Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Hidup senantiasa mempunyai onak durinya, naik turunnya dan juga pahit manisnya. Namun begitu, kemanisan itu sering kali menjadi perkara yang mampu dikawal oleh diri kita sendiri bak kata sebuah pepatah mutiara orang Melayu, “kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman.”
Penyanyi legenda Amerika Syarikat mendiang Nat King Cole di dalam lagunya pula ada menyebut, “if you smile through your fears and sorrow, smile and maybe tomorrow, you’ll see the sun come shining through for you.” Maksudnya, jikalau kita senyum sambil menempuhi segala ketakutan dan kesedihan, mungkin pada hari esok kita akan dapat lihat sinaran matahari yang menyinari hari kita. Itulah getaran jiwa dan aura yang diserlahkan oleh penyanyi cilik bernama Neeta Manisha Manogaran yang baru sahaja menyambut harijadinya yang ke-29 pada 16 November yang lepas.
Anak jati Sungai Petani yang berdarah kacukan Siam, Cina dan India ini sememangnya seorang yang cukup ceria dan tidak lokek dengan senyuman. Tiba sahaja di lokasi penggambaran kami di White Studio, Hulu Langat milik abang Bustamam Mokhtar, kehadiran Neeta terus dirasai oleh semua yang ada. Pada hari yang agak mendung itu, kami telah tiba di lokasi pada waktu yang lebih kurang sama. Keluar sahaja dari kereta, suara Neeta telah kedengaran “hai!” kata Neeta dengan nada yang cukup ceria menegur semua yang ada di situ.
Kami bertegur sapa dan memperkenal diri masing-masing, selepas itu kami beransur ke dalam bilik persiapan. Sambil Neeta disolek oleh Chandra Shegar, dua orang penulis BASKL telahpun memulakan bual bicara bersama gadis ‘utagha’ ini. Sesi kami pada hari itu cukup santai, penuh dengan gelak tawa dan sesi sembang-menyembang kami ini telah berlangsung selama 55 minit. Masa berlalu dengan cukup pantas pada hari itu, mungkin kerana jiwa peribadi Neeta yang cukup terbuka dan ceria membuatkan kami berdua lupa seketika bahawa kami sebenarnya sedang berada di dalam sebuah wawancara kerja.
Soalan pertama yang telah kami tanyakan, apakah aktiviti terbaharu Neeta? Jawapan kepada soalan pertama itu pun telah membuatkan kesemua kami geli hati. “Saya baru sahaja selesai rakaman lakonan pertama saya tetapi keseluruhan proses rakaman saya telah mengambil masa selama satu tahun!” kongsi Neeta yang terus bergelak tawa selepas berkongsi kisah itu dan kami pun turut ikut sama! Situasi spontan Neeta itu telah membuatkan kami berempat di dalam bilik tersebut untuk “break the ice” bak kata orang putih.
Kebiasaannya, sesi rakaman drama hanya mengambil masa dalam tiga atau empat bulan tetapi keadaannya berbeza sekali buat Neeta. Tambahan pula, ini merupakan kali pertama Neeta berlakon sebagai watak utama. “Saya dapat tahu daripada rakan-rakan pelakon yang lain, mereka semua kata rakaman ini memang ‘rare’. Baru first time berlakon terus rakaman saya setahun!” Kami pun semua sambung bergelak tawa! Tidak secebis pun Neeta menonjolkan rasa marah, kecewa atau benci akan situasi yang menimpa dirinya itu.
Sejurus selepas itu, Neeta pun menceritakan beberapa sebab mengapa rakaman itu mengambil masa yang cukup lama. Sebenarnya, rakan pelakon Neeta di dalam drama itu, Emma Maembong sedang mengandung pada waktu itu, kemudian beliau telah bersalin dan seterusnya menjalani tempoh pantang. Maka rakaman drama tersebut juga telah terhenti seketika selama beberapa bulan.
Hebatnya Neeta ini, beliau langsung tidak mengomel mengenai keadaan itu malah menyuntik unsur jenaka akan suatu kejadian yang telah berlalu dalam hidupnya. Mungkin itulah rahsia di sebalik keceriaan dan aura positif Neeta, beliau berdamai dan mentertawakan sahaja semua perkara yang telah lepas.
Kata Neeta, jikalau kita hanya mengenali beliau di kaca televisyen atau melalui lagu-lagunya sahaja mungkin kita akan tertipu. “Kalau awak pernah tengok muka saya dekat MBuzz atau dengar lagu-lagu saya mungkin awak akan rasa saya ini seorang gadis yang cukup sopan santun, tetapi hakikatnya tidak! Saya ini memang lasak, cukup sukakan aktiviti luar,” kongsi Neeta yang mengakui beliau memang suka meluangkan masa melalukan aktiviti seperti white water rafting, berkelah dan juga menyertai perkhemahan.
“Oh! saya memang minat untuk masuk ke dalam hutan dan mempacakkan khemah. Setiap dua hingga tiga bulan sekali saya memang akan pergi ‘camping’ di dalam hutan.” Kami pun sambung kepada soalan seterusnya, jadi awak rasa diri awak ini seorang gadis kampung atau gadis bandar? Belum sempat kami menyebut perkataan ‘gadis bandar’, Neeta terus menyampuk “aku kampung girl bro!” Geli hati kami semua dibuatnya dengan telatah Neeta yang cukup menyenangkan itu.
“Saya memang tak boleh duduk di bandar terlalu lama, sebab itu saya selalu pegi berkhemah di hutan atau membuat aktiviti di luar bandar. Berada di sebuah bandar untuk jangka masa yang lama memang membuatkan saya rasa tidak selesa,” kongsi gadis cilik ini.
Sedangkan kami yang penulis berdua ini telah pun mengakui bahawa kami memang budak bandar.
“Ya, teman lelaki saya pun seorang budak bandar jadi saya tau ciri-cirinya. Buat orang bandar seperti awak ini, tidak menjadi masalah kalau awak tak melihat sebatang pokok sekalipun dalam masa 3 bulan tetapi jikalau saya, saya akan naik gila kalau tak nampak alam semualajadi dan kehijauan hutan!”
Sudah terang lagi bersuluh, tidak ada apa lagi yang dapat menyembunyikan jiwa gadis kampung yang ada di dalam diri Neeta Manisha ini. Namun begitu, Neeta juga sempat berkongsi jawapan peribadinya kepada ruangan ‘cita-cita saya’, sebuah soalan yang cukup sering ditanya sewaktu berada di bangku persekolahan. Peliknya, menjadi seorang penyanyi tidak pernah tersenarai. “Oh tidak, penyanyi memang tidak pernah ada dalam senarai tetapi yang saya tulis adalah menjadi seorang ahli gimnas, atau menjadi seperti siri TV CSI, iaitu pakar forensik.”
Mungkin tidak dapat disorok lagi, muka kami terus berubah mendengar jawapannya lalu Neeta terus memyambung, “ya, saya memang pelik sedikit!” sambil tergelak. Jika difikirkan semula tentang cita-citanya itu, kata Neeta pada ketika itu beliau tidak terfikir pula pilihan kerjaya yang diminati itu memerlukannya berada di bilik mayat sehingga lewat malam dan sebagainya. Sempat kami bertanya, adakah beliau masih mempunyai minat ke arah itu? Katanya, “ish, memang tidak lah. Seram tu!”
Melihat keterbukaan Neeta dan peribadinya yang cukup santai, kami pun beralih pula kepada sebuah soalan cepumas yang membuatkan Neeta mengeluh seketika. Apakah tiga perkara paling gila yang pernah anda lakukan di dalam hidup? Jawapan spontannya, “Ya Tuhan, hmm.” Muka Neeta berkerut memikirkan tiga kejadian gila ini, sambil menggelengkan kepala menerima soalan daripada penulis-penulis BASKL ini.
“Yang pertama, mungkin mandi laut tanpa pakaian. Tetapi itu sebenarnya benda ini terjadi hampir setiap kali saya bercuti!” kongsi Neeta dalam keadaan yang cukup menggelikan hati. Terbeliak kami mendengar perkara pertama namun tahap sempoi Neeta ini masih belum berakhir, perkara gila nombor dua pula adalah beliau pernah tidur di perhentian bas, stesen keretapi dan juga di tepian jalan di Thailand. “Saya dan tiga lagi kawan ‘backpacking’ ke Thailand dan kami tersilap naik bas. Jadi terpaksalah kami bermalam di stesen bas sebanyak dua kali!”
Bagi perkara ketiga pula, Neeta telah mengambil masa sedikit untuk berfikir lalu kami pun mulalah bersembang dan bercerita mengenai hal-hal lain seolah kami semua telah kenal lama dengan penyanyi yang cukup rendah diri ini. Tiba-tiba, Neeta teringat! “Ha, saya pernah terjun curam atau ‘cliff jumping’ di Pulau Tioman dan rekod saya adalah 12meter!” Sekelip mata, perbualan kami terus berubah kepada tajuk lompatan daripada sebuah tempat yang tinggi. Terkesima mendengar jawapannya, kami semua terpegun dan kagum dengan keberanian Neeta untuk membuat lompatan sebegitu. Perbincangan 10 minit selepas itu menjurus kepada persetujuan umum antara kami semua bahawa 12meter itu adalah satu tahap yang memang tinggi.
Tidak dapat disangkal lagi, Neeta Manisha sememangnya gadis lasak yang tidak pernah berpura-pura mengikuti arus pemodenan sebuah bandaraya. Jiwa anak Sungai Petani dan hubungannya dengan alam semulajadi memang tidak pernah luntur walaupun telah lebih sedekad berada di Kuala Lumpur. Selari dengan pesanan akhir Neeta buat anak muda di luar sana, “jangan terlalu kejam dengan diri sendiri. Jadilah seorang yang baik hati terutamanya pada diri sendiri. Teruslah mengejar impian anda tetapi jangan pernah lupa siapa diri kita yang sebenar.”
DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL
Bintang BASKL: Neeta Manisha
Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri
Teks Bahasa Malaysia: Shafique Danial
Penata Gaya: Shah Shamshiri
Dandanan, Solekan & Aksesori: Chandra Shegar
Busana: Huda Hassan Shahabuddin
Jurugambar: Bustamam Mokhtarofficial, White Studio
Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat
Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim
Ikuti kisah Bintang BASKL yang lain di sini: