Hazra mahu kongsi ilmu muzik irama asli kepada generasi pelapis

Penyanyi Hasraniza Dollah tidak akan pernah lupa pesanan arwah mentornya: "Kalau bukan kita siapa lagi yang akan memperjuangkan dan memartabakan lagu-lagu tradisional asli?"

Oleh DANNY ADAM

“Bagai Gerhana suram siang kegelapan, Cahaya Cinta yang sinarnya ku damba, Akulah Perindu mencari wajahmu, Meskipun Ku tahu di lubuk hati adanya dirimu.”

Bait-bait lirik lagu Lazuli ini adalah hasil sentuhan Che Kem yang berkonsepkan ketuhanan dan ia juga mengambarkan seolah-olah situasi negara ketika ini yang sedang berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

Itulah ungkapan penyanyi asal lagu ini Hasraniza Dollah atau lebih dikenali Hazra, 34 tahun. Meskipun namanya tidak gah dalam industri tanah air tetapi usaha beliau dalam memartabatkan muzik asli tradisional akan terus diperjuangkan agar genre ini tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas untuk memastikan pelapis generasi muda berjaya menjiwai alunan ini.

Jauh dari sudut hatinya untuk mengejar populariti bahkan anak jati kelahiran Limbang, Sarawak ini tidak pernah mengimpikan untuk berada di pentas seni ini bersama-sama rakan-rakan artis yang lebih hebat darinya. Cukup baginya untuk masyarakat mengenalinya sebagai anak seni yang memperjuangkan lagu-lagu berentak irama asli tradisonal dan kontemporari.

“Saya mula meminati nyanyian ini sejak kecil lagi dan banyak juga pertandingan nyanyian yang saya sertai seperti Bintang Kecil RTM sewaktu berusia 12 tahun (tempat ketiga, kemudian saya terus bergiat aktif dalam bidang seni suara ini apabila menjadi Johan pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan, RTM dan saya layak sehingga ke peringkat separuh akhir dalam program realiti hiburan anjuran TV3 iaitu 3 Juara,” katanya.

Walaupun terlalu banyak pertandingan nyanyian yang disertainya tetapi Hazra tidak sesekali mengabaikan pelajarannya. Dek kerana minat dalam bidang nyanyian ini beliau membuat keputusan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Muzik) di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya pernah bekerja sebagai artis budaya di Pusat Kebudayaan UKM Bangi dari tahun 2013 hingga 2015 sebelum saya mengambil keputusan untuk menjadi penyanyi secara sambilan atas jemputan korporat, kerajaan, acara-acara persembahan pentas dan sebagainya.

“Alhamdulillah, dengan keputusan ini rezeki saya tidak pernah putus dan ia memberi semangat untuk saya terus berkarya sehinggakan pada tahun 2018 saya berjaya mempunyai lagu pertama iaitu Lazuli komposer Syahrizan Sahamat bersama suami saya sendiri Mohd Sukhairi Abd Samat (lebih dikenali sebagai Totoy) dan penulis lirik adalah Che Kem,” katanya.

Jelas Hazra lagi, rakaman lagu pertamanya itu ditaja oleh suaminya (Totoy) 100% dan proses rakaman lagu terbabit adalah 100% menggunakan “live instruments”. Hazra mendedahkan ia adalah suatu kepuasan baginya kerana mendendangkan lagu Lazuli ini tanpa ada rakaman edit audio daripada komputer.

“Apabila saya menyanyi secara langsung ketika rakaman ia memberi kepuasan kepada saya untuk menjadikan alunan muzik itu kelihatan indah bila di dengar tanpa ada sebarang perubahan pada muzik itu. Itu yang saya mahukan dan saya lebih suka menggunakannya walaupun kos perbelanjaannya agak tinggi,” katanya lagi.

Menjadikan komposer lagu tersohor irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain (atau lebih dikenali Pak Ngah), sebagai mentornya dalam bidang nyanyian ini, Hazra tidak akan pernah lupa pesanan arwah kepada dirinya. Bagi Hazra kerana didikan serta dorongan daripada arwah inilah membuatkan beliau berjaya sehingga ke hari ini dan dapat menggunakan ilmu yang dicurahkan oleh arwah kepadanya untuk diberikan kepada generasi pelapis.  

Hazra

“Jangan pernah putus asa walaupun bidang tradisonal tidak luas seperti lagu lain, jika kamu semua tiada siapa lagi mahu buat lagu tradisional.” Itu antara pesanan arwah Pak Ngah akan terus diingati Hazra buat selama-lamanya. Oleh sebab itu lah, beliau ketika ini mengambil peluang membuka kelas vokal kepada orang ramai.

“Ilmu inilah yang ingin saya kongsikan kepada generasi pelapis sebab ilmu ini kita kena cari dan saya pun masih lagi belajar tetapi dengan ilmu dan pengalaman yang dimiliki saya ini saya mula membuka kelas vokal kepada sesiapa yang berminat dan boleh hubungi saya melalui media social instagram saya iaitu “@hazra.dollah”.

Menyedari pandemik COVID-19 ini memberi kesan kepada dirinya, namun beliau tidak berdiam diri. Hazra cuba mencari pendapatan lain untuk menampung perbelanjaan hariannya dan keluarga. Selain membuka kelas vokal, Hazra juga mengambil tempahan kek lapis Sarawak, resepi daripada ibunya. Beliau sendiri tidak menyangka yang dirinya kini mampu membuat kek lapis Sarawak!

Kini, Hazra sedang menghitung hari untuk mengeluarkan lagu keduanya iaitu Idam Laduni dijangka pada bulan Oktober atau September hasil lagu ciptaan Totoy dan penulis lirik, Fedtri Yahya.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites