang bakal siap nanti sebagai galeri yang akan dibuka kepada artis-artis untuk mempamerkan karya mereka,” kata Jaja mengakhiri perbualan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bengkel-bengkel yang beliau adakan, sila lawati laman Facebook ini

Ketika rencana ini ditulis, ayah kepada Jaja Yusof iaitu Allahyarham Yusof Gajah baru saja menghembuskan nafas terakhir pada 9 Mac 2022. Penulis menzahirkan rasa simpati di atas pemergian beliau dan mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat serta digolongkan bersama orang beriman. Al-fatihah.

Foto daripada koleksi Jaja Yusof dan Yusof Gajah

Nida Zahar ialah peserta CENDANA ARTS WRITING MASTERCLASS & MENTORSHIP PROGRAMME 2021

Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah kepunyaan penulis sendiri dan tidak mencerminkan pandangan CENDANA. CENDANA berhak untuk dikecualikan daripada sebarang liabiliti, kerugian, kerosakan, dan/atau pelanggaran hak harta intelek yang disebabkan oleh pandangan dan pendapat yang dinyatakan oleh pengarang dalam artikel ini pada setiap masa, semasa atau selepas penerbitan, sama ada di laman web ini atau mana-mana platform lain yang dihoskan oleh CENDANA atau jika pendapat/pandangan tersebut diterbitkan semula pada platform pihak ketiga.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites