Hamdan Mohd Ali mahu miliki syarikat buku cerita kanak-kanak sendiri

Berbekalkan pengalaman yang luas, Hamdan Mohd Ali mahu impiannya untuk membuka syarikat penerbitan sendiri berkisarkan buku cerita kanak-kanak.

Oleh DANNY ADAM

Pernahkah anda melihat siri animasi pertama di Malaysia iaitu Usop Sontorian pada tahun 1990-an? Pastinya penangan karakter animasi dan lukisan yang dipaparkan membuatkan anda terasa rindu untuk melihatnya semula.

Walaupun illustrasi tersebut sudah tidak muncul lagi, tetapi pelukis sebenar disebalik karakter ini masih meneruskan perjuangan menghasilkan pelbagai karya yang mungkin anda tidak sedari. BASKL kali ini ingin membawa anda mengenali individu luar biasa ini, Hamdan Mohd Ali, 51 tahun.

Hamdan, atau lebih dikenali sebagai Adan, mula meminati bidang seni lukisan ini seawal usia tujuh tahun lagi. Ketika itu beliau amat gemar melukis watak-watak “superhero” dalam animasi kartun seperti Sinbad, Tarzan dan banyak lagi. Beliau tidak menyangka bakat yang dimilikinya ketika zaman sekolah itu sedikit sebanyak membantu Hamdan menerima duit sampingan atau upah dari gurunya untuk menghasilkan lukisan yang diminta.

Selepas tamat pengajian dalam peringkat sijil grafik di Malaysian Institute of Art, Hamdan terus mengorak langkah berbekalkan ilmu yang dipelajarinya, sebagai pelukis “billboard” dan pengiklanan di salah sebuah syarikat swasta. Kemudian beliau mula menerima tawaran dalam penerbitan animasi dengan syarikat Kharisma Pictures sehingga terlahirnya animasi Usop Sontorian yang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1996. Beliau ditawarkan bekerja dalam penerbitan syarikat tersebut untuk melahirkan siri kartun animasi.

”Saya juga pernah bekerja sebagai illustrator buku cerita dan menghantar karya lukisan komik kanak-kanak ke majalah terbitan Berita Publishing, majalah ASUH terbitan Karyaone, majalah Ana Muslim terbitan BLUE-T dan majalah Humor terbitan Creative ENT. Saya juga banyak menerima tawaran daripada pelbagai jenis syarikat swasta animasi, penerbitan dan pengiklanan untuk mendapatkan khidmat saya dalam bidang yang ditetapkan.’

”Saya bersyukur dengan tawaran yang diberikan kerana dengan bakat yang dimiliki ini saya boleh melakukan apa sahaja. Saya bukan sahaja mahir dalam bidang animasi dan lukisan, malah saya juga boleh menulis buku-buku cerita,” katanya. 

Bagaimanapun, sekitar tahun 1999, Hamdan telah membuat keputusan untuk mengubah haluan hidupnya. Beliau mencari pekerjaan yang sebati dengan jiwanya sehingga akhirnya Hamdan mengambil keputusan menjadi penulis dan pelukis buku cerita kanak-kanak secara sambilan.

“Saya memilih untuk melukis buku cerita kanak-kanak kerana saya boleh mendidik dan memberi nilai-nilai murni dalam lukisan dan penulisan saya. Oleh itu, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja dan tidak mahu kerja makan gaji dengan majikan untuk menjadi pekerja sambilan sepenuh masa yang boleh memberi fokus dalam buku cerita kanak-kanak pula.”

”Saya aktif dalam penulisan buku cerita kanak-kanak berkonsepkan pendidikan, misteri, mistik dan penyiasatan. Antara penulisan dan lukisan yang saya hasilkan adalah Nilai murni dari Hadis Budi Bahasa Budaya Kita, Nilai murni dari Hadis Nabi SAW, Nilai murni dari Quran serta Komik bertajuk KITA,” katanya.

Sehingga kini, Hamdan telah menghasilkan hampir 1,500 buah buku cerita kanak-kanak dan kebanyakan buku-buku ini berada di seluruh perpustakaan sekolah dan negeri di Malaysia. Baginya, bukan mudah untuk melakukan kerjaya ini jika tidak mempunyai minat dan usaha. Walaupun kecanggihan teknologi ketika ini begitu cepat dalam bidang seni lukisan, namun beliau masih menggunakan cara manual atau tradisional yang mana setiap lukisan itu beliau melukis sendiri tanpa menggunakan teknologi terkini.

”Saya lebih suka guna cara manual sebab ada ‘feel’, bukan tidak mahu ikut arus teknologi tetapi bila saya lukis guna tangan saya sendiri, warnakan hasil lukisan itu sendiri, perasaan itu tidak dapat digambarkan, hanya kita yang melukis ini sahaja tahu bagaimana perasaan itu,” katanya.

Bagaimanpun, sejak pandemik COVID-19 melanda negara, punca pendapatannya semakin terjejas. Sebagai pekerja sambilan, beliau hanya bergantung sepenuhnya rezekinya itu atas permintaan syarikat penerbitan sekiranya inginkan Hamdan menghasilkan buku cerita kanak-kanak.

”Ketika ini sangat terasalah juga berbanding keadaan sebelum ini sebab kita rakyat Malaysia tidak pernah berdepan dengan situasi sebegini. Mujur saya ada sedikit duit simpanan yang boleh digunakan untuk menyara keluarga. Banyak syarikat penerbitan dah tutup sebab tidak dapat beroperasi dengan harga kertas yang dijual di pasaran pun tinggi, operasi tidak boleh bergerak sebab sekatan kawalan pergerakan. Jadi saya lihat ini sebagai satu cabaran dalam industri penerbitan dan penulisan kreatif ini,” katanya.

Hamdan yang mempunyai hasrat dan bercita-cita untuk membuka syarikat penerbitan buku sendiri terpaksa melupakan impiannya buat seketika. Baginya, untuk membuka syarikat sebegini beliau memerlukan modal yang besar dan dana yang secukupnya. Untuk bergerak sendiri agak mustahil memandangkan keadaan sekarang ini yang tidak mengizinkan untuk beliau berbuat demikian.

”Sampai bila saya akan bekerja sebegini sebagai pekerja sambilan sepenuh masa. Pengalaman yang saya miliki dalam bidang penulisan dan lukisan buku cerita kanak-kanak lebih 20 tahun sudah cukup memadai. Jatuh bangun saya dalam industri ini telah dirasai bagaimana untuk bangkit semula. Pandemik COVID-19 yang terjadi menjadikan saya sebagai pelukis dan penulis buku kanak-kanak yang kini sepi tanpa sebarang projek dalam penerbitan. Tiada jalan lain selain saya kena memaksa penerbit-penerbit buku yang masih bertahan untuk membeli karya saya dengan harga yang murah demi meneruskan kelangsungan hidup.”

Hamdan berharap agar pihak kerajaan atau mana-mana syarikat penerbitan dapat membantu beliau merealisasikan impian untuk memiliki syarikat penerbitan buku sendiri. Sekiranya cita-citanya itu tercapai, sudah pasti ilmu dan pengalaman yang dimilikinya akan dapat dikongsi bersama generasi atau pelapis akan datang untuk memajukan lagi industri penerbitan buku cerita kanak-kanak.

“Buku yang akan saya terbitkan ini lebih tertumpu kepada pendidikan motivasi untuk kanak-kanak serta buku cerita yang boleh memberi ilmu yang bermanfaat kepada anak bangsa. Generasi sekarang ini perlu sedar dunia kita semakin berubah dan mencabar dan kita perlu persiapkan diri dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Oleh sebab itu, saya berhasrat untuk membuka penerbitan sendiri dalam usaha mendidik generasi akan datang melalui penulisan dan lukisan yang saya tonjolkan dalam buku tersebut,” katanya.

Sekiranya anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Hamdan Mohd Ali atau sebarang aktiviti yang dilakukannya, anda boleh melayari laman sosial media Facebook Hamdan Mohd Ali.

Usop Sontorian: Episod Lari Dari Rumah

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites